#4877: Larangan Mencampakkan Diri Ke Lembah Kebinasaan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan serba ringkas kepada kami tentang satu ayat dalam Surah al-Baqarah yang melarang kita mencampakkan diri ke dalam kebinasaan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan saudara kami bawakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang sebab diturunkan ayat ini. Diriwayatkan daripada Aslam bin Abi ‘Imran al-Tujibi, katanya:

كُنَّا بِمَدِينَةِ الرُّومِ، فَأَخْرَجُوا إِلَيْنَا صَفًّا عَظِيمًا مِنَ الرُّومِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِمْ مِنَ الْمُسْلِمِينَ مِثْلُهُمْ أَوْ أَكْثَرُ، وَعَلَى أَهْلِ مِصْرَ عُقْبَةُ بْنُ عَامِرٍ، وَعَلَى الْجَمَاعَةِ فَضَالَةُ بْنُ عُبَيْدٍ، فَحَمَلَ رَجُلٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ عَلَى صَفِّ الرُّومِ حَتَّى دَخَلَ فِيهِمْ، فَصَاحَ النَّاسُ وَقَالُوا: سُبْحَانَ اللهِ، يُلْقِي بِيَدَيْهِ إِلَى التَّهْلُكَةِ، فَقَامَ ‌أَبُو أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيُّ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ لَتُأَوِّلُونَ هَذِهِ الْآيَةَ هَذَا التَّأْوِيلَ، وَإِنَّمَا أُنْزِلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ فِينَا مَعْشَرَ الْأَنْصَارِ لَمَّا أَعَزَّ اللهُ الْإِسْلَامَ وَكَثُرَ نَاصِرُوهُ، فَقَالَ بَعْضُنَا لِبَعْضٍ سِرًّا دُونَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أَمْوَالَنَا قَدْ ضَاعَتْ، وَإِنَّ اللهَ قَدْ أَعَزَّ الْإِسْلَامَ وَكَثُرَ نَاصِرُوهُ، فَلَوْ أَقَمْنَا فِي أَمْوَالِنَا فَأَصْلَحْنَا مَا ضَاعَ مِنْهَا، فَأَنْزَلَ اللهُ تَعَالَى عَلَى نَبِيِّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرُدُّ عَلَيْنَا مَا قُلْنَا: {وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللهِ وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ}، فَكَانَتِ التَّهْلُكَةُ الْإِقَامَةَ عَلَى الْأَمْوَالِ وَإِصْلَاحِهَا، وَتَرْكَنَا الْغَزْوَ، فَمَا زَالَ أَبُو أَيُّوبَ شَاخِصًا فِي سَبِيلِ اللهِ حَتَّى دُفِنَ بِأَرْضِ الرُّومِ

Maksudnya: “Kami berada di kota Rom, lalu tentera Rom yang berjumlah amat ramai keluar ke arah kami. Begitu juga jumlah yang sama atau lebih banyak daripada umat Islam menuju ke arah mereka. Ketua orang Mesir adalah ‘Uqbah bin Amir R.A, dan ketua dari kumpulan kami adalah Fadhalah bin ‘Ubaid RA. Seorang lelaki di antara orang Islam menuju ke kumpulan orang Rom dan masuk di tengah-tengah mereka. Kaum muslimin mula menjerit: ‘Subhanallah! Dia telah mencampak dirinya di dalam kehancuran!’ Abu Ayyub al-Ansari R.A pun bangun dan berkata: ‘Wahai sekalian manusia! Kamu mentafsirkan ayat ini untuk situasi sebegini? Sedangkan ia diturunkan berkaitan kami orang al-Ansar ketika Allah SWT menguatkan Islam dan bertambah pengikutnya. Sebahagian daripada kami berkata kepada satu sama lain secara senyap-senyap tanpa kehadiran Rasulullah SAW: Kekayaan kita telah binasa, dan Allah SWT telah menguatkan Islam, dan bertambah pengikutnya, jadi jika kita cenderung menguruskan harta kita, maka kita akan dapat baiki apa yang hilang daripada kita. Lalu Allah SWT menurunkan kepada Nabi-Nya SAW ayat menegur apa yang kami katakan:

{وَأَنفِقُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ ۛ}

Maka kebinasaan itu adalah berkaitan dengan mengejar kekayaan dan mempertahankannya. Kami tinggalkan peperangan tetapi Abu Ayyub RA tetapi kekal berjihad di jalan Allah SWT, hingga dia dikebumikan di Rom.”

Riwayat al-Tirmizi (2972)

Imam Ibn Kathir membawakan berbagai riwayat yang menafsirkan ayat ini, antara yang menafsirkannya adalah Ibn ‘Abbas, Mujahid, ‘Ikrimah, Sa‘id bin Jubair, ‘Ata’, al-Dahhak, al-Hasan, Qatadah, al-Suddi, Muqatil bin Hayyan, dan lain-lain. Mereka semua mengatakan bahawa kebinasaan yang dimaksudkan adalah kedekut dan menghalang diri dari menyumbangkan harta untuk tujuan jihad ke jalan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/395)

Tetapi bagaimana mungkin kedekut itu boleh mendatangkan kebinasaan? Imam Abu Bakar al-Jaza’iri menjelaskan, Allah SWT memerintahkan untuk menginfaqkan harta untuk tujuan jihad di jalan Allah SWT, agar dapat bersiap siaga dengan kelengkapan dan dapat menghantar para pejuang. Dan Allah SWT melarang mereka dari meninggalkan infaq di jalan Allah SWT kerana itu juga dikira jihad. Sekiranya ditinggalkan infaq dan jihad, mereka itu umpama mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. Pihak musuh akan  sentiasa menantikan peluang, apabila mereka mendapati orang-orang Islam tidak bersedia untuk berjihad, mereka akan memerangi umat Islam dan mengalahkan mereka, maka binasalah. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/175)

Apabila kita fahami dengan baik ayat ini, maka benarlah yang dimaksudkan seperti tafsiran para ulama’, dan ia juga boleh difahami berdasakan umum lafaznya, iaitu larangan mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Imam al-Baghawi menjelaskan bahawa setiap perkara yang membawa kepada kebinasaan dalam agama mahupun dunia, maka ia termasuk dalam makna ayat ini.  (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/367)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pula menyatakan, termasuklah yang dimaksudkan dalam ayat ini apa sahaja perkara yang membawa kepada kebinasaan, seperti mencampakkan diri ke dalam api atau air yang menggelegak, atau tidur dalam bangunan yang hampir runtuh, atau seumpamanya. Perkara ini haram, sepertimana dalam firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًۭا

Maksudnya: “ dan janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Termasuklah di dalam membunuh diri ini dengan mendatangkan apa sahaja bentuk mudharat pada tubuh meskipun ia tidaklah sehingga menyebabkan kematian. Hujjah untuk pandangan ini, seperti yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin al-‘As R.A

احْتَلَمْتُ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ فِي غَزْوَةِ ذَاتِ السُّلَاسِلِ فَأَشْفَقْتُ إِنِ اغْتَسَلْتُ أَنْ أَهْلِكَ فَتَيَمَّمْتُ، ثُمَّ صَلَّيْتُ بِأَصْحَابِي الصُّبْحَ فَذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا عَمْرُو صَلَّيْتَ بِأَصْحَابِكَ وَأَنْتَ جُنُبٌ؟ فَأَخْبَرْتُهُ بِالَّذِي مَنَعَنِي مِنَ الِاغْتِسَالِ وَقُلْتُ إِنِّي سَمِعْتُ اللَّهَ يَقُولُ: {وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا} [النساء: ٢٩]. فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا

Maksudnya: “Aku telah bermimpi (keluar mani) pada satu malam yang sejuk semasa Peperangan Zat al-Sulasil. Aku bimbang jika aku mandi maka aku akan binasa (mudarat). Maka aku pun bertayammum. Kemudian aku solat menjadi imam Solat Subuh bagi sahabat-sahabatku. Mereka menyebut hal itu kepada Nabi SAW. Baginda bertanya: ‘Wahai ‘Amr! Engkau solat mengimami sahabat-sahabatmu sedangkan engkau berjunub?’ Maka aku pun memberitahu baginda apa yang menghalangku untuk mandi. Aku juga berkata bahawa aku mendengar Allah berfirman:

{وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا}

(Jangan kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya ALLAH Maha Pengasih kepada kamu). Lantas Rasulullah SAW pun ketawa dan tidak berkata apa-apa.”

Riwayat al-Tirmizi (334)

Ini membuktikan bahawa sebab yang boleh membawa kepada kemudharatan juga termasuk dalam larangan ini. Apa sahaja yang memudharatkan diri, maka kita dilarang melakukannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Karim, 2/389)

Justeru, larangan mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ini, aplikasinya bersifat umum seperti zahir ayat, meskipun sebab asal ayat ini diturunkan adalah kerana golongan Ansar ketika zaman Rasulullah SAW dahulu pernah berpakat untuk tidak berinfaq ke jalan Allah SWT.

Semoga perbincangan ringkas ini dapat memberikan kita kefahaman terhadap hukum Islam, serta mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Wallahu a‘lam