#5213: Anjing Ashab al-Kahfi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan dengan terperinci berkenaan anjing Ashab al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kisah anjing Ashab al-Kahfi ini juga ada dirakamkan di dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT:

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا

Maksudnya: “Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.

(Surah al-Kahfi: 18)

Menurut Imam al-Baghawi, kebanyakan ahli tafsir berpendapat ayat (وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ) adalah merujuk kepada anjing. Namun, terdapat pendapat bahawa ia adalah merujuk kepada binatang buas sebagaimana diriwayatkan daripada Ibn Juraij bahawa ia ialah singa dan dinamakan singa sebagai “anjing”. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu ‘Aqrab al-Bakri al-Kinani berkenaan doa Nabi SAW kepada ‘Utbah bin Abu Lahab:

اللَّهُمَّ سَلِّطْ عَلَيْهِ كَلْبًا مِنْ كِلَابِكَ، فَقَتَلَهُ الْأَسَدُ

Maksudnya: “Ya Allah, kirimkanlah ke atas mereka seekor anjing (binatang buas) yang Engkau ciptakan daripada haiwan-haiwan buas (ciptaan)-Mu.” Lalu dia telah dibunuh oleh singa.

Riwayat al-Hakim (3984); Abu Nu‘aim dalam Ma‘rifah al-Sahabah (6926); Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa riwayat ini adalah hasan. (Lihat Fath al-Bari, 4/48)

Sekalipun begitu, pendapat yang pertama — yakni anjing — adalah umum diketahui. Ibn Abbas R.Anhuma menyebutkan bahawa ia ialah seekor anjing yang berwarna kelabu terang. Diriwayatkan mengenainya bahawa ia lebih besar daripada anjing jenis baka poodle dan lebih kecil daripada anjing jenis baka Kangal Kurdish. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/183-184)

Warna dan Nama Anjing Ashab al-Kahfi

Terdapat beberapa pendapat mengenai warna anjing ini. Di antaranya ialah:

  • Ibn Abbas R.Anhuma menyebutkan bahawa warnanya ialah kelabu terang.
  • Dikatakan juga bahawa Ibn Abbas R.Anhuma berpendapat warnanya ialah merah terang.
  • Manakala menurut Muqatil pula bulunya berwarna kekuningan.
  • Al-Qurtubi menambah lagi dengan menyatakan, warna kuningnya kemerah-merahan.
  • Al-Kalbi menyebutkan, warnanya antara merah dan kuning.
  • Dikatakan juga warnanya seperti warna langit (kemungkinan putih kebiru-biruan atau kelabu kehitaman seperti langit mendung).
  • Dikatakan juga warnanya seperti warna batu (kemungkinan hitam).
  • Dikatakan juga warnanya putih kehitam-hitaman serta kemerahan. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/183-184; Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/389)

Adapun namanya pula, para ulama’ berbeza pendapat mengenainya. Di antaranya ialah:

  • Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, namanya ialah Qitmir.
  • Manakala Ali R.A berpendapat, namanya ialah Rayyan.
  • Selain itu, al-Auza‘i pula berpendapat namanya ialah Yathur.
  • Disebutkan juga bahawa al-Auza‘i berpendapat namanya ialah Musyir.
  • Al-Suddi pula berpendapat namanya ialah Yur.
  • Disebutkan juga bahawa al-Suddi berpendapat nama anjing itu ialah Tun.
  • Ka‘ab pula berpendapat namanya ialah Sahban.
  • Disebutkan juga bahawa juga bahawa Ka‘ab berpendapat namanya ialah Sabhan.
  • Sa‘id al-Hammal berpendapat namanya ialah Harr
  • Abdullah bin Kathir menyebutkan nama anjing mereka — yakni Ashab al-Kahfi — ialah Qatmur.
  • Abdullah bin Salam menyebutkan bahawa namanya ialah Basit.
  • Wahb pula berpendapat namanya ialah Naqiyya.
  • Dikatakan juga namanya ialah Qatfir.
  • Selain itu, ada juga yang berpendapat namanya ialah Qutaifir. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/183-184; Hayah al-Hayawan al-Kubra, 3/642)

Seterusnya, mengenai hal ini Ibn Kathir ada menjelaskan bahawa ramai tukang-tukang cerita dan ahli-ahli tafsir menyebutkan tentang anjing ini dengan berita dan cerita yang panjang lebar. Kebanyakannya diambil daripada kisah Israiliyyat. Banyak daripadanya adalah palsu dan tidak ada apa-apa faedah seperti khilaf mereka mengenai nama dan warna anjing tersebut. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/115)

Justeru, jelaslah di sini bahawa terdapat dua pendapat dalam berinteraksi dengan kisah anjing Ashab al-Kahfi. Sebahagian dalam kalangan mereka membahaskannya dengan kupasan yang terperinci manakala sebahagiannya lagi hanya berhenti kepada apa yang disebutkan dalam al-Quran semata-mata.

Lebih-lebih lagi guru kami, Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti ada menyebutkan bahawa pandangan-pandangan yang disebutkan oleh para ahli tafsir berkenaan nama anjing Ashab al-Kahfi seperti sebahagian mereka berpendapat namanya ialah Qitmir, manakala sebahagian yang lain pula berpendapat namanya ialah Humran dan lain-lain. Kami tidak memanjangkan perbahasan tentangnya kerana ia tidak membawa apa-apa faedah. Dalam al-Quran, terdapat banyak perkara yang tidak diperincikan oleh Allah SWT kepada kita, begitu juga Rasul-Nya, juga tidak sabit apa-apa dalil yang menjelaskannya. Justeru, perbahasan mengenainya tidak perlu dipanjangkan dan ia tidak memberi apa-apa faedah. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/226).

Ini berdasarkan kepada kaedah:

عِلْمٌ لَا يَنْفَع، وَجَهْلٌ لَا يَضُر

Maksudnya: “Pengetahuan mengenainya tidaklah memberi manfaat (yang banyak), sedangkan jahil mengenainya pula tidak memudharatkan (memberi apa-apa kesan).

Kesimpulannya, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa perbahasan mengenai nama dan warna anjing Ashab al-Kahfi ini tidak perlu dipanjangkan mahupun diperincikan. Cukuplah kita berpada dengan apa yang telah disebutkan di dalam wahyu. Hal ini kerana perbahasan itu sangat sedikit faedahnya buat kita dan tidak memberi apa-apa kesan kepada hukum-hakam agama.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”