Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum seorang isteri menunaikan umrah tanpa keizinan suami?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Seorang wanita dilarang keluar dari rumahnya untuk melakukan Umrah tanpa izin suaminya; kerana izin suami merupakan syarat kebenaran bagi isteri untuk keluar daripada rumah. Jika dia keluar tanpa izin, dia berdosa di sisi Allah SWT, dan akan menyebabkan nafkahnya akan gugur. Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُمْ بِاللَّيْلِ إِلَى المسْجِدِ، فَأْذَنُوا لَهُنَّ
Maksudnya: “Apabila isteri-isteri kamu meminta keizinan kamu untuk ke masjid pada waktu malam maka izinkanlah mereka.”
Riwayat al-Bukhari (865) dan Muslim (442)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa wanita tidak boleh keluar dari rumah suaminya (sekalipun ke masjid) tanpa keizinan daripada suaminya. (Lihat Fath al-Bari, 2/347)
Begitu juga kewajipan meminta izin ke atas isteri boleh dilihat melalui hadith Nabi SAW dalam peristiwa hadith al-ifk (peristiwa fitnah kepada ‘Aisyah) iaitu ketika ‘Aisyah R.Anha meminta izin kepada baginda untuk pulang ke rumah ibubapanya. ‘Aisyah berkata kepada Nabi SAW:
أَتَأْذَنُ لِي أَنْ آتِيَ أَبَوَيَّ؟ قَالَتْ: وَأُرِيدُ أَنْ أَسْتَيْقِنَ الخَبَرَ مِنْ قِبَلِهِمَا، قَالَتْ: فَأَذِنَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Adakah engkau mengizinkanku untuk mendatangi kedua ibu bapaku? Lalu ‘Aisyah berkata ketika meriwayatkan peristiwa itu: Hal ini disebabkan aku ingin mendapatkan kepastian berita tersebut daripada kedua mereka. Maka Rasulullah SAW mengizinkan daku.”
Riwayat al-Bukhari (4141) dan Muslim (2770)
Oleh yang demikian, adalah menjadi tuntutan bagi isteri untuk memohon izin daripada suaminya sebelum meninggalkan rumah suaminya, terutamanya jika ingin melakukan permusafiran yang jauh.
Kebahagiaan rumah tangga akan terhasil apabila berlakunya kerjasama yang baik, dan bersefahaman, khususnya dalam menunaikan ibadah haji. Maka natijahnya, akan tertahqiqlah Baiti Jannati.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)