#5584: Puasa Sebagai Zakat Badan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah puasa itu adalah zakat badan? Boleh jelaskannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

لِكُلِّ شَيْءٍ زَكَاةٌ، وَزَكَاةُ الْجَسَدِ الصَّوْمُ. زَادَ مُحْرِزٌ فِي حَدِيثِهِ: وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: الصِّيَامُ نِصْفُ الصَّبْرِ.

Maksudnya: “Setiap sesuatu itu memiliki zakatnya, dan zakat bagi tubuh adalah berpuasa.” Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muhriz, ditambahkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Puasa itu adalah separuh dari kesabaran.”

Riwayat Ibn Majah (1745), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3577) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (3817). Dinyatakan sebagai dha’if dalam al-Silsilah al-Dha’ifah (3811).

Hadis seperti ini diriwayatkan juga oleh al-Tirmizi dan beliau menghasankannya. Begitu juga oleh Ibn Majah. Berdasarkan riwayat yang lain mengikut dalam sanad yang hasan, sabar adalah separuh daripada iman. Justeru, puasa adalah separuh daripada sabar. Dengan itu, puasa adalah seperempat daripada iman.

Al-Munawi berkata: Sabda Baginda, ‘لِكُلِّ شَيْءٍ زَكَاةٌ’, (Setiap sesuatu itu memiliki zakatnya,) iaitu sedekah, sabda Baginda, ‘وَزَكَاةُ الْجَسَدِ الصَّوْمُ’(dan zakat bagi tubuh adalah berpuasa). Ini kerana zakat mengurangkan jumlah harta dari segi bilangan, tetapi menambahkan keberkatannya. Begitu juga dengan puasa, ia mengurangkan (kekuatan) badan, disebabkan pengurangan mengambil hidangan makan, tetapi menambahkan dari sudut ganjaran pahala. Oleh itu, puasa dianggap sebagai zakat bagi tubuh badan kerana ia mengurangkan lebihannya, tetapi menambahkan kemuliaan akhlak dan seumpamanya. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/285)

Al-Sindi berkata: Sabda Baginda, ‘لِكُلِّ شَيْءٍ زَكَاةٌ’, (Setiap sesuatu itu memiliki zakatnya,) yakni seseorang itu hendaklah mengeluarkan sebahagian daripada setiap perkara sebagai kadar yang ditetapkan oleh Allah, dan itu menjadi zakat baginya. Dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa, kerana dengan berpuasa, tubuh menjadi kurus kerana Allah. Maka apa yang berkurang daripadanya itu seolah-olah telah dikeluarkan untuk Allah sebagai zakatnya. (Lihat Sunan Ibn Majah bi Syarh al-Sindi, 8/346)

Syeikh Muhammad bin ‘Umar al-Nawawi al-Bantani berkata:: Puasa dianggap sebagai zakat bagi tubuh badan kerana ia merupakan salah satu rahsia daripada rahsia-rahsia Allah Yang Maha Tinggi, dan ia adalah sebab untuk mengurangkan (kekuatan) jasmani, tetapi meningkatkan dalam keberkatannya. Oleh itu, ia disamakan dengan zakat harta, kerana walaupun zakat mengurangkan harta dari segi kuantiti, tetapi ia meningkatkan dan menambahkan keberkatan. Begitulah juga dengan puasa. (Lihat Tanqih al-Qaul al-Hathith bi Syarh Lubab al-Hadith, hlm. 66)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنَّا

Maksudnya: Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah kami.