#5582: Apakah Maksud Fi Sabilillah dalam Berpuasa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah maksud Fi Sabilillah dalam berpuasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa satu hari di jalan Allah, nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh (perjalanan) tujuh puluh musim gugur (tahun).”

Riwayat al-Bukhari (2840) dan Muslim (1153)

Ibn al-Jauzi berkata: “Apabila disebutkan jalan Allah (سَبِيلِ اللَّهِ), maka yang dimaksudkan adalah jihad.” (Lihat Fath al-Bari, 6/56)

Al-Qurtubi berkata: “Jalan Allah ialah ketaatan kepada Allah. Maka yang dimaksudkan adalah: ‘Sesiapa yang berpuasa dengan niat mencari keredhaan Allah.’  (Lihat Fath al-Bari, 6/56)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Mungkin apa yang dimaksudkan adalah lebih umum daripada itu.” (Lihat Fath al-Bari, 6/56)

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ بَاعَدَ اللَّهُ مِنْهُ جَهَنَّمَ مَسِيرَةَ مِائَةِ عَامٍ‏

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah, nescaya Allah jarakkannya dari neraka Jahannam selama seratus tahun.”

Riwayat al-Nasa’i (2253. Dinyatakan sebagai hasan dalam Sahih al-Nasa’ie (2253)

Ibn Daqiq al-’Id berkata: “Perkataan Fi Sabilillah mengikut uruf (keadaan) yang masyhur digunakan untuk jihad. Jika dibawa (maksud jihad) itu kepada ibadat puasa maka ia merupakan kelebihan baginya kerana berkumpul dua ibadat. Yang dikehendaki dengan “Fi Sabilillah” ialah (sebarang) ketaatan kepada Allah SWT dengan cara apa pun. Makna yang pertama lebih dekat kepada maksudnya. Jika sekiranya puasa tidak melemahkannya daripada berjihad maka meneruskan puasa adalah lebih afdal untuk menghimpunkan antara dua fadhilat.” (Lihat Fath al-Bari, 6/56)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”