#4960: Dalil Beriman dengan Nikmat dan Azab Kubur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Boleh terangkan kepada kami tentang dalil beriman dengan nikmat dan azab  kubur? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قَالُوا رَبَّنَا أَمَتَّنَا اثْنَتَيْنِ وَأَحْيَيْتَنَا اثْنَتَيْنِ فَاعْتَرَفْنَا بِذُنُوبِنَا فَهَلْ إِلَىٰ خُرُوجٍ مِّن سَبِيلٍ

Maksudnya:  “Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan kami bersifat hidup dua kali, maka kami (sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk (kami) keluar (dari neraka)?”

(Surah Ghafir:11)

Ayat tersebut menjelaskan tentang kematian yang berlaku sebanyak dua kali menjadi hujjah bagi kebanyakan para ulama untuk menetapkan adanya azab kubur. Perkara ini adalah berdasarkan kepada Tafsir al-Suddi yang menyatakan bahwa, mereka dimatikan di dunia, kemudian dihidupkan di dalam kubur untuk disoal, kemudian dimatikan semula sebelum dihidupkan di hari akhirat. (Lihat Tafsir Munir, 24/93)

Secara umumnya, AhliSunnah Waljamaah mengimani kewujudan azab dan nikmat yang akan diperolehi oleh setiap manusia apabila mereka dikebumikan. Hanya golongan Mu’tazilah yang enggan mempercayai kehidupan dalam kubur yang meliputi nikmat dan azab terhadap penghuninya kerana dianggap bertentangan dengan akal. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/14)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan sebagai seorang muslim hendaklah  berIman kepada nikmat kubur iaitu dikurniakan kepada orang-orang yang taat. Manakala siksa kubur pula bagi sesiapa yang layak daripada golongan yang melakukan maksiat dan fasik.  Ia adalah daripada asas-iman yang telah disahkan oleh  Al-Quran dan al- Hadith.

Firman Allah SWT:

يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۖ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ ۚ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ

Maksudnya: Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.

(Surah Ibrahim: 27)

Ini adalah janji dari Allah SWT kepada hamba-hamba yang beriman bahawa Dia akan meneguhkan mereka dalam keimanan. Tidak kira betapa besar ujian dan cubaan yang mereka hadapi, sehingga mereka mati dalam keadaan beriman. Di hari pula Iaitu di dalam kubur, yang merupakan pintu gerbang kehidupan akhirat, di mana dua malaikat akan bertanya kepada mereka tentang Allah, agama, dan nabi, ditanyakan kepada mereka : Siapakah tuhanmu dan apakah agamamu? Siapakah nabi mu?. Mereka akan diteguhkan dengan ucapan yang kukuh, iaitu iman dan asalnya iaitu tiada Tuhan melainkan Allah, dan  Muhammad itu Rasulullah, serta amalan yang soleh yang merupakan Islam. (Lihat Aisar al-Tafasir, 3/56 )

Diriwayatkan daripada al-Bara’Bin ‘Azib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

” إِذَا أُقْعِدَ المُؤْمِنُ فِي قَبْرِهِ أُتِيَ، ثُمَّ شَهِدَ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، فَذَلِكَ قَوْلُهُ: {يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ } [إبراهيم: 27]” حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، حَدَّثَنَا غُنْدَرٌ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ بِهَذَا – وَزَادَ – {يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا} [إبراهيم: 27] نَزَلَتْ فِي عَذَابِ القَبْرِ

Maksudnya: “Apabila (jenazah) seorang mukmin telah didudukkan (diletakkan) di dalam kuburnya, maka dia akan didatangi (pertanyaan malaikat). Kemudian dia bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Itulah yang dimaksudkan oleh firman Allah Taala: “Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh  di dunia dan di akhirat.” (Surah Ibrahim: 27)

Riwayat Bukhari (1369)

Manakala azab kubur pula diceritakan oleh Allah SWT dalam firmannya:

وَحَاقَ بِـَٔالِ فِرْعَوْنَ سُوٓءُ ٱلْعَذَابِ ٤٥ ٱلنَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّۭا وَعَشِيًّۭا ۖ وَيَوْمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ أَدْخِلُوٓا۟ ءَالَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ ٱلْعَذَابِ

Maksudnya: “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!” Dan (ingatkanlah perkara yang berlaku) semasa orang-orang yang kafir dan yang menderhaka berbantah-bantahan dalam neraka, iaitu orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) berkata kepada pemimpin-pemimpinnya yang sombong takbur: “Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut-pengikut kamu, maka dapatkah kamu menolak dari kami sebahagian daripada azab neraka ini?”

(Surah Ghafir:45-46)

Al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Jumhur ulama menyatakan kejadian ini berlaku di alam barzakah dan ia merupakan hujah terhadap kewujudan azab kubur. (Lihat Jami’ Li Ahkam al-Quran, 15/319 )

Al-Hafiz Ibn kathir menyatakan:  Ayat ini merupakan asal pada pendalilan ahli sunnah terhadap azab Barzakh dalam kubur. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/146)

Begitu juga dapat dilihat melalui  firman Allah SWT:

سَنُعَذِّبُهُم مَّرَّتَيْنِ ثُمَّ يُرَدُّونَ إِلَىٰ عَذَابٍ عَظِيمٍ

Maksudnya:  Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar.

(Surah al-Taubah: 101)

Pengulangan yang disebutkan ini terhadap mereka adalah pintu azab, iaitu  azab di dunia, dan azab di akhirat. Di dunia, mereka akan mengalami kesedihan, kegelisahan, dan ketidakpuasan atas apa yang menimpa orang-orang beriman dari kemenangan dan bantuan. Di akhirat, azab neraka dan tempat yang sangat buruk menanti. Mungkin juga yang dimaksud adalah untuk menguatkan siksaan bagi mereka, meningkatkannya, dan mengulanginya. (Lihat Taisir al-Quran al-Karim, hlm.350)

Daripada Abdullah Bin ‘Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا مَاتَ عُرِضَ عَلَيْهِ مَقْعَدُهُ بِالْغَدَاةِ وَالعَشِيِّ، إِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ فَمِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَإِنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَمِنْ أَهْلِ النَّارِ، فَيُقَالُ: هَذَا مَقْعَدُكَ حَتَّى يَبْعَثَكَ اللَّهُ يَوْمَ القِيَامَةِ»

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila salah seorang di antara kamu meninggal dunia, maka ditunjukkan kepadanya tempat duduknya di waktu pagi dan petang. Jika dia daripada kalangan penghuni syurga, maka (ditunjukkan kepadanya) dia termasuk dalam penghuni syurga, dan jika dia daripada kalangan penghuni neraka maka (ditunjukkan kepadanya) dia termasuk dalam penghuni neraka. Maka dikatakan: Ini tempat duduk kamu sehingga Allah membangkitkan engkau pada hari kiamat nanti.”

Riwayat Bukhari(1379)

Justeru, jelaslah melalui petunjuk-petunjuk di atas, wujudnya kenikmatan dan azab di dalam kubur. Sebagai seorang Muslim, adalah menjadi kewajipan untuk beriman kepada nikmat dan azab ini, kerana keduanya merupakan sebahagian daripada asas keyakinan. Barangsiapa yang menolak keimanan terhadapnya, maka dia telah mengingkari salah satu dari rukun iman yang boleh membawa kepada kekufuran. Ini juga merupakan peringatan penting akan keperluan memahami dan meyakini nikmat serta azab kubur sebagai sebahagian daripada keimanan yang teguh  bagi seorang Muslim.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Riwayat al-Bukhari (1377) dan Muslim (1352)

Wallahu’alam