#5208: Keadilan Umar bin Abd al-’Aziz

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Umar bin Abd al-’Aziz mengambil berat tentang keadilan untuk ditegakkannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.”

(Surah al-Nahl: 90)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 447)

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seringkas mungkin riwayat hidup Umar bin Abd al-’Aziz.

Nama beliau ialah Abu Hafs Umar bin ‘Abd al-‘Aziz bin Marwan bin al-Hakam bin Abu al-‘As bin Umayyah bin ‘Abd Syams bin ‘Abd Manaf bin Qusai bin Kilab al-Qurasyi al-Umawi. Beliau adalah seorang al-Imam, al-Hafiz, al-‘Allamah, al-Mujtahid, al-Zahid, al-‘Abid, al-Sayyid dan Amirul Mukminin. Ibunya pula bernama Ummu ‘Asim binti ‘Asim bin Umar bin al-Khattab. Ada ulama berpendapat, beliau dilahirkan pada tahun 63 Hijrah. Manakala al-Fallas menyebutkan bahawa dia mendengar al-Khuraibi berkata: “Al-A‘masy, Hisyam bin ‘Urwah, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan Talhah bin Yahya dilahirkan pada tahun terbunuhnya Husain iaitu pada tahun 61 Hijrah. Inilah juga pendapat yang dipegang oleh Khalifah bin Khayyat dan ramai lagi berkenaan tarikh kelahirannya.

Beliau merupakan  khalifah Bani Umayyah yang memerintah dari tahun 99 Hijrah hingga tahun 101 Hijrah. Bapanya ialah Abd al-Aziz, Gabenor Mesir dan adik kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Umar ialah cicit kepada Khalifah kedua Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina ‘Umar bin al-Khattab. Sebaik sahaja dilantik menjadi khalifah, Umar Ibn Abdul Aziz memecat gabenor-gabenor daerah yang diketahui kejam atau tidak berlaku adil terhadap rakyat. Semua barangan kemas dan hadiah berharga yang diberikan kepada beliau tatkala beliau menaiki tahkta kerajaan dihantar ke Baitul Mal.

Selain itu, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz juga termasuk dalam kalangan para imam mujtahid dan Khulafa’ al-Rasyidin. Beliau meriwayatkan atau mengambil ilmu daripada Abdullah bin Ja‘far bin Abu Talib, al-Sa’ib bin Yazid, Sahl bin Sa‘d, Sa‘id bin al-Musayyib, ‘Urwah, Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman dan ramai lagi. Ibn Sa‘d ada menyebutkan, “Umar bin ‘Abd al-‘Aziz adalah seorang yang thiqah dan amanah. Beliau memiliki kefahaman, ilmu pengetahuan dan kewarakan. Beliau juga meriwayatkan banyak hadith dan merupakan seorang pemimpin yang adil. Semoga Allah merahmati dan meredhainya.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 5/114-115).

Menurut Ibn Kathir, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz termasuk dalam kalangan ulama tabi‘in yang besar. Beliau meriwayatkan (mengambil ilmu) daripada sebahagian sahabat Rasulullah SAW seperti Anas bin Malik, al-Sa’ib bin Yazid dan Yusuf bin Abdullah bin Salam, dan begitu juga beliau turut meriwayatkan daripada sebahagian ulama tabi‘in yang lain. Selain daripada itu, sebahagian ulama tabi‘in dan selain mereka juga ada meriwayatkan (mengambil ilmu) daripadanya. Keilmuannya diakui sehinggakan Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata: “Aku tidak mengetahui perkataan mana-mana tabi‘in yang menjadi hujah melainkan perkataan Umar bin ‘Abd al-‘Aziz.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/576-577).

Umar bin ‘Abd al-‘Aziz meninggal dunia pada bulan Rejab, tahun 101 Hijrah dan umurnya ketika itu ialah 40 tahun. (Lihat Tarikh Ibn Khaldun, hlm. 96).  Raja’ bin Haiwah menyebutkan, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah berwasiat kepadaku supaya aku memandikan dan mengkafankan jenazahnya serta memintaku untuk melihat wajahnya ketika dimasukkan ke dalam liang kubur. Maka, aku melakukan semua wasiat tersebut dan wajahnya seperti kertas yang berwarna putih. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/718).

Berkenaan persoalan di atas, pada zaman beliau telah menyaksikan banyak perkara keadilan ditegakkan. Dicatatkan, pada suatu ketika, penduduk kota Samarkand telah mengadu kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkenaan panglima pasukannya Qutaibah dan pasukan tenteranya yang telah masuk dan memerangi negara mereka tanpa memberi peringatan terlebih dahulu sebagaimana diwajibkan oleh Syariat Islam.

Amirul Mukminin kemudiannya lalu mengarahkan al-Qadhi untuk menghakimi pengaduan tersebut. Akhirnya al-Qadhi memutuskan agar pasukan Islam hendaklah keluar dari kota Samarkand. Keputusan ini memberi kemenangan kepada penduduk Samarkand.

Setelah penduduk Samarkand menyaksikan manifestasi keadilan Islam tersebut, mereka mengumumkan pengislaman mereka serta memuji sistem pengadilan Islam dan pasukan penaklukan. Mereka juga menyatakan penerimaan mereka terhadap hukum negara Islam. (Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 4/69)

Khalifah Umar bin Abd al-Aziz juga sangat menonjol dengan sistem pemerintahannya yang benar-benar memanifestasikan tadbir urus yang baikHal ini telah disebut oleh Ibn Khaldun dan beliau telah memujinya dalam kitab al-Muqaddimah.

Keadilan Khalifah Umar juga jelas ketikamana menaiki takhta, beliau mengambil tindakan untuk tidak mempunyai pengawal peribadi seperti sebelumnya. Begitu juga, beliau amat berhati-hati berkenaan dengan harta sehingga banyak yang dimasukkan semula ke Baitul Mal. Antara kelebihan Umar bin Abdul Aziz juga, ramai para ulama memberi nasihat kepadanya, sementelahan lagi ketika itu ramai tokoh-tokoh ulama yang ikhlas dan tegas. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Kathir dalam kitabnya, al-Bidayah wa al-Nihayah (9/221).

Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz terkenal dalam sejarah sebagai seorang khalifah yang soleh dan adil. Sepanjang tempoh pemerintahannya, keadilan yang beliau terapkan telah mencipta satu zaman pemerintahan yang gilang gemilang. Pemerintahan beliau hanya berlangsung selama dua tahun dan beberapa bulan. Namun, telah mencatat pelbagai tindakan pembaharuan yang sangat penting. Beliau juga telah memperbetulkan kembali perjalanan tadbir urus negara Islam. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/142)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)