#5229: Tafsir Ayat 17 dan 18 Surah al-Kahfi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, tafsir ayat 17 dan 18 daripada surah al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ ۗ مَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا

Maksudnya: “Engkau akan lihat matahari ketika terbit, ia menjauhi gua mereka di sebelah kanan dan ketika terbenam cahayanya menjauhi mereka di sebelah kiri. Mereka berada di kawasan lapang di dalam gua tersebut. Itu adalah antara tanda kekuasaan Allah. Siapa yang diberi hidayah oleh Allah dia telah mendapat petunjuk. Siapa yang disesatkan dia tidak akan menemui sesiapa yang dapat memberi petunjuk padanya.”

(Surah al-Kahfi: 17)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, Allah SWT mengkhabarkan bahawa matahari apabila memasuki gua ketika terbitnya akan melencong dari sebelah kanan gua. Kemudian, beliau menukilkan perkataan Ibn Abbas yang menyatakan bahawa “تَّزَاوَرُ” bermaksud “تَمِيلُ” (melencong/condong). Hal ini disebabkan setiap kali matahari meninggi di ufuk, ia menyusut semakin tinggi, sehingga tidak ada apa-apa yang tinggal daripadanya ketika tenggelam pada tempat itu. Oleh itu, Allah SWT mengkhabarkan dalam ayat yang seterusnya: “وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ” iaitu apabila terbenam, ia masuk ke dalam gua mereka dari bahagian kiri pintu gua dan ini adalah dari arah timur. Kemudian, Ibn Kathir menyatakan, perkara ini adalah jelas bagi sesiapa yang mengkajinya dan mempunyai pengetahuan tentang geografi dan pergerakan matahari, bulan, dan bintang-bintang.

Penjelasannya adalah, jika pintu gua itu berada di sebelah timur, tiada sesuatu cahaya matahari pun yang akan masuk ke dalamnya pada waktu matahari terbenam, dan jika pintu gua itu berada di sebelah kiblat, tiada sesuatu cahaya matahari pun yang akan masuk dari situ pada waktu matahari terbit dan juga pada waktu matahari terbenam. Begitu juga tidak akan melencong atau condong bayang ke arah kanan mahupun kiri. Jika pintu gua itu berada di sebelah barat, cahaya matahari tidak akan masuk ke dalam gua pada waktu matahari terbit, bahkan (tidak akan masuk juga) selepas matahari gelincir dan tetap dalam keadaan demikian sehingga matahari terbenam.

Seterusnya, Ibn Kathir menukilkan pendapat Ibn Abbas dan Mujahid bahawa perkataan “تَّقْرِضُهُمْ” bermaksud “تَتْرُكُهُمْ” (meninggalkan mereka). Allah SWT mengkhabarkan kepada kita tentang perkara tersebut dan tujuannya adalah supaya kita memahaminya dan mentadabburinya. Begitu juga, Allah SWT tidak mengkhabarkan kepada kita mengenai lokasi (sebenar) gua ini berada di negeri mana di atas muka bumi. Kalaulah pengetahuan mengenai lokasi gua itu adanya maslahah terhadap agama, sudah pasti Allah SWT dan Rasul-Nya akan menunjukkan kepada kita tempatnya.

Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَا تَرَكْتُ شَيْئًا يُقَرِّبُكُمْ إِلَى الْجَنَّةِ وَيُبَاعِدُكُمْ مِنَ النَّارِ إِلَّا وَقَدْ أَعْلَمْتُكُمْ بِهِ

Maksudnya: “Aku tidak meninggalkan sesuatu pun yang mendekatkan kamu kepada syurga dan menjauhkan kamu dari neraka, melainkan sesungguhnya aku sampaikan kepada kamu mengenainya.

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (35473) dan al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (10376). Hadith ini disahihkan oleh al-Albani dalam al-Sahihah (1803).

Justeru, Allah SWT mengkhabarkan kepada kita sifat-sifatnya tetapi tidak mengkhabarkan kepada kita mengenai lokasi gua tersebut. Kemudian, ayat “وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ” (Engkau akan melihat matahari ketika terbit, ia menjauhi gua mereka), Imam Malik menyebut, “تَمِيلُ” yakni ia condong/melencong. (Kemudian dalam ayat berikutnya) “ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُ” (di sebelah kanan dan ketika terbenam cahayanya menjauhi mereka di sebelah kiri. Mereka berada di kawasan lapang di dalam gua tersebut), iaitu mereka berada dalam bahagian yang cukup luas di dalamnya, di mana sinar matahari tidak mengenai atau menyentuh mereka. Sekirannya sinaran cahaya matahari mengenai atau menyentuh mereka, pasti ia akan membakar badan dan pakaian mereka.

Selanjutnya, Ibn Abbas R.Anhuma mengatakan, ayat “ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ” (Itu adalah antara tanda kekuasaan Allah), di mana menunjukkan kepada mereka gua ini di mana Allah SWT menjadikan mereka (terus) hidup, di samping matahari dan juga angin turut memasuki gua itu bagi menjaga tubuh mereka agar tetap hidup. Kemudian dinyatakan bahawa Allahlah yang telah membimbing pemuda-pemuda tersebut kepada hidayah (kebenaran dan petunjuk) daripada kalangan kaum mereka. Hal ini kerana sesungguhnya sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dia mendapat petunjuk, dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada petunjuk baginya. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh Ali al-Sabuni, 2/411-412).

Dr. Ahmad Naufal menjelaskan lagi maknanya dengan menyatakan, seolah-olah Allah menjadikan ‘kehendak’ kepada matahari. Maka, matahari itu cenderung mengikut kehendak ini. Namun, sebenarnya ia cenderung atau bergerak sesuai dengan perintah Tuhannya — iaitu Allah SWT.

Seterusnya, Dr. Ahmad Naufal juga ada menyebutkan bahawa lafaz “وَتَرَى” dalam ayat di atas adalah ditujukan kepada Sayyid al-Mursalin (Nabi Muhammad SAW), seolah-olah Baginda sedang menyaksikan sendiri kisah Ashab al-Kahfi ini secara langsung, bukan sekadar mendengar kisah mereka atau membacanya di dalam al-Quran. Kisah atau apa yang disaksikan oleh Nabi SAW dan setiap orang yang melihat sesudahnya adalah pergerakan matahari ke atas pemuda al-Kahfi. Ketika matahari terbit, matahari akan condong ke sebelah kanan gua mereka. Begitu juga ketika matahari terbenam, matahari akan masuk ke dalam gua mereka untuk memberikan cahaya dan kehangatan.

Sehinggalah tibanya musim panas, maka matahari itu ketika berada di posisi terbenam dan suhu yang panas terik, ia tidak akan masuk ke dalam gua, dan semua ini atas perintah Tuhan, sebagai tanda berlembut terhadap mereka. (Cahaya matahari itu tidak masuk) baik pada saat terbit mahupun terbenamnya matahari. Dan matahari itu, dari segi waktu ia menyinari gua tersebut sehinggalah ia terbenam, ia sekadar muncul untuk mereka dalam tempoh yang mencukupi sahaja.

Pemuda-pemuda di dalam gua pula, mereka berada dalam celah atau sisi, atau sisi tertentu di dalamnya. Mungkin kedudukan mereka itu tidak dengan mudah terlihat oleh orang yang lalu-lalang dan melintasi gua tersebut, seolah-olah terpencil. Allah lebih mengetahui. (Lihat Tafsir Surah al-Kahfi Dirasah Tahliliyyah – Maudhu‘iyyah, hlm. 110-111)

Firman Allah SWT:

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ ۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ ۖ وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ ۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا

Maksudnya: “Engkau menyangka mereka berjaga sedangkan mereka tidur. Kami membalik-balikkan badan mereka ke kiri dan ke kanan. Anjing mereka pula membentangkan dua kakinya di pintu gua tersebut. Sekiranya engkau melihat mereka, tentu engkau akan melarikan diri dan dirimu dipenuhi rasa takut terhadap mereka.”

(Surah al-Kahfi: 18)

Syeikh al-Sya‘rawi berkata: Perkataan (ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ) memberi maksud hikmah Allah membalik-balikkan mereka agar mereka tidak dijangkiti sakit kulit pada badan dengan sebab berbaring dalam tempoh yang lama pada satu-satu tempat. Justeru, walaupun mereka ditidurkan selama 309 tahun, mereka tetap diberi kesihatan yang baik.

Ayat “وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا” ditafsirkan sebagai sesiapa yang memandang ke arah Ashab al-Kahfi akan dipenuhi rasa takut dan gerun kerana Allah SWT telah memakaikan mereka dengan kehebatan dan ketenangan supaya tiada yang dapat mencapai mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/129)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya berkata: “Dan jiwa kamu pasti merasa takut ketika melihat mereka, kerana Allah SWT telah memberikan kepada mereka rasa takut yang hebat, agar tidak ada yang dapat mencapai mereka atau menyentuh mereka hingga saat ketetapan mereka tiba. Allah akan membangkitkan mereka daripada tidur mereka dengan kekuasaan dan kekuasaan-Nya pada waktu yang dikehendaki-Nya untuk menjadikan mereka sebagai pelajaran bagi siapa pun di antara ciptaan-Nya yang dikehendaki-Nya, dan sebagai tanda bagi mereka yang ingin mengajukan hujjah terhadap-Nya di antara hamba-hamba-Nya. Hal ini untuk menunjukkan bahawa janji Allah adalah benar, dan bahawa saat kiamat akan datang tanpa keraguan.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 17/526)

Sebagaimana Allah campakkan kepada musuh-musuh-Nya dalam kalangan orang kafir perasaan gerun dan takut kepada orang Islam apabila mereka memperjuangkan agama-Nya. Firman Allah SWT:

سَنُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ بِمَا أَشْرَكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا ۖ وَمَأْوَاهُمُ النَّارُ ۚ وَبِئْسَ مَثْوَى الظَّالِمِينَ ‎

Maksudnya: “Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.”

(Surah Ali ‘Imran: 151)

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”