#5319: Kisah Abu Jahal Selepas Kematian

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami, bagaimana kesudahan Abu Jahal selepas kematiannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Abu Jahal atau nama sebenarnya Amru bin Hisyam dibunuh oleh dua remaja beriman dari Kabilah Ansar ketika Perang Badar. Dua pahlawan muda itu adalah Muaz ibn ‘Amru ibn al-Jamuh dan Muaz atau Mu’awwiz ibn Afra’.

Selepas kematian Abu Jahal dan selesainya peperangan Badar, Rasulullah SAW mengumpulkan mayat-mayat orang kafir dan meminta digali satu lubang besar dan dipanggil sebagai qalib. Kemudian sebelum dikambus, Rasulullah SAW berucap kepada mayat tersebut dengan menyatakan:

 يَا أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ! يَا أُمَيَّةَ بْنَ خَلَفٍ! يَا عُتْبَةَ بْنَ رَبِيعَةَ! يَا شَيْبَةَ بْنَ رَبِيعَةَ! أَلَيْسَ قَدْ وَجَدْتُمْ مَا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا؟ فَإِنِّي قَدْ وَجَدْتُ مَا وَعَدَنِي رَبِّي حَقًّا.

Maksudnya: “Wahai Abu Jahal bin Hisyam, wahai Umayyah bin Khalaf, wahai Utbah bin Rabi’ah, wahai Syaibah bin Rabi’ah, bukankah kamu telah menemui kebenaran janji Rabb kamu? Sesungguhnya aku telah menemui kebenaran janji Rabbku yang dijanjikan padaku.” 

Saidina Umar R.A yang mendengar ucapan Nabi SAW lalu berkata, “Wahai Rasulullah, bagaimana mereka dapat mendengar dan bagaimana mereka dapat menjawab. Lihatlah mereka telah menjadi bangkai.” Nabi SAW bersabda: ”Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu tidak lebih mendengar ucapanku melebihi mereka. Hanya sahaja mereka tidak dapat menjawab.” 

Riwayat Muslim (2874)

Al-Qurtubi dalam kitabnya al-Tazkirah (hlm. 145) menyebut: Al-Wa’ili al-Hafiz dalam kitabnya, al-Ibanah menyampaikan riwayat daripada Malik ibn Maghul, daripada Nafi’, daripada Ibn ‘Umar, katanya: “Ketika kami melewati berhampiran perkuburan Badar, tiba-tiba keluar seorang lelaki dari dalam tanah dengan leher yang dibelenggu rantai hitam. Dia berkata: “Wahai Abdullah, berilah aku minum!” Ibn Umar berkata: “Aku tidak tahu, dia memanggilku Abdullah kerana mengenaliku atau memang seseorang memanggil Abdullah kepada orang lain.”

Ibn Umar meneruskan: “Sesuatu yang berwarna hitam, yang menahan hujung rantai itu berkata: “Jangan beri dia minum! Dia orang kafir!” Kemudian orang itu ditariknya hingga masuk kembali ke dalam tanah. Peristiwa itu kemudian diceritakan kepada Rasulullah SAW. Lalu Baginda berkata: “Jika memang kamu melihatnya, maka dia ialah Abu Jahal ibn Hisyam, musuh Allah. Dia diseksa seperti itu sehingga hari Kiamat.” (Lihat al-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta, hlm. 145. Lihat juga kitab al-Ruh oleh Ibn al-Qayyim, hlm. 67 dan Tafsir al-Tha’alibi, 4/645)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”