#5633: Beza Niat Bersyarat Bagi Wanita Yang Sedang Haid dan Belum Haid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah perbezaan bagi niat bersyarat untuk wanita yang belum kedatangan haid dengan yang sedang di dalam haid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Niat bersyarat bukanlah satu keharusan yang diberikan secara mutlak, malah ia adalah pengecualian terhadap keadaan yang sangat mendesak yang menghalang jemaah menyempurnakan ibadat haji atau umrah seperti kedatangan haid. Perbezaan niat antara kedua-dua keadaan tersebut  sepertimana yang telah dinyatakan dalam Resolusi Muzakarah Haji kali ke-26  adalah sebagaimana berikut:

  • Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Sekiranya aku kedatangan haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

Dalam keadaan berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat: “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”

Kami lebih cenderung untuk tinggalkan niat bersyarat kepada wanita disebabkan haid kerana ia merupakan ketentuan Allah kepada wanita sebagaimana hadith Aisyah yang telah dibahaskan. Apabila selesai dan suci daripada haid, maka lakukanlah ibadat umrah dengan sempurnanya. Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”