#5444: Dua Jenis Cahaya Rabbani

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan dua jenis cahaya Rabbani?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan Ibnu Ajibah Rahimahullah menerangkan agar diperhatikan hati ini kerana dengannya dapat menyaksikan kebesaran Tuhan yang terbentang luas serta keagungan kemuliaan-Nya. Kemudian diterangkan buah atau hasil daripada cahaya tersebut, iaitu pendedahan tentang hakikat segala benda, sebagaimana dalam Hikam Ibn ‘Ata’illah ini:

نورٌ يَكْشِفُ لَكَ بِهِ عَنْ آثَارِهِ، وَنُوْرٌ يَكْشِفُ لَكَ بِهِ عَنْ أَوْصَافِهِ

Maksudnya: “(Cahaya rabbani itu ada dua jenis): Cahaya yang dengannya Allah SWT mendedahkan kepadamu kesan- kesan (kudrat dan iradat)-Nya; dan cahaya yang dengannya Dia mendedahkan kepadamu sifat-sifat-Nya.”

Mafhum Hikmah

  • Terdapat dua jenis cahaya iaitu, sinaran matahari yang zahir boleh menerangi alam zahir dan nur iman keyakinan yang menerangi segala sifat-sifat-Nya.
  • Sebahagian mereka berkata:

إِذَا كَانَ الإِيمَانُ فِي ظَاهِرِ القَلْبِ, يَعْنِي عَلَى الْفُؤَادِ كَانَ الْمُؤْمِنُ يُحِبُّ اللهَ حُبًّا مُتَوَسِّطًا . فَإِذَا دَخَلَ الإِيمَانُ بَاطِنَ القَلْبِ, وَكَانَ فِي سُوَيدَائِهِ, أَحَبَّهُ الحُبَّ البَالِغَ

Maksudnya: “Apabila keimanan berada di bahagian luar hati (pada zahirnya), maka kecintaannya kepada Allah SWT dengan kecintaan yang sederhana. Apabila keimanan telah menusuk jauh dalam hati sehingga berbekas dalam lubuk hati, maka kecintaannya kepada Allah SWT dengan kecintaan yang sangat mendalam.”

  • Ibnu Athaillah menyebut dalam Latha’if al-Minan:

نُوْرُ الشَّمْسِ تَشْهَدُ بِهِ الْآثَارَ، وَنُوْرُ الْيَقِيْنِ تَشْهَدُ بِهِ الْمُؤَثِّرَ

Maksudnya: “Dengan cahaya matahari, kamu dapat saksikan (makhluk-makhluk yang merupakan) kesan-kesan (kudrat dan iradat Allah SWT). Dengan cahaya keyakinan pula, kamu dapat saksikan Tuhan yang memberi kesan.”

  • Beliau menambah bagi kami pada makna ini bukti:

هَذِهِ الشَّمْسُ قَابَلَتْنَا بِنُوْرٍ         وَلَشَمْسُ الْيَقِيْنِ أَبْهَرُ نُوْرَا

 فَرَأَيْنَا بِهَذِهِ النُّورَ لَكِنْ             بِهَاتِيْكِ قَدْ رَأَيْنَا الْمُنِيرَ

Maksudnya: Matahari ini menghadap kita dengan cahaya, sedangkan Matahari keyakinan lebih hebat cahayanya. Dengan matahari ini kita melihat cahaya tetapi, Dengan matahari keyakinan ini kita melihat Tuhan yang mencipta cahaya.

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”