#5577: Nabi Dilarang Membuka Capal

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah Nabi SAW dilarang membuka capal ketika tiba di Arasy dan apa status hadis tersebut dalam peristiwa isra mikraj?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diceritakan bahawa pada malam Nabi SAW dimi’rajkan dan sampai ke ‘Arasy, Baginda dilarang daripada membuka capal Baginda. Namun kisah ini adalah palsu sebagaimana yang disebut oleh Abu al-Hasanat al-Laknawi dalam kitab beliau, katanya:

وَلْنَذْكُرُ هَهُنَا بَعْضَ الْقِصَصِ الَّتِي أَكْثَرَ وُعَاظُ زَمَانِنَا ذِكْرَهَا فِي مَجَالِسِهِمُ الْوَعْظِيَّةِ وَظَنُّوهَا أُمُورًا ثَابِتَةً مَعَ كَوْنِهَا مُخْتَلِقَةً مَوْضُوعَةً. فَمِنْهَا؛ مَا يَذْكُرُونَ مِنْ أَن النَّبِي لَمَّا أُسْرِيَ بِهِ لَيْلَةَ الْمِعْرَاجِ إِلَى السَّمَوَات العلى وَوَصَلَ إِلَى الْعَرْشِ الْمُعَلَّى أَرَادَ خَلْعَ نَعْلَيْهِ أَخْذًا مِنْ قَوْلِهِ تَعَالَى لِسَيِّدِنَا مُوسَى حِينَ كَلَّمَهُ: (فَاخْلَعْ نَعْلَيْكَ إِنَّكَ بِالْوَادِ الْمُقَدَّسِ طوى) . فَنُودِيَ مِنَ الْعَلِيِّ الأَعْلَى: يَا مُحَمَّدُ! لَا تَخْلَعْ نَعْلَيْكَ فَإِنَّ الْعَرْشَ يَتَشَرَّفُ بِقُدُومِكَ مُتَنَعِّلا وَيَفْتَخِرُ عَلَى غَيْرِهِ مُتَبَرِّكًا، فَصَعِدَ النَّبِيُّ إِلَى الْعَرْشِ وَفِي قَدَمَيْهِ النَّعْلانِ وَحَصَلَ لَهُ بِذَلِكَ عِزٌّ وَشَأْنٌ

Maksudnya: Marilah kita menyebut di sini beberapa kisah yang ramai penceramah di zaman kita selalu menceritakannya dalam majlis-majlis nasihat mereka dan mereka menyangka kisah-kisah tersebut sahih, walhal kisah-kisah tersebut palsu. Antaranya: Kisah yang menyatakan bahawa apabila Nabi diIsra’kan pada malam Mikraj ke langit-langit yang tinggi dan sampai di Arasy yang ditinggikan, baginda mahu menanggalkan kedua-dua capal baginda kerana ingin menuruti firman Allah ta’ala kepada Nabi Musa A.S: “Tanggalkanlah kedua-dua capalmu. Sesungguhnya kamu berada di Wadi Tuwa yang suci” [Surah Taha: 12]. Lalu kedengaran suara datang daripada Yang Maha Tinggi Yang Tertinggi: “Wahai Muhammad, jangan tanggalkan capalmu, kerana Arasy berbesar hati dengan kedatangan kamu sambil memakai capal dan dia berbangga-bangga dengan selainnya sambil dia bertabarruk.” Lalu Nabi pun naik ke Arasy sambil memakai kedua-dua capal baginda, maka disebabkan itu Arasy pun memperoleh kemuliaan dan kehormatan. (Lihat al-Athar al-Marfu’ah fi Akhbar al-Maudhu’ah, hlm. 37)

Ahmad al-Maqarri al-Maliki menyatakan dalam bukunya Fath al-Muta’al fi Madh Khair al-Ni’al, Radhiy al-Din al-Qazwini dan Muhammad bin Abd al-Baqi al-Zarqani dalam syarah al-Mawahib al-Ladunniyah bahawa kisah ini adalah kisah palsu yang diada-adakan secara keseluruhan. Dan tidak thabit daripada mana-mana riwayat berkenaan Mi’raj Nabi dengan jalur yang banyak yang menceritakan bahawa Nabi SAW ketika itu memakai capal.  (Lihat al-Athar al-Marfu’ah fi Akhbar al-Maudhu’ah, hlm. 37)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”