#5583: Golongan Berperut Besar dalam Peristiwa Isra Mikraj

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Nabi SAW melihat manusia yang perutnya seperti rumah-rumah dalam isra mikraj? Dan status hadisnya bagaimana?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَتَيْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي عَلَى قَوْمٍ بُطُونُهُمْ كَالْبُيُوتِ فِيهَا الْحَيَّاتُ تُرَى مِنْ خَارِجِ بُطُونِهِمْ فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ؟ قَالَ: هَؤُلَاءِ أَكَلَةُ الرِّبَا

Maksudnya:Pada malam aku diisra’kan, aku dibawa melihat satu golongan yang perut mereka seperti rumah. Di dalam perut mereka itu ada banyak ular yang boleh dilihat dari luar. Aku pun bertanya: ‘Siapakah mereka ini, wahai Jibril?’ Jibril menjawab: ‘Mereka ini ialah pemakan riba.’

Riwayat Ibn Majah (2274); Ahmad (8640, 8757); Ibn Abi Usamah dalam Musnadnya (25) dan Abu al-Laith al-Samarqandi dalam Tanbih al-Ghafilin (539).

Kisah ini dinilai dha‘if oleh Muhammad al-Amin al-Harari dalam Mursyid Zawi al-Hija (13/233), dan juga Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Ibn Majah dan Takhrij al-Musnad.

Manakala dalam riwayat Abu Harun daripada hadith Abu Sa‘id al-Khudri dinyatakan bahawa Nabi SAW melihat peristiwa ini Baginda dimi‘rajkan, dan lafaznya juga sedikit berbeza sebagaimana berikut:

 فَإِذَا أَنَا بِقَوْمٍ لَهُمْ بُطُونٌ كَأَنَّهَا الْبُيُوتُ وَهِيَ عَلَى سَابِلَةِ آلِ فِرْعَوْنَ، فَإِذَا مَرَّ بِهِمْ آلُ فِرْعَوْنَ ثَارُوا، فَيَمِيلُ بِأَحَدِهِمْ بَطْنُهُ فَيَقَعُ، فَيَتَوَطَّئُوهُمْ آلُ فِرْعَوْنَ بِأَرْجُلِهِمْ، وَهُمْ يُعْرَضُونَ عَلَى النَّارِ غُدُوًّا وَعَشِيًّا، قُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جَبْرَائِيلُ؟ قَالَ: هَؤُلَاءِ أَكَلَةُ الرِّبَا رِبًا فِي بُطُونِهِمْ، فَمَثَلَهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ

Maksudnya:Kemudian aku melihat suatu kaum yang perut mereka seperti rumah, dan ia berada di atas jalan keluarga Firaun. Apabila keluarga Firaun melewati mereka, mereka memberontak, dan salah seorang daripada mereka bersandar di perutnya lalu jatuh, kemudian keluarga Firaun menginjak-injak mereka dengan kaki mereka. Mereka dibakar dalam api neraka pagi dan petang. Aku bertanya: ‘Siapakah mereka wahai Jibra’il?’ Jibril menjawab: ‘Mereka ialah pemakan riba, dan riba berada dalam perut mereka. Maka, diumpamakan mereka seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana rasukan (syaitan) itu.’

Riwayat Ibn Jarir al-Tabari dalam Jami‘ al-Bayan (6/454).

Syeikh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah (11/809) menilainya sebagai dha‘if jiddan (tersangat lemah). Menurutnya lagi, ia telah diriwayatkan oleh Ibn Jarir dalam tafsirnya (4/184) daripada jalur Abu Harun al-‘Abdi, daripada Abu Sa‘id al-Khudri. Abu Harun ini, namanya ialah ‘Imarah bin Juwain dan dia adalah seorang matruk (yang ditinggalkan riwayatnya), dan ada juga yang menilainya sebagai pendusta. Namun, hadith ini juga turut disandarkan oleh al-Suyuti kepada Ibn Abi Hatim. Akan tetapi sanadnya daripada jalur ini juga adalah lemah sebagaimana yang dapat dilihat dalam Tafsir Ibn Kathir (1/456) dan ia merupakan potongan daripada hadith yang panjang berkenaan peristiwa Isra’ dan Mi‘raj; yang juga diriwayatkan oleh Ibn Jarir dalam tafsirnya (15/10-12) dan al-Baihaqi dalam al-Dala’il (2/136-142) daripada jalur Abu Harun sebagaimana yang telah disebutkan (berkenaan statusnya). Selain itu, Ibn Kathir juga turut menyebutnya dalam tafsirnya melalui jalur itu dan berkata, ia telah dinilai dha‘if para Imam disebabkan oleh gharabah (keganjilan) dan nakarah yang terdapat di dalam hadith tersebut.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”