#5329: Memahami Maqasid Syariah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana yang sebaiknya kita memahami Maqasid Syariah menurut pandangan ulama?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Ramai tokoh ulama sama ada dahulu atau mutakhir mengemukakan definisi Maqasid al-Syari‘ah, antaranya:

  • ‘Ilal al-Fasi: Maqasid al-Syari‘ah ialah matlamat Syari‘ah dan rahsia yang diletakkan oleh syarak pada setiap hukum. (Lihat Maqasid al-Syari‘ah, hlm. 3).
  • Al-Husni: Maqasid al-Syari‘ah ialah matlamat yang memberikan kebaikan yang dikehendaki daripada hukum-hukum syarak dan makna yang dikehendaki daripada khitab (perintah Allah). (Lihat Nazariyyat al-Maqasid, hlm. 119).
  • Al-Raisuni: Maqasid al-Syari‘ah ialah matlamat yang ditentukan oleh syarak untuk dilaksanakan bagi memberi kebaikan hamba-Nya. (Lihat Nazariyyat al-Maqasid ‘inda Imam al-Syatibi oleh al-Raisuni, hlm. 19).
  • Yusuf al-‘Alim: Maqasid al-Syari‘ah adalah kebaikan yang kembali kepada hamba di dunia dan di akhirat sama ada dengan cara mendatangkan kebaikan atau menjauhkan kemudharatan. (Lihat al-Maqasid al-‘Ammah li al-Syari‘ah al-Islamiyyah, hlm. 97).
  • Wahbah al-Zuhaili pula menyebutkan bahawa Maqasid al-Syari‘ah adalah nilai-nilai dan sasaran yang tersirat dalam segenap atau bahagian terbesar daripada hukum-hukumnya. Nilai-nilai dan sasaran-sasaran itu dipandang sebagai tujuan dan rahsia Syari‘ah, yang ditetapkan oleh al-Syari‘ dalam setiap ketentuan hukum. (Lihat Usul Fiqh Islami, 2/748).
  • Muhammad al-Zuhaili: Maqasid al-Syari‘ah ialah matlamat, objektif dan natijah serta makna yang didatangkan dengannya Syari‘ah serta disabitkannya dalam hukum. Justeru luaslah pentahqiqannya, sehingga sampai kepadanya setiap zaman dan tempat. (Lihat Maqasid al-Syari‘ah Asas li Huquq al-Insan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam Silsilah Kitab al-Ummah, hlm. 49).
  • Muhammad Tahir bin ‘Asyur telah mendefinisikan Maqasid Syariah sebagai: “Makna-makna dan hikmah-hikmah yang diambil perhatian oleh Syarak dalam keseluruhan atau sebahagian besar situasi penurunan syariat yang tidak mengkhusus kepada mana-mana hukum Syarak yang tertentu. (Lihat Maqasid al-Syari‘ah al-Islamiyyah, hlm. 55).
  • Husain bin ‘Abd al-‘Aziz menyebutkan Maqasid al-Syari‘ah ialah objektif-objektif yang kerananya hukum-hakam disyariatkan, untuk merealisasikan objektif tersebut. Ia merupakan kebaikan-kebaikan yang kembali kepada para hamba, untuk membahagiakan mereka di dunia dan di akhirat, sama ada objektif itu dicapai melalui penghasilan manfaat ataupun penolakan mudharat. Sebahagian ulama menghuraikan ‘maqasid’ dengan katanya: “Maqasid am pensyariatan ialah maksud-maksud dan hikmah yang dipelihara oleh Pensyariat (iaitu Allah SWT) dalam semua atau sebahagian besar keadaan pensyariatan.” Takrif yang lebih baik daripada itu ialah kata-kata sebahagian ulama: “Maqasid ialah hikmah-hikmah yang dikehendaki oleh Pensyariat dalam semua keadaan pensyariatan.” (Lihat al-Usul al-‘Ammah wa al-Qawaid al-Jami‘ah li al-Fatawa al-Syar‘iyyah, 1/19).

Kami tertarik dengan pendapat tokoh silam seperti pendapat Imam al-Syatibi yang menyebutkan bahawa tujuan akhir hukum tersebut adalah satu, iaitu maslahah atau kebaikan dan kesejahteraan umat manusia. Dilihat dari sudut tujuan Tuhan, Maqasid al-Syari‘ah mengandungi empat aspek, iaitu:

  • Tujuan awal penetapan Syari‘ah adalah bagi kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat.
  • Penetapan Syari‘ah sebagai sesuatu yang mesti difahami.
  • Penetapan Syari‘ah sebagai hukum taklifi yang harus dilaksanakan.
  • Penetapan Syari‘ah bertujuan membawa manusia di bawah lindungan hukum. (Lihat Islamic Legal Philosophy oleh Muhammad Khalid Mas‘ud, hlm. 223)

Begitu juga pendapat Ibn Taimiyyah bahawa sesiapa yang mengingkari kandungan Syari‘ah iaitu kebaikan dan keindahan kepada hamba di dunia dan akhirat, sesungguhnya dia ialah seorang yang salah dan sesat. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 8/179).

Secara pastinya, Syari‘ah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah merangkumi kesemua kebaikan dunia dan akhirat.

Dr. Yusuf Ahmad al-Badwi telah menganalisa daripada pelbagai karya Ibn Taimiyyah dan menyimpulkan maksud Maqasid al-Syari‘ah pada pandangan beliau sebagaimana berikut:

  • Akibat, matlamat kebaikan, objektif, hikmah, kehendak, keperluan, dan kecantikan adalah mempunyai maksud yang sama.
  • Allah mempunyai matlamat dan kehendak dalam penciptaan dan perintah-Nya.
  • Matlamat-matlamat tersebut merupakan kehendak Allah dalam syarak-Nya dan disukai oleh Allah kerana ia mencerminkan perhambaan kepada-Nya dan Dia memberikan kebaikan kepada hamba-Nya di dunia dan akhirat. (Lihat Maqasid al-Syari‘ah ‘inda Ibn Taimiyyah, hlm. 52).

Berdasarkan kepada definisi-definisi di atas, dapat difahami bahawa setiap peraturan ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada manusia atau menjauhkan mereka daripada keburukan.

Maqasid al-Syari‘ah ialah perkara yang memberikan kebaikan kepada manusia yang menjadi objektif Syari‘ah dalam peraturan ajaran Islam. Oleh itu, maslahah dan kebaikan adalah perkataan yang sama maksudnya dengan objektif Syari‘ah. (Lihat Maqasid al-Syari‘ah ‘inda Ibn Taimiyyah, hlm. 60).

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”