#5368: Maksud Jual Beli Salam dan Hikmahnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato jelaskan maksud jual beli salam dan hikmah dibenarkan jual beli sebegini. Terima Kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Jual Beli Salam

Menurut bahasa Arab, salam atau salaf ialah mendahulukan.

Manakala, menurut istilah syara’ pula jual beli salam ialah jual beli sesuatu yang dinyatakan sifat-sifatnya sahaja dengan lafaz salam atau salaf.

Jual beli salam adalah salah satu bahagian akad jual beli yang dibenarkan. Ia dibenarkan disebabkan ia dikecualikan daripada kategori menjual barangan yang tidak wujud.

Pensyariatan Salam

Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, akad jual beli salam ialah akad yang diberikan pengecualian kerana menjual barangan yang tidak wujud. Sepertimana yang kita sedia maklum, menjual barangan yang tidak wujud adalah tidak sah. Namun jual beli salam ini diberikan pengecualian kerana manusia memerlukan jual beli seperti ini.

Diriwayatkan bahawa ketika Nabi SAW tiba di Madinah, penduduk Madinah mengamalkan jual beli salam dalam jual beli buah-buahan selama setahun atau dua tahun. Baginda bersabda:

مَنْ أَسْلَفَ فَلْيُسْلِفَ فِي كَيْلٍ مَعْلُومٍ وَوَزْنِ مَعْلُومٍ، إِلَى أَجَلٍ مَعْلُومٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berjual beli salaf (salam) hendaklah dia berjual beli salaf (salam) dengan sukatan yang dimaklumi, timbangan yang dimaklumi dan tempoh yang dimaklumi.”

Riwayat al-Bukhari (2125) dan Muslim (1604)

Hikmah Dibenarkan Jual Beli Salam

Seperti mana yang telah kami jelaskan dari segi qias, jual beli salam ini tidak sah menurut syara’ kerana ia membabitkan barangan yang tidak wujud dan tidak ada pada penjual. Namun demikian, jual beli salam dibenarkan kerana mengambil kira keperluan manusia. Keperluan ini dapat dilihat daripada perspektif pemilik kilang dan perusahaan, pemilik tanah dan ladang. Kebanyakan mereka memerlukan modal untuk memelihara tanah dan ladang mereka.

Mungkin tiada siapa yang akan memberikan mereka pinjaman sebagai modal untuk memelihara tanah dan ladang mereka. Begitu juga petani, mereka memerlukan modal untuk memelihara tanah dan ladang mereka. Mungkin tiada siapa yang akan memberikan mereka pinjaman sebagai modal. Mungkin juga mereka tidak mahu berhutang.

Dengan ini syara’ memberikan pelepasan kepada mereka untuk menerima wang dengan syarat sebagai ganti mereka akan memberikan hasil usaha mereka, sama ada dalam bentuk tanaman, buah-buahan, barangan atau sebagainya.

Begitu juga dengan peniaga yang mahu memastikan mereka memperolehi barangan yang diperlukan pada masanya. Mungkin pada ketika itu, tiada siapa yang akan membekalkan barangan tersebut kepadanya sedangkan dia mempunyai modal yang banyak. Oleh itu, syara’ memberikan kelonggaran kepadanya untuk menggunakan wang ini secara jual beli salam untuk dia mendapatkan barangan yang diperlukan.

Dengan ini, dapat kita fahami, pensyariatan jual beli salam memberi pelbagai manfaat kepada manusia. Cara ini memudahkan satu pihak memperolehi modal dan satu pihak lagi memperolehi barangan yang dikehendaki. Cara ini juga membuka jalan supaya wang ini dapat dimanfaatkan menurut tujuan asal kewujudannya iaitu menjadi landasan kepada kehidupan manusia. Wang ini tidak akan hanya tersimpan dan terperuk sahaja. Cara ini juga mampu mengelak kesan buruk akibat jual beli barangan yang tidak wujud. Ini kerana dalam akad salam terdapat beberapa syarat dan peraturan yang akan kita bicarakan sepanjang perbahasan ini. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/51)

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”