#4959: Perkara yang Tidak Boleh Dilakukan Apabila dalam Keadaan Haid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya seseorang sedang dalam keadaan haid, perkara apa yang tidak boleh dilakukan dalam beribadat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

 Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Pada asasnya haid dari segi bahasa bermaksud mengalir. Dikatakan bahawa, “حَاضَ الوَادِي” apabila lembah mengalir.  Manakala dari segi syarak pula haid diertikan sebagai:

دَمُ جِبِلَّةٍ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ

Maksudnya: “Darah kebiasaan yang keluar dari bahagian paling hujung di dalam rahim seorang perempuan secara sihat.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 161).

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat sepuluh perkara yang haram dilakukan bagi mereka yang haid:

  1. Solat
  2. Tawaf
  3. Menyentuh mushaf
  4. Membawa mushaf
  5. Menetap di masjid.
  6. Membaca al-Quran.
  7. Puasa.
  8. Talak.
  9. Berjalan di dalam masjid sekiranya takut menitis darah haid.
  10. Bermesraan (antara suami isteri) antara pusat dan lutut. (Lihat Safinah al-Naja, hlm. 22-23)

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.