#5564: Tafsir Ayat 183 Surah Baqarah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh beri tafsiran ayat 183 daripada Surah al-Baqarah berkenaan kewajiban puasa Ramadhan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Puasa bulan Ramadhan difardhukan pada bulan Syaban tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, ibadah puasa telah diamalkan dalam kalangan umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan Nabi SAW. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”

(Surah al-Baqarah 183)

Perkataan “كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ” memberi maksud kewajipan puasa ke atas orang-orang yang beriman. Akan tetapi, kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat-umat terdahulu adalah dari segi pensyariatan puasa itu sahaja. Kemudian, umat Nabi Muhammad SAW secara khususnya telah difardhukan puasa pada bulan Ramadhan.

Al-Tabari berkata: Pendapat yang benar menurut kami adalah yang menyatakan bahawa maknanya: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu dari ahli Kitab, beberapa hari yang tertentu, iaitu sepanjang bulan Ramadhan, kerana yang datang sesudah Nabi Ibrahim AS diperintahkan untuk mengikuti Nabi Ibrahim AS. Hal itu disebabkan dia dijadikan oleh Allah SWT sebagai imam bagi sekalian manusia. Dan Allah SWT telah mengkhabarkan bahawa agamanya adalah al-Hanifiyyah al-Muslimah dan Nabi Muhammad SAW diperintahkan sama dengan yang diperintahkan terhadap nabi-nabi sebelumnya. Adapun aspek persamaannya adalah terletak pada waktu, di mana orang-orang sebelum kita diwajibkan puasa bulan Ramadhan sebagaimana kita juga diwajibkan. Manakala berkenaan firman-Nya: ‘لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ’, maksudnya, agar supaya kamu menghindari makanan, minuman dan hubungan suami isteri. (Lihat Jami’ al-Bayan, 3/67)

Ibn al-Arabi dalam Ahkam al-Quran (1/221) berkata: Terdapat tiga pendapat berkaitan dengan ayat ini:

  • Dimaksudkan dengan orang yang terdahulu ialah golongan ahli kitab
  • Mereka ialah golongan Nasrani.
  • Mereka ialah umat manusia

Namun, pendapat terakhir ini tidak boleh diterima. Ini kerana dalam kalangan orang sebelum kita ada yang berpuasa hanya dengan menahan lidah daripada bercakap, sedangkan puasa sebegitu tidak terdapat dalam syariat kita.

Syeikh al-Maraghi mensyarahkan ayat di atas menyatakan bahawa kewajipan berpuasa dan melakukan sebanyak amalan di bulan Ramadhan di samping mengawal nafsu syahwat bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. (Lihat: Tafsir al-Maraghi, 2/68)

Menurut Dr. ‘Iyadh al-Sulami, ayat ini menunjukkan bahawa puasa adalah suatu amalan yang telah menjadi syariat kepada umat-umat sebelum kita, dan kemudiannya ia diwajibkan pula ke atas kita.

Semoga sebahagian daripada persoalan di atas sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada kita yang terkait dengan ibadat puasa dan akhirnya menatijahkan kita dengan memperolehi ketaqwaan. Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”