#4958: Melembutkan Hati Pihak Lawan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana teknik melembutkan hati pihak lawan dan merendah diri dalam perdebatan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 قُلْ مَن يَرْزُقُكُم مِّنَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ قُلِ ٱللَّهُ ۖ وَإِنَّآ أَوْ إِيَّاكُمْ لَعَلَىٰ هُدًى أَوْ فِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍۢ

Maksudnya: Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Katakanlah: Allah. Sesungguhnya kami atau kamu orang musyrik, pasti berada di atas hidayah atau dalam kesesatan yang nyata.

(Surah Saba’: 24)

Ayat ini bukanlah bermaksud masih ada ruang kemungkinan bahawa golongan Mukmin itu salah dan golongan musyrik itu benar, kerana kebenaran dan kebatilan adalah jelas tanpa ada syak padanya, namun ia merupakan salah satu uslub (gaya bahasa) orang Arab ketika berdebat, tatkala pihak lawannya enggan mengakui kebenaran meskipun dia telah mengetahuinya. Menurut Abu ‘Ubaidah al-Jarrah dan al-Farra’, kalimah (أَوْ) dalam ayat di atas bermaksud “dan”, maka maksud ayat ini ialah “Kami merupakan golongan yang berada di atas petunjuk, dan kalian berada dalam kesesatan yang nyata.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 14/299)

Menjawab persoalan di atas, Fakhruddin al-Razi menyatakan bahawa ayat ini merupakan satu petunjuk daripada Allah SWT kepada rasul-Nya ketika melibatkan diri dalam perdebatan. Jika salah seorang daripada pendebat berkata kepada pihak lawan, “Apa yang engkau katakan ini salah,” ia mungkin menyebabkan pihak lawannya marah dan emosional, maka ia menyebabkan perdebatan tidak mencapai matlamatnya. Adapun jika pendebat itu bersikap merendah diri dan mengakui bahawa salah seorang daripada mereka boleh jadi benar dan boleh jadi salah, maka ia akan melembutkan hati pihak lawan untuk tidak bersikap taksub serta membuka ruang kepadanya meneliti hujah yang dikemukakan secara adil. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 25/205)

Ini merupakan satu sikap yang sederhana, lembut dan berhemah dalam mengemukakan hujah, kerana ia memberi ruang kepada pihak lawan untuk berfikir secara mendalam dan akhirnya mengakui kebenaran. Namun pada sama ia juga merupakan satu sanggahan yang keras terdapat mereka yang tetap berdegil dengan kebatilan, dan ia lebih keras berbanding sanggahan secara langsung (direct).

Begitu juga, perlunya seseorang sentiasa bermohon dan bermunajat kepada Allah SWT, kerana Allah lah yang menjinakkan hati seseorang sebagaimana firman Allah SWT:

 لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَّا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ

Maksudnya: Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka.

(Surah al-Anfal: 63)

Al-Syaukani berkata: Firman Allah: ‘ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَّا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ’. Hal ini kerana fanatisme kelompok dan permusuhan antara mereka telah mencapai darjat yang tidak mungkin dihindari dengan cara apa pun. (Lihat Fath al-Qadir, 6/332)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”