#5613: Wanita Tunaikan Umrah Tanpa Mahram

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum seorang wanita menunaikan umrah tanpa mahram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum asal bagi seorang wanita bermusafir tanpa mahram adalah tidak dibolehkan berdasarkan kepada beberapa hadith yang sahih. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas R.A. Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تُسَافِرُ الْمَرْأَةُ إِلاَّ مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.”

Riwayat al-Bukhari (1729) dan Muslim (2391)

Begitu juga dengan riwayat yang lain bahawa Nabi SAW bersabda :

لا يَحِلُّ لامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَوْمٍ إِلا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Tidak boleh bagi seorang perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk bermusafir sejauh sehari perjalanan kecuali bersamanya ada mahram.”

Riwayat Muslim (1339)

Namun begitu para ulama berbeza pandangan tentang syarat mahram untuk menunaikan haji dan umrah. Sebahagian ulama dari kalangan fuqaha mazhab Hanbali dan Hanafi menyebut bahawa disyaratkan bagi seorang wanita yang ingin menunaikan haji dan umrah untuk ditemani oleh suami atau mahram. Manakala ulama’ dari kalangan mazhab Syafi‘i dan mazhab Maliki, Imam al-Auza’i dan lain-lain tidak mensyaratkan mahram, bahkan yang disyaratkan adalah aman dari segala ancaman. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500)

Al-Bujairimi di dalam hasyiahnya menyebut jika perjalanan tersebut aman maka harus untuk wanita tersebut bermusafir seorang diri. (Lihat al-Tajrid Linnaf‘i al-‘Abid Hasyiah al-Bujairimi ‘Ala Minhaj al-Tullab, 6/35)

Jika dilihat pada masa kini perjalanan menunaikan umrah atau haji tidak lagi seperti dahulu. Jika dahulu perjalanan terpaksa menempuh padang pasir atau menaiki kapal yang mengambil masa berbulan-bulan. Akan tetapi sekarang mereka yang ingin menunaikan umrah atau haji hanya perlu menaiki kapal terbang yang mengambil masa kurang dari 24 jam.

Kami cenderung mengatakan bahawa harus bagi seorang wanita untuk pergi menunaikan umrah tanpa mahram dengan syarat ditemani paling kurang oleh dua orang wanita yang boleh dipercayai. Adapun bagi mereka yang menunaikan umrah bagi kali kedua dan seterusnya maka mengikut jumhur para ulama perlu untuk ditemani oleh suami atau mahram.

Kami yakin, apabila negara aman dan Islam tertegak dengan baik, maka seseorang wanita tidak akan merasa bimbang dalam musafir yang jauh sebagaimana dalam sebuah hadith daripada ‘Adi bin Hatim, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

فَإِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ، لَتَرَيَنَّ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الحِيرَةِ، حَتَّى تَطُوفَ بِالكَعْبَةِ لاَ تَخَافُ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ

Maksudnya: “Sekiranya umurmu panjang, nescaya engkau akan melihat seorang wanita berada dalam tandu, yang bermusafir dari al-Hirah sehingga dia bertawaf di Ka‘bah tanpa merasa takut kepada seorang pun kecuali kepada Allah.”

Riwayat al-Bukhari (3595) dan Muslim (1016)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”