#5315: Hijrah Nabi SAW Sebagai Pelarian?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW dianggap sebagai pelarian ketika melaksanakan hijrah ke kota Madinah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Nisa’ (100)

Ibn ‘Abbas berpendapat bahawa al-Muragham ialah perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Manakala Mujahid pula mengatakan Muragham kathiran adalah menjauhkan diri daripada sesuatu yang tidak disukai.

Ibn Kathir berkata: “Pendapat yang zahir – Allah lebih mengetahui – hijrah ialah langkah pencegahan untuk membentengi diri yang dengannya menyebabkan musuh-musuh menjadi marah. Beliau berkata lagi: “Wa sa`ah (وَسَعَةً)” ialah keluasan rezeki seperti yang disebut oleh ulama’, antaranya Qatadah, seperti katanya: “Daripada kesesatan menuju hidayah dan daripada kekurangan menuju kekayaan (atau kecukupan).” Ibn Kathir berkata lagi: “Barangsiapa yang keluar daripada rumahnya dengan niat hijrah, lalu mati di tengah perjalanan, maka dia telah memperolehi pahala orang-orang yang berhijrah di sisi Allah.” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 2/391)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah bukanlah satu tindakan melarikan diri, namun ia dibuat susulan perintah dan tuntutan Allah SWT. Hal ini kerana Baginda tidak keluar meninggalkan kota Makkah melainkan setelah mendapat arahan dan keizinan daripada Allah SWT. Ini jelas dapat dilihat di dalam sebuah hadith Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa:

بُعِثَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ لأرْبَعِينَ سَنَةً، فَمَكُثَ بمَكَّةَ ثَلاثَ عَشْرَةَ سَنَةً يُوحى إلَيْهِ، ثُمَّ أُمِرَ بالهِجْرَةِ فَهاجَرَ عَشْرَ سِنِينَ، وماتَ وهو ابنُ ثَلاثٍ وسِتِّينَ

Maksudnya: “Diutuskan Rasulullah SAW pada usia 40 tahun. Baginda tinggal di Makkah selama 13 tahun (dalam menyampaikan dakwahnya) dan diwahyukan kepadanya. Kemudian, Baginda diperintahkan untuk berhijrah, maka Baginda pun berhijrah (dan menetap di sana) selama 10 tahun, lalu wafat ketika berusia 63 tahun.”

Riwayat al-Bukhari (3902)

Begitu juga, dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah R.Anha disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada kaum Muslimin:

إنِّي أُرِيتُ دارَ هِجْرَتِكُمْ، ذاتَ نَخْلٍ بيْنَ لابَتَيْنِ وهُما الحَرَّتانِ، فَهاجَرَ مَن هاجَرَ قِبَلَ المَدِينَةِ، ورَجَعَ عامَّةُ مَن كانَ هاجَرَ بأَرْضِ الحَبَشَةِ إلى المَدِينَةِ، وتَجَهَّزَ أبو بَكْرٍ قِبَلَ المَدِينَةِ، فقالَ له رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: علَى رِسْلِكَ، فإنِّي أرْجُو أنْ يُؤْذَنَ لي فقالَ أبو بَكْرٍ: وهلْ تَرْجُو ذلكَ بأَبِي أنْتَ؟ قالَ: نَعَمْ فَحَبَسَ أبو بَكْرٍ نَفْسَهُ علَى رَسولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ لِيَصْحَبَهُ، وعَلَفَ راحِلَتَيْنِ كانَتا عِنْدَهُ ورَقَ السَّمُرِ وهو الخَبَطُ، أرْبَعَةَ أشْهُرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah diperlihatkan kepadaku negeri hijrah kalian, ianya memiliki pohon kurma di antara dua tempat batu hitam. Maka berhijrahlah orang yang ingin berhijrah ke Madinah. Sebahagian besar mereka yang telah berhijrah ke Habsyah turut kembali ke Madinah. Abu Bakar pun bersiap-siap untuk menuju ke Madinah. Namun, Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Tunggulah di sini dahulu, kerana sesungguhnya aku masih berharap diizinkan untukku (turut berhijrah).” Abu Bakar berkata: “Apakah engkau mengharapkan hal itu (untuk aku menunggu bersama), ayahku sebagai tebusan bagimu.” Baginda SAW menjawab: “Ya.” Abu Bakar pun menahan dirinya (daripada berhijrah) untuk Rasulullah SAW agar dapat menemaninya. Dia memberi makan dua ekor unta yang ada padanya dengan daun al-Samur yang jatuh dipukul oleh tongkat selama empat bulan.”

Riwayat al-Bukhari (3905)

Maka, jelaslah di sini bahawa walaupun Rasulullah SAW sudah memberi keizinan kepada kaum Muslimin untuk berhijrah tetapi Baginda masih lagi menanti keizinan daripada Allah SWT untuk dirinya. Oleh itu, ketika Abu Bakar al-Siddiq mempersiapkan diri untuk berhijrah bersama kaum Muslimin yang lain, Baginda SAW memintanya untuk menangguhkan dahulu kerana Baginda sedang menanti keizinan daripada Allah SWT dan sekiranya mendapat kebenaran, Baginda berharap supaya sahabat baiknya itu dapat menemaninya dalam hijrah tersebut.

Selain itu juga, Rasulullah SAW pernah menyebutkan bahawa Baginda sangat sayang kepada tanah airnya iaitu kota Makkah itu. Sekiranya bukan kerana Rasulullah SAW diperintahkan oleh Allah SWT untuk berhijrah ke kota Madinah, Baginda tidak akan sesekali meninggalkannya. Hal ini adalah sebagaimana satu riwayat, bahawa Baginda SAW bersabda:

وَاللهِ إِنَّكِ لَخَيْرُ أَرْضِ اللهِ، وَأَحَبُّ أَرْضِ اللهِ إِلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَلَوْلَا أَنِّي أُخْرِجْتُ مِنْكِ مَا خَرَجْتُ

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya engkau (Makkah) adalah bumi Allah yang terbaik, dan tanah yang paling dicintai oleh Allah SWT. Seandainya aku tidak dikeluarkan daripada engkau (tidak diperintahkan untuk berhijrah), nescaya aku tidak akan keluar (dari tanah ini).” 

Riwayat Ahmad (18715)

Selain itu, penghijrahan Nabi SAW ke Madinah juga adalah kerana pelawaan dan jemputan kaum Ansar di Madinah. Oleh itu, Baginda ke sana sebagai tetamu kehormat untuk menjadi pemimpin mereka seterusnya menyatukan dan membentuk piagam Madinah.

Di samping itu, penghijrahan ke Madinah lebih kepada mencari ruang dan peluang untuk menyebarkan dakwah dan menguatkan agama Islam sebagai satu strategi, berbeza dengan penghijrahan orang Islam ke Habasyah untuk mendapatkan perlindungan. Dengan itu, Islam menjadi semakin kuat lantas Nabi SAW berjaya kembali ke kota Makkah dan membukanya tanpa berlaku sebarang pertumpahan darah. Justeru penghijrahan Nabi SAW adalah bukan satu tindakan melarikan diri, akan tetapi ia merupakan satu tuntutan Ilahi.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”