#4871: Makna kalimah Syi’ah dalam Surah al-Qasas ayat 15?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam Surah al-Qasas ayat 15, apakah maksud haza min syiatih wa haza min aduwwih?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَدَخَلَ ٱلْمَدِينَةَ عَلَىٰ حِينِ غَفْلَةٍۢ مِّنْ أَهْلِهَا فَوَجَدَ فِيهَا رَجُلَيْنِ يَقْتَتِلَانِ هَـٰذَا مِن شِيعَتِهِۦ وَهَـٰذَا مِنْ عَدُوِّهِۦ ۖ فَٱسْتَغَـٰثَهُ ٱلَّذِى مِن شِيعَتِهِۦ عَلَى ٱلَّذِى مِنْ عَدُوِّهِۦ فَوَكَزَهُۥ مُوسَىٰ فَقَضَىٰ عَلَيْهِ ۖ قَالَ هَـٰذَا مِنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۖ إِنَّهُۥ عَدُوٌّۭ مُّضِلٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Dan pada suatu hari, Musa masuk ke dalam kota ketika penghuninya sedang leka, lalu dia ternampak dua orang lelaki sedang berkelahi, maka didapati salah seorang daripada golongannya sendiri dan seorang lagi daripada golongan musuhnya, Firaun. Lelaki daripada golongannya itu meminta pertolongan Musa, lantas Musa menumbuk lelaki daripada golongan musuhnya sehingga menyebabkan kematian. Musa berkata, “Sesungguhnya ini adalah angkara syaitan, dialah musuh penyesat yang amat nyata.””

(Surah al-Qasas: 15)

Menjawab persoalan di atas, kalimah al-Syi‘ah (الشِّيعَةُ) bermaksud kumpulan atau golongan.  Menurut konteks ayat ini, maknanya ialah daripada kaum Nabi Musa A.S yakni Bani Israel. Selain itu, mereka juga adalah golongan Bani Israel yang seagama dengan Nabi Musa A.S. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/81)

Dalam ayat ini, dikisahkan dibawakan pula sebuah peristiwa yang menjadi titik-tolak penting dalam perjalanan hidup Baginda, tatkala Baginda memasuki bandar Memphis yang merupakan  pusat pemerintahan Firaun ketika waktu yang lengang daripada orang ramai. Dikatakan  waktu tersebut ialah pada waktu tengahari dan ada juga yang berpendapat, iaitu pada waktu antara Maghrib dan Isyak. Pemberitahuan waktu kejadian ini penting, kerana ia menjelaskan bahawa peristiwa ini tidak diketahui dan disedari oleh orang ramai. Ketika itulah, Baginda mendapati adanya pertelingkahan antara seorang Qibti dengan seorang lelaki daripada Bani Israel. Menurut Ibn ‘Asyur, Baginda mengetahui bahawa dirinya berasal daripada bangsa Israel, boleh jadi kerana ibunya ada berhubung dengannya ketika Baginda berada di dalam istana Firaun.

Maka, meskipun selama bertahun-tahun lamanya Baginda hidup di dalam istana, Baginda tidak sekali-kali melupakan asal-usulnya, dan tidak sesekali melupakan penindasan yang dihadapi oleh kaum bangsanya. Oleh kerana itulah, Baginda menyimpan rasa permusuhan terhadap bangsa Qibti, dan rasa kecintaan terhadap Bani Israel. Namun rasa kebencian dan kecintaan ini, bukan didasari atas dasar asabiyyah perkauman, namun ia adalah kerana semangat cintakan keadilan dan bencikan kezaliman. Disebutkan bahawa orang Qibti itu telah memaksa lelaki Bani Israel untuk memikul kayu api, lalu dia meminta pertolongan daripada Nabi Musa A.S yang lalu di situ. Menurut Ibn ‘Asyur, lafaz (اِسْتِغَاثَة) yakni ‘meminta pertolongan’ yang digunakan oleh Allah SWT menunjukkan bahawa lelaki Bani Israel itu sedang ditindas dan dizalimi, maka menjadi tanggungjawab Baginda untuk membantunya.

Nabi Musa A.S telah memukul lelaki Qibti itu, dan dia mati akibat pukulan tersebut. Perlu diperhatikan di sini lafaz yang digunakan al-Quran ialah (قَضَى عَلَيهِ الـمَـوْت) yakni ‘kematian menimpanya’ yang menunjukkan bahawa pembunuhan itu berlaku secara tidak sengaja, dan Baginda tidak berniat untuk membunuhnya. Tambahan lagi, pukulan tersebut adalah secara menumbuk dengan mengepalkan tapak tangan iaitu ‘al-Wakz’ dan ia bukan pukulan yang boleh mematikan. Tujuan Baginda hanyalah untuk menyekat kezaliman yang menimpa ke atas lelaki Bani Israel itu.

Nabi Musa A.S berasa amat kesal akan kesilapannya, dan menyedari bahawa syaitan telah mengapi-apikan kemarahan pada dirinya, sehingga menyebabkan Baginda menumbuknya dengan kuat. Baginda juga sedar, bahawa syaitan merupakan musuh yang amat nyata bagi anak-anak Adam, dan sering kali berusaha untuk menimbulkan permusuhan sesama manusia, Baginda mengakui telah menzalimi diri sendiri dengan membunuh nyawa yang tidak halal untuk dibunuhnya, lantas meminta ampun kepada Allah SWT, lalu Dia dengan sifat Maha Pengampun dan Penyayang-Nya, telah mengampunkannya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/83-84)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”