#5617: Wanita Haid Masuk ke Masjid untuk Melihat Ka’bah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah wanita dibolehkan untuk masuk ke masjid untuk melihat Kaabah semasa di dalam tempoh haid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wanita yang didatangi haid tidak boleh untuk memasuki kawasan masjid untuk melihat Kaabah. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”

(Surah al-Nisa’: 43)

Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Syafi‘i menyatakan bahawa seorang yang dalam keadaan berjunub, dia tidak boleh untuk duduk di dalam masjid dan hanya boleh melaluinya sahaja. (Lihat Ahkam al-Quran, 3/168)

Begitu juga dengan hadith Nabi SAW yang lain, daripada Ummu Salamah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْمَسْجِدَ لَا يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya masjid tidak halal untuk dimasuki oleh orang yang berjunub dan wanita yang sedang dalam keadaan haid.”

Riwayat Abu Dawud (232) dan Ibn Majah (645)

Syeikh Muhammad al-Amin bin Abdullah al-’Alawi menyebut: Sabda Baginda, ‘إِنَّ الْمَسْجِدَ’ iaitu jenis yang diwakafkan tidak halal serta tidak harus bagi orang yang berjunub memasukinya sama ada dengan sebab bersetubuh atau mimpi sebagai contoh, dan tidak halal juga bagi orang yang haid memasukinya serta orang yang nifas. (Lihat Syarh Sunan Ibn Majah, 4/528)

Begitu juga dalam hadith Ummu ‘Athiyyah, katanya:

أُمِرْنَا أَنْ نُخْرِجَ الحُيَّضَ يَوْمَ العِيدَيْنِ، وَذَوَاتِ الخُدُورِ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ المُسْلِمِينَ، وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلُ الحُيَّضُ عَنْ مُصَلَّاهُنَّ، قَالَتِ امْرَأَةٌ: يَا رَسُولَ اللهِ إِحْدَانَا لَيْسَ لَهَا جِلْبَابٌ؟ قَالَ: لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا

Maksudnya: “Kami diperintahkan supaya menyuruh perempuan-perempuan yang sedang haid dan gadis-gadis pingitan untuk keluar pada dua hari raya, supaya mereka dapat menyaksikan perhimpunan orang-orang Islam dan doa mereka. Bagaimanapun perempuan-perempuan yang sedang haid itu hendaklah berada di luar kawasan solat mereka. Seorang perempuan bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Bagaimana kalau seseorang daripada kalangan kami tidak mempunyai jilbab?’ Nabi SAW bersabda: ‘Rakannya yang mempunyai jilbab hendaklah meminjamkan kepadanya’.”

Riwayat al-Bukhari (351) dan Muslim (890)

Sekiranya wanita yang didatangi haid ingin melihat Kaabah, dia hendaklah berada di luar kawasan masjid atau ada hotel-hotel yang tinggi yang dapat dilihat Ka’bah seperti Hotel Sofwah dan Zam Zam Tower. Kami syorkan, teruskan ibadat selain daripada tawaf, solat dan memasuki kawasan masjid kerana patuh dan taat kepada perintah Allah. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)