#5278: Status Talak: “Kalau Awak Curang atau Mesra dengan Lelaki Lain, Awak Jatuh Talak Satu.”

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Suami saya pernah bgtahu saya 6 tahun lepas, jika saya curang atau ada hubungan mesra dengan lelaki lain, maka awak akan jatuh talak satu. Kemudian, baru-baru ini saya bertanya kembali apa yang dia cakap dahulu tetapi dia tidak ingat. Saya sebagai isteri memang menjaga status sebagai seorang isteri dan tidak menduakan suami saya. Persoalan saya, adakah hubungan saya dan suami masih sah selagi saya tidak curang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya, talak boleh dilakukan secara langsung atau dengan ta‘liq. Talak Ta‘liq bermaksud suami menggantungkan jatuh  isterinya dengan terjadi sesuatu sifat atau syarat yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain.

  • Contohnya, suami menggantungkan jatuh talak isterinya dengan kedatangan seseorang atau dengan perbuatan tertentu yang dilakukan oleh isterinya, atau orang lain.
  • Contoh talak yang dikaitkan dengan sifat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai kerana ayahmu datang” atau “kamu tercerai dalam bulan Ramadhan.”Sehubungan dengan itu, apabila ayahnya datang atau masuk bulan Ramadhan, jatuhlah talak.
  • Contoh yang dikaitkan dengan syarat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai jika keluar dari rumah ini” atau “kamu tercerai jika saudara lelakimu masuk ke dalam rumah ini.” Oleh yang demikian, apabila isteri itu keluar dari rumah atau saudara lelakinya masuk ke dalam rumahnya, maka jatuhlah talak.

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

الـمُسْلِمُوْنَ عِنْدَ شُرُوْطِهِمْ

Maksudnya: Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang mereka tetapkan.

Riwayat al-Hakim (2/49)

Kesan daripada Talak Ta‘liq

Talak ta‘liq akan menyebabkan perkara-perkara berikut:

  • Tidak jatuh selagi sesuatu yang disyaratkan belum berlaku.
  • Kehidupan berumah tangga masih kekal dengan segala hukum dan kewajipan selagi syarat yang dikaitkan dengan talak belum terjadi walaupun ia pasti berlaku. Contohnya, suami berkata: “Apabila tiba bulan Ramadhan engkau tercerai.
  • Talak jatuh sebaik-baik sahaja syarat yang berkaitan itu berlaku. Suami tidak perlu melafazkan talak yang baru.

 

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan lafaz yang disebutkan oleh suami anda merupakan lafaz talak ta’liq yakni sekiranya anda berlaku curang atau bermesra dengan lelaki lain, maka terjatuhlah talak satu.

Sekalipun begitu, saudara atau si suami boleh merujuk semula isterinya yang tertalak kerana lafaz ta‘liq tersebut selagi mana masih dalam tempoh ‘iddah. Tempoh ‘iddah tersebut adalah selama tiga kali suci (quru’), manakala bagi wanita yang hamil pula tempohnya adalah sehingga melahirkan anaknya. Jika tempoh ‘iddah telah tamat sebelum sempat suaminya merujuk semula, maka pasangan tersebut memerlukan kepada akad yang baru jika ingin bersama semula.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan agar tidak bermudah-mudah dengan talak sama ada secara langsung mahupun dengan ta‘liq. Suami terutamanya janganlah menggunakan senjata talak terhadap isterinya. Sementelahan lagi tindakan yang disyaratkan itu, bertentangan dengan agama, perkara yang remeh-temeh, dan perkara yang mesti dilakukan secara mendesak. Apabila kita ta’liqkan seperti itu sudah tentu kita menyempitkan keluasan yang Allah telah kurniakan kepada kita. Sesungguhnya bermudah-mudah dengan ta’liq adalah sifat yang tidak baik dan boleh mengundang kerosakan rumah tangga dan meruntuhkan institusi kekeluargaan. Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya:Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.

(Surah al-Baqarah: 229)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)