#5437: Hikmah Cara Kurniaan Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.  Bolehkah Dato terangkan hikmah cara kurniaan Allah SWT yang disebutkan dalam kitab al-Ihkam Syarh al-Hikam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sayyidina Umar al-Khattab RA pernah berkata: “Aku tidak menanggung kesusahan diperkenankan doa, tetapi aku menanggung kesusahan untuk berdoa. Sekiranya aku diilhamkan untuk berdoa, maka tetaplah doa itu diperkenankan Allah SWT.” Beginilah perkataan yang terbit daripada hati yang arif billah, iaitu hati yang memahami bahawa apabila Allah SWT menetapkan penerimaan doa atau perkenan, maka sekaligus dia tetapkan pula keinginan berdoa kepada-Nya. Kedua-dua selaras apabila ditaufikkan Allah SWT.

مَتَى أَطْلَقَ لِسَانَكَ بِالطَّلَبِ، فَاعْلَمْ أَنَّهُ يُرِيدُ أَنْ يُعْطِيَكَ

Maksudnya: “Apabila Allah SWT telah melepaskan dan melancarkan lidahmu untuk meminta dan berdoa kepada-Nya, maka ketahuilah dengan yakin bahawa Dia mahu memberi kepadamu apa yang kamu pohon kepada-Nya.”

Mafhum Hikmah

Seorang hakim berkata: Empat jenis orang yang tidak akan merasa bahagia, iaitu:

  1. Orang yang bakhil apabila dibaca selawat ke atas Nabi SAW (yakni bila ia mendengar nama Nabi SAW disebut, lalu dia tidak membaca selawat).
  2. Orang yang tidak suka menjawab suara panggilan muazzin.
  3. Orang yang tidak membantu untuk memberi bantuan kepada perkara kebaikan.
  4. Orang yang tidak suka berdoa untuk dirinya dan kaum mukminin sesudah sembahyang.

Abu Abdillah al-Antaki Rahimahullah berkata: Ubat hati itu ada lima jenis:

  1. Bergaul (berkumpul) dengan orang solihin.
  2. Suka membaca dan memperhatikan al-Quran.
  3. Membersihkan perut daripada makanan haram.
  4. Mengerjakan solat malam.
  5. Berzikir dan berdoa kepada Allah SWT ketika subuh.

Syeikh al-Buti Rahimahullah berkata: Tidak berdoa disebabkan dua perkara:

  1. Ingkar kepada Allah SWT, sehingga membawa kepada mengingkari ubudiyah-Nya.
  2. Berasa terkaya dan tidak berhajat kepada Allah SWT, sekalipun beriman dengan-Nya. Hal ini kerana dia merasa selamat daripada ujian dan musibah.

Akhir kalam, semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Wallahu a’lam