Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Melihat kepada apa yang berlaku di Gaza, membuatkan saya tertanya-tanya, mungkin ketika peperangan itu akan ada beberapa serangan yang terkena kanak-kanak atau wanita, tidakkah ini termasuk dalam larangan ketika berperang?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, larangan membunuh wanita dan kanak-kanak adalah jelas berdasarkan riwayat ‘Abdullah bin ‘Umar R.A, katanya:
وُجِدَتِ امْرَأَةٌ مَقْتُولَةً فِي بَعْضِ مَغَازِي رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَنَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِ النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ
Maksudnya: “Dijumpai seorang wanita terbunuh dalam salah satu peperangan Rasulullah SAW, lalu Rasulullah SAW melarang membunuh wanita dan kanak-kanak.”
Riwayat al-Bukhari (3015) dan Muslim (1744)
Larangan ini juga thabit sebagaimana dalam athar Abu Bakar al-Siddiq R.A, beliau mewasiatkan kepada panglima perang Yazid bin Abu Sufyan R.A:
وَإِنِّي مُوصِيكَ بِعَشْرٍ: لَا تَقْتُلَنَّ امْرَأَةً، وَلَا صَبِيًّا، وَلَا كَبِيرًا هَرِمًا، وَلَا تَقْطَعَنَّ شَجَرًا مُثْمِرًا، وَلَا تُخَرِّبَنَّ عَامِرًا، وَلَا تَعْقِرَنَّ شَاةً، وَلَا بَعِيرًا، إِلَّا لِمَأْكَلَةٍ. وَلَا تَحْرِقَنَّ نَحْلًا، وَلَا تُغَرِّقَنَّهُ، وَلَا تَغْلُلْ وَلَا تَجْبُنْ
Maksudnya: “Dan aku mewasiatkan kepada kamu 10 perkara (ketika peperangan berlaku): jangan kamu bunuh wanita-wanita, dan jangan bunuh anak-anak kecil, dan jangan bunuh orang-orang tua, jangan memotong pohon yang sedang berbuah, jangan merobohkan bangunan, jangan menyembelih kambing ataupun unta kecuali hanya untuk dimakan, jangan membakar pohon kurma atau menenggelamkannya, dan janganlah jadi seperti digari atau menjadi seorang yang penakut.”
Riwayat Malik (10)
Akan tetapi, terdapat sebuah hadith sahih yang pada zahirnya bercanggah dengan larangan tersebut. Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr R.A, katanya:
مَرَّ بِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالأَبْوَاءِ، أَوْ بِوَدَّانَ، وَسُئِلَ عَنْ أَهْلِ الدَّارِ يُبَيَّتُونَ مِنَ المُشْرِكِينَ، فَيُصَابُ مِنْ نِسَائِهِمْ وَذَرَارِيِّهِمْ قَالَ: هُمْ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Nabi SAW melintasiku di Abwa’, atau di Waddan, dan Baginda ditanya tentang kebenaran menyerang penghuni rumah yang didiami oleh kaum Musyrikin pada malam hari, lalu terkena wanita serta anak-anak mereka. Baginda SAW bersabda: Mereka (wanita dan anak-anak) termasuk dalam kalangan kaum Musyrikin.”
Riwayat al-Bukhari (3012) dan Muslim (1745)
Syeikh ‘Abdullah al-Bassam mengatakan bahawa hadith ini pada dasarnya bertepatan dengan kaedah yang menyebut:
إِذَا تَعَارَضَتْ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًاً بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا
Maksudnya: “Apabila bertembung dua mafsadah, hendaklah menolak mafsadah yang paling besar dengan memilih mafsadah yang paling ringan.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 6/367)
Berdasarkan hadith di atas juga, ulama’ berselisih pendapat tentang hukum membunuh wanita dan kanak-kanak dalam keadaan bertembungnya 2 mafsadah:
Pertama: Mazhab al-Syafi‘i, al-Hanbali, al-Hanafiyyah dan majoriti ulama’ lain berpendapat bahawa boleh membunuh wanita dan kanak-kanak dalam keadaan yang disebutkan dalam hadith. Dan sabda Rasulullah SAW: “Mereka (wanita dan anak-anak) termasuk dalam kalangan kaum Musyrikin,” menunjukkan keharusan tersebut sekiranya berlaku tanpa sengaja – yakni serangan itu terkena pada mereka – dan bukan dengan niat, pada keadaan yang memang tidak dapat dipisahkan mereka ini dari tentera musuh.
Kedua: Mazhab Maliki dan Imam al-Auza‘ie berpendapat bahawa tidak harus dibunuh wanita dan kanak-kanak dengan apa jua alasan sekalipun, meskipun tentera musuh menggunakan mereka sebagai perisai. (Lihat Subul al-Salam, 7/215; Taudhih al-Ahkam, 6/367)
Kesimpulan
Natijah dari perbincangan di atas, kami katakan bahawa tidak terdapat sebarang percanggahan antara hadith larangan membunuh dan hadith yang mengharuskan perkara tersebut.
Hal ini kerana hadith yang melarang tersebut apabila pembunuhan itu dilakukan dengan sengaja berserta niat. Manakala hadith yang mengharuskan itu pada keadaan yang tidak disengajakan, dan tidak ada niat untuk menjadikan wanita dan kanak-kanak tersebut sebagai sasaran utama mereka. Rasulullah SAW tidak berperang melainkan dengan tujuan untuk memperbaiki, dengan sebab itulah Baginda melarang dari membunuh selain dari tentera musuh.
Semoga penerangan ringkas ini dapat membantu saudara memahami hadith ini dengan lebih baik, dalam masa yang sama menghilangkan syak wasangka yang timbul berkenaan sahabat-sahabat kita yang berjihad di jalan Allah SWT. kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)
Wallahu a‘lam