Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita dilarang sama sekali daripada mencela hujan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Khusus berkaitan musibah banjir yang melanda negara kita baru-baru ini, kami tertarik untuk mengupas isu ini secara ringkas. Hal ini kerana terdapat sebahagian daripada kita yang secara tidak sedar mula mengeluh tatkala datangnya musim hujan atau monsun.[1] Bahkan ada juga yang sampai mencela hujan itu sendiri kerana pekerjaan mereka banyak yang terganggu dan tergendalam disebabkan hujan itu.
Persoalan di atas boleh boleh dijawab seperti berikut:
Firman Allah SWT:
وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُّبَارَكًا
Maksudnya: “Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya.”
(Surah Qaf: 9)
Al-Baghawi menyatakan bahawa ayat di atas bermaksud Allah SWT menurunkan air dari langit yang diberkati yakni kebaikan yang sangat banyak serta di dalamnya ada kehidupan setiap sesuatu, dan ia ialah air hujan. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 4/271)
Mengenai isu mencela hujan di atas, terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:
قَالَ اللهُ تَعَالَى: يُؤْذِينِي ابْنُ آدَمَ يَسُبُّ الدَّهْرَ:، وَأَنَا الدَّهْرُ، بِيَدِي الأَمْرُ، أُقَلِّبُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ.
Maksudnya: “Allah SWT berfirman: ‘Anak Adam menyakiti-Ku, dia mencela masa, padahal Aku ialah masa, di Tangan-Ku (segala) perkara, Akulah yang membolak-balikkan malam dan siang.”
Riwayat al-Bukhari (7491) dan Muslim (2246)
Menurut al-Nawawi, para ulama berpendapat bahawa lafaz ‘Allah ialah masa’ merupakan majaz. Sebabnya adalah kerana bangsa Arab biasanya akan mencela masa bilamana berlakunya bencana, malapetaka, kejadian dan musibah, yang menyebabkan kematian, ketuaan, kemusnahan harta benda atau seumpamanya.
Oleh sebab itu, sabda Baginda SAW, ‘Janganlah mencela masa kerana Dia ialah masa’ bermaksud janganlah mencela pembuat kejadian, kerana jika kamu mencela pembuatnya, maka sebenarnya celaan tersebut kembali kepada Allah SWT kerana Dialah pembuatnya dan yang menurunkannya. Adapun al-Dahr itu ialah masa yang tiada sebarang tindakan baginya, bahkan ia termasuk dalam kalangan makhluk ciptaan Allah SWT. Justeru, lafaz ‘Allah ialah masa’ bermaksud penurun bencana, pembuat kejadian dan pencipta sekalian makhluk. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/15)
Ibn Kathir ada menukilkan daripada al-Syafi‘i dan Abu ‘Ubaidah mengenai tafsiran mereka terhadap hadith ini bahawa pada masa Jahiliah, ketika bangsa Arab ditimpa bencana sehingga mereka menganggap bahawa yang melakukan semua itu ialah masa, lalu mereka pun mencela masa, sedangkan yang melakukan semua itu ialah Allah SWT.
Dengan perkataan mereka itu, seakan-akan mereka mencela Allah SWT kerana hakikatnya Allah-lah yang melakukan semua perkara tersebut. Oleh sebab itulah, perbuatan mencela masa dilarang kerana Allah ialah masa dengan merujuk kepada maksud celaan itu dan juga penisbahan setiap kejadian buruk tersebut kepada Allah yang menjadikannya. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni, 2/311-312)
Oleh itu, hadith ini adalah petunjuk yang jelas bahawasanya mencela masa adalah sama seperti mencela pencipta masa dan kejadian iaitu Allah SWT. Begitu juga perbuatan mencela hujan kerana pada hakikatnya Allah-lah yang menurunkan hujan pada musim atau waktu tertentu. Maka hukum perbuatan ini adalah jelas akan keharamannya.
Sepatutnya, sekiranya berlaku mudarat disebabkan hujan yang turun tanpa henti, kita dianjurkan untuk berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Baginda SAW bagi tujuan meredakan hujan lebat yang turun secara berterusan. Hal ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Anas bin Malik R.A, beliau berkata:
بَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ يَوْمَ الجُمُعَةِ، فَقَامَ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَسْقِيَنَا، فَتَغَيَّمَتِ السَّمَاءُ وَمُطِرْنَا، حَتَّى مَا كَادَ الرَّجُلُ يَصِلُ إِلَى مَنْزِلِهِ، فَلَمْ تَزَلْ تُمْطَرُ إِلَى الجُمُعَةِ المُقْبِلَةِ، فَقَامَ ذَلِكَ الرَّجُلُ أَوْ غَيْرُهُ، فَقَالَ: ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَصْرِفَهُ عَنَّا فَقَدْ غَرِقْنَا. فَقَالَ: «اللهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا» فَجَعَلَ السَّحَابُ يَتَقَطَّعُ حَوْلَ المَدِينَةِ، وَلاَ يُمْطِرُ أَهْلَ المَدِينَةِ
Maksudnya: “Ketika Nabi SAW berkhutbah pada hari Jumaat, (tiba-tiba) seorang lelaki berdiri lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan bagi kami.” Maka langit pun mendung dan (mula) menghujani kami sehingga ada yang hampir-hampir tidak dapat sampai ke rumahnya. Namun, hujan masih lagi terus turun hinggalah ke Jumaat berikutnya. Lalu bedirilah orang tersebut —atau selain daripadanya- Beliau berkata: “Berdoalah kepada Allah agar Dia dapat mengalihkannya daripada kami. Sesungguhnya kami telah tenggelam.” Maka baginda pun berdoa: “اللهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا” (Ya Allah! Turunkanlah ia di sekitar kami dan bukan ke atas kami).” Maka awan pun beredar di sekitar Madinah dan tidak lagi menghujani penduduk Madinah.”
Riwayat al-Bukhari (6432)
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa mencela hujan adalah haram. Hal ini kerana Allah-lah yang menurunkan hujan dan mencela hujan hakikatnya adalah mencela zat yang menurunkannya iaitu Allah SWT.
Selain itu, kita hendaklah mengetahui bahawa asalnya hujan merupakan salah satu nikmat daripada Allah SWT. Justeru, seorang Muslim itu apabila melihat turunnya hujan, dia sepatutnya memperbanyakkan lagi doa supaya menjadikan hujan tersebut bermanfaat sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith riwayat Aisyah R.Anha, beliau berkata:
فَإِنْ مُطِرَ قَالَ: اللَّهُمَّ صَيِّبًا هَنِيئًا
Maksudnya: “Sekiranya diturunkan hujan, Baginda berdoa: ‘Ya Allah jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat.’”
Riwayat al-Nasa’i (1523)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”
Nota kaki:
[1] Cuaca di Malaysia dicirikan oleh dua jenis monsun iaitu Monsun Barat Daya yang bermula dari akhir bulan Mei ke September, dan Monsun Timur Laut dari bulan November ke Mac. Monsun Timur Laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering. Tempoh peralihan di antara dua monsun ini dikenali sebagai musim peralihan monsun.
Musim Monsun Timur Laut merupakan musim hujan utama negara kita. Sistem cuaca monsun yang terbentuk bersama-sama dengan luruan udara sejuk dari Siberia menghasilkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar di negeri-negeri pantai timur iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, serta negeri Sarawak di Malaysia Timur. Monsun Barat Daya secara relatifnya adalah lebih kering bagi seluruh negara kecuali negeri Sabah di Malaysia Timur. Pada musim ini, kebanyakan negeri mengalami hujan bulanan minimum, biasanya di antara 100 – 150mm. Keadaan ini menunjukkan keadaan atmosfera yang stabil di kawasan khatulistiwa. Keadaan kering di Semenanjung Malaysia terutamanya disebabkan oleh kesan lindung hujan oleh banjaran gunung di Sumatera. Sabah secara relatifnya lebih lembap (melebihi 200mm) akibat daripada kesan ekor dari taufan yang kerap melintasi Filipina semasa perjalanannya merentasi Laut China Selatan dan sekitarnya. (Lihat https://www.met.gov.my/pendidikan/cuaca/fenomenacuaca.)