#5039: Benarkah Nabi SAW Sujud Pada Surah al-Najm

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Nabi sujud pada surah al-Najm, dan diikuti oleh kaum muslimin, musyrikin, jin dan manusia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, benar, Nabi SAW pernah sujud pada surah al-Najm sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَجَدَ بِالنَّجْمِ، وَسَجَدَ مَعَهُ المُسْلِمُونَ وَالمُشْرِكُونَ وَالجِنُّ وَالإِنْسُ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW sujud (tilawah) pada Surah al-Najm. Lalu kaum Muslimin dan musyrikin, serta jin dan manusia, ikut sujud bersama Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (1071)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith ini menunjukkan pensyariatan sujud tilawah bagi orang yang membacanya. Hadith ini juga menjadi bahawa sujud-sujud al-Mufassal adalah sebahagian daripada sujud tilawah. Ini berbeza dengan pendapat Imam al-Syafi’i yang tidak menganggap sujud-sujud al-Mufassal sebagai sujud tilawah. Al-Tahawi berkata: “Telah datang riwayat yang mutawatir daripada baginda SAW mengenai sujud al-Mufassal”

Sebab orang musyrikin bersama baginda di Mekah melakukan sujud ketika mendengar surah al-Najm adalah kerana mereka mendengar ancaman terhadap bangsa-bangsa yang mendustakan rasul-rasul mereka di bahagian akhir surah. Allah SWT berfirman:

وَأَنَّهُ أَهْلَكَ عَادًا الْأُولَى (٥٠) وَثَمُودَ فَمَا أَبْقَى (٥١) وَقَوْمَ نُوحٍ مِنْ قَبْلُ إِنَّهُمْ كَانُوا هُمْ أَظْلَمَ وَأَطْغَى (٥٢) وَالْمُؤْتَفِكَةَ أَهْوَى (٥٣) فَغَشَّاهَا مَا غَشَّى

Maksudnya: “Dia telah membinasakan kaum ‘Ad yang pertama iaitu kaum Nabi Hud. Dan telah membinasakan kaum Thamud sehingga tiada seorang pun yang ditinggalkan hidup. Dan begitu juga kaum Nabi Nuh sebelum daripada itu. Sesungguhnya mereka itu telah berlaku zalim dan melampaui batas. Dan kampung kaum Nabi Lut yang diangkat ke langit dan dihempapkan ke bumi. Lalu mereka itu ditimpa dengan azab yang menyeluruh.”

(Surah al-Najm: 50-54)

Ini adalah perkara yang menakutkan mereka, maka mereka sujud. Mereka juga mempunyai reaksi yang sama ketika mendengar Al-Quran. Contohnya, ketika ‘Utbah bin Rabiah mendengar Rasulullah membaca surah Ha Mim (Fussilat), sehingga baginda sampai pada bacaan:

فَإِنْ أَعْرَضُوا فَقُلْ أَنْذَرْتُكُمْ صَاعِقَةً مِثْلَ صَاعِقَةِ عَادٍ وَثَمُودَ

Maksudnya: Oleh itu, kalau mereka (yang musyrik) berpaling (daripada mengesakan Allah dan menurut jalan yang lurus), maka katakanlah (wahai Muhammad): “Aku memberi amaran kepada kamu dengan (azab yang dahsyat, iaitu) petir, seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan kaum Thamud!”

(Surah Fussilat: 13)

Ketika itu, dia menyumbat mulut Rasulullah SAW dengan tangannya, meminta rahmat Tuhan untuk menghentikan bacaan itu, dan kembali ke Quraisy dengan wajah yang tidak sama dengan wajah semasa dia pergi daripada mereka, memberi nasihat kepada mereka, tetapi nasihat itu tidak diterima.

Hakim bin Hizam juga ketika mendengar firman Allah:

أَمْ خُلِقُوا۟ مِنْ غَيْرِ شَىْءٍ أَمْ هُمُ ٱلْخَـٰلِقُونَ

Maksudnya: “(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?”

(Surah al-Tur: 35)

dia menggigil sedangkan dia ketika itu berada dalam keadaan kekufuran.

Maka itulah yang mendorong orang-orang musyrikin untuk sujud dalam surah ini, bukan seperti yang diucapkan oleh orang-orang yang menyesatkan dan terpedaya oleh kisah-kisah yang palsu. Kisah tersebut tidak memiliki makna, tidak memiliki petunjuk yang jelas, dan jauh daripada kedudukan kenabian. Namun, musuh-musuh Islam senang menyala-nyalakan api fitnah semacam ini, dan mereka menemukan orang-orang yang mengikuti mereka: baik daripada para pengikut mereka dalam kekufuran, atau dari kalangan yang mudah melakukan kekecohan.  (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/360-361)

Hadith ini juga menjadi dalil bolehnya sujud tilawah tanpa berwudhu’. Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Ibn Rashid menyatakan, dan mungkin boleh dikumpulkan antara terjemahan dan pandangan Ibnu Umar:  Suatu yang sukar pada kebiasaannya untuk semua orang Islam yang hadir ketika ayat itu dibaca berada dalam keadaan berwudhu, kerana mereka belum dan tidak bersedia untuk itu. Jika demikian, bagi mereka yang merasa perlu sujud, maka mereka boleh bersujud kerana takut tertinggal untuk melakukan sujud itu kerana tidak wuduk, Hal ini diakui oleh Nabi SAW. Hal ini menunjukkan bolehnya sujud tanpa berwudhu ketika menghadapi kesulitan untuk berwudhu. Ini juga dikuatkan oleh kata-kata dalam hadith “Dan bersujudlah bersamanya orang-orang Islam, orang-orang musyrik, jin, dan manusia“. Ibn Abbas telah menyamakan penisbahan sujud kepada seluruh mereka yang mana daripada kalangan mereka itu adalah orang-orang yang tidak sah untuk berwudhu sama sekali iaitu orang-orang musyrik, maka mesti difahami bahawa sujud itu sah daripada orang yang ada wudhu dan daripada orang yang tidak berwudhu. Wallahu a’lam.” (Lihat Fath al-Bari, 2/554)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”