#5327: Syar‘u man Qablana (شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا)

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah Syar‘u man Qablana (شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا) menjadi hujah atau sebaliknya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Syar‘u man Qablana (شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا) merupakan syariat umat-umat terdahulu iaitu segala hukum-hakam yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada umat-umat terdahulu melalui para Rasul dan Nabi yang diutuskan kepada mereka. (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, hlm. 209).

Syar‘u man Qablana (شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا) terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu:

  • Hukum-hakam yang datang di dalam al-Quran ataupun Sunnah dan terdapatnya dalil di dalam syariat kita yang menunjukkan ia difardhukan ke atas kita sebagaimana ia difardhukan ke atas umat-umat terdahulu. Maka jenis yang pertama ini dianggap sebagai syariat buat kita.

Contohnya adalah tentang pensyariatan puasa. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Berdasarkan ayat di atas, ia menunjukkan bahawa kewajiban berpuasa atas semua umat Islam adalah seperti mana disyariatkan kepada umat-umat terdahulu.

  • Hukum-hakam yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran ataupun dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sunnahnya dan terdapatnya dalil di dalam syariat kita yang menunjukkan ia telah dimansukhkan kepada kita iaitu ia hanya khusus untuk umat-umat terdahulu. Maka jenis yang kedua ini tidak ada khilaf bahawa ia tidak disyariatkan untuk kita.

  • Hukum-hakam yang tidak disebutkan di dalam al-Quran dan juga Sunnah maka ini juga tidak menjadi syariat buat kita tanpa khilaf.

  • Hukum-hakam yang datang di dalam al-Quran dan juga al-Sunnah akan tetapi konteks ayat tidak menunjukkan ia masih kekal hukumnya atau sudah tiada dalam syariat kita. Maka jenis ini terdapat khilaf di sisi para ulama terhadapnya. Ulama al-Hanafiyyah mengambil kira ia sebagai sebahagian daripada syariat kita, akan tetapi majoriti fuqaha lain tidak menganggapnya sebagai syariat buat kita. (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh oleh ‘Abd al-Karim Zaidan, hlm. 210).

 

Berkenaan kehujahan Syar‘u man Qablana (شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا), para ulama berselisih pendapat mengenainya. Secara ringkasnya, ia dapat dibahagikan kepada dua pandangan seperti mana dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Abu Zahrah, iaitu:

Pendapat Pertama: Ia adalah hujah dan mesti beramal dengan hukum tersebut. Pendapat ini dipegang oleh Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Antara hujah mereka adalah, firman Allah SWT:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۖ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِهْ ۗ

Maksudnya: “Mereka (nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka.”

(Surah al-An‘am: 90)

Berdasarkan ayat di atas, sesungguhnya Allah SWT memerintahkan agar Nabi Muhammad SAW mengikut petunjuk mereka (nabi-nabi terdahulu). Syariat nabi-nabi terdahulu merupakan sebahagian petunjuk yang merangkumi iman dan syariat keseluruhannya. Hal ini bermaksud, segala yang disyariatkan kepada nabi-nabi terdahulu menjadi wajib ke atas kita untuk mengikutinya. (Lihat Mabhath fi al-Adillah al-Mukhtalaf fiha, hlm. 228)

Selain itu, mereka juga berdalilkan firman Allah SWT:

إِنَّا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ كَمَا أَوْحَيْنَا إِلَىٰ نُوحٍ وَالنَّبِيِّينَ مِن بَعْدِهِ ۚ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya.”

(Surah al-Nisa’: 163)

Begitu juga firman Allah SWT:

شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا

Maksudnya: “Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara agama yang Dia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh…”

(Surah al-Syura: 13)

Kedua-dua ayat di atas menjelaskan bahawa agama adalah ketundukan kepada Allah yang merangkumi iman dan syariat. Syariat tersebut telah diturunkan kepada Nabi Nuh dan syariat tersebut juga disyariatkan kepada Nabi Muhammad SAW. Hal ini menunjukkan bahawa sesungguhnya syariat terdahulu masih terpakai sehingga sekarang, maka wajib beramal dengannya. (Lihat Mabhath fi al-Adillah al-Mukhtalaf fiha, hlm. 228).

Selain itu juga, disebut bahawa Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW mengikut ajaran Nabi Ibrahim AS sepertimana firman Allah SWT:

‏ ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ‎

Maksudnya: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia daripada orang-orang musyrik.”

(Surah al-Nahl: 123)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar mengikuti agama Nabi Ibrahim A.S, dan ia menunjukkan perintah (al-amr) yang membawa kepada wajib. Agama itu juga adalah nama lain bagi syariat.

Justeru, syariat terdahulu masih lagi terpakai dalam perundangan Islam dan diperakui sehinggalah terdapat dalil yang memansuhkannya. (Lihat Mabhath fi al-Adillah al-Mukhtalaf fiha, hlm. 230).

 

Pendapat Kedua: Ia bukan hujah. Ini adalah pendapat yang dipegang oleh Imam al-Syafi‘i dan sebahagian ulama Hanbali. (Lihat Usul al-Fiqh oleh Muhammad Abu Zahrah, hlm. 286).

Di antara hujah mereka adalah, firman Allah SWT:

لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا ۚ

Maksudnya: “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).

(Surah al-Ma’idah: 48)

Melalui ayat ini, dapat difahami bahawa setiap Nabi membawa Syariatnya yang tersendiri. Oleh yang demikian, setiap umat mempunyai Syariat tersendiri yang dibawa oleh Nabi mereka. Setiap Nabi mempunyai perundangan dan syariatnya yang tersendiri, serta syariat mereka wajib diikuti oleh umat mereka. (Lihat Mabhath fi al-Adillah al-Mukhtalaf fiha, hlm. 231).

Hal ini juga diperkuatkan lagi bahawa Syariat terdahulu bukan hujah berdasarkan hadith ketika Rasulullah SAW ingin menghantar Mu‘az bin Jabal R.A ke Yaman, Baginda bertanya beberapa soalan kepada Muaz. Baginda SAW bersabda:

كَيْفَ تَقْضِي ‏فَقَالَ أَقْضِي بِمَا فِي كِتَابِ اللَّهِ.‏ قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللَّهِ ‏قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم‏.‏ قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏‏ قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: “Dengan apakah kamu akan berhukum?” Maka Muaz menjawab: “Aku akan berhukum dengan apa yang terdapat di dalam Kitabullah.” Baginda bersabda: “Sekiranya ia tidak terdapat di dalam Kitabullah?” Maka jawab Muaz: “Aku akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah SAW.” Baginda bertanya lagi: “Sekiranya tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW?” Muaz menjawab: “Aku akan berijtihad dengan pendapatku.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufiq kepada utusan Rasulullah SAW.”

Riwayat al-Tirmizi (1327)

Hadith di atas menjelaskan tentang sumber perundangan Islam, iaitu al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad sahaja. Manakala Syar‘u man Qablana (شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا) tidak pula dinyatakan dalam hadith tersebut. Sekiranya syariat terdahulu merupakan salah satu sumber syarak, pasti ia disebut selepas al-Quran dan al-Sunnah. (Lihat Mabhath fi al-Adillah al-Mukhtalaf fiha, hlm. 231).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”