#5667: Menunaikan Umrah dengan Niat Pahala kepada Ibu Bapa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum jika menunaikan umrah tetapi niat pahala kepada ibu bapa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Setiap amalan kebaikan yang dilakukan dan diniatkan kepada si mati dapat memberi manfaat kepadanya. Oleh yang demikian, kami nyatakan dalam hal ini dibolehkan untuk melakukan tawaf dan menghadiahkan pahala tersebut kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia.

Syeikh Soleh ‘Uthaimin dalam isu ini beliau menyatakan:  Dibenarkan untuk berkeliling tujuh kali, dan boleh menjadikan pahalanya untuk sesiapa yang dikehendaki dari golongan Muslim. Ini adalah pandangan yang terkenal dari mazhab Imam Ahmad. Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh seorang Muslim, dan pahalanya diberikan kepada seorang Muslim yang hidup atau mati, maka itu akan memberi manfaat kepadanya. Sama ada amalan kebaikan itu bersifat jasmani semata-mata, seperti solat dan tawaf, atau bersifat harta semata-mata, seperti sedekah, atau merupakan gabungan keduanya, seperti korban. Namun, seseorang perlu mengetahui bahawa yang lebih baik bagi manusia adalah menjadikan amalan kebaikan untuk dirinya sendiri, dan mengkhususkan sesiapa yang  dikehendaki dari golongan Muslim untuk dia berdoa. Ini kerana itulah yang dianjurkan oleh Nabi SAW. (Lihat Majmu‘ Fatawa wa Rasa’il al-‘Uthaimin, 24/53)

Ibn Jibrin juga menukilkan hal ini dengan menyatakan: Sebarang amalan kebaikan yang dilakukan dan pahalanya dihadiahkan kepada seorang Muslim yang hidup ataupun yang sudah mati akan memberi manfaat kepadanya. Ini adalah pendapat yang sahih. Oleh itu, dibenarkan untuk menghadiahkan amalan kebaikan kepada orang yang telah meninggal dunia supaya amalan tersebut dapat memberi manfaat kepadanya. Jika melakukan ibadah haji, niatkan haji tersebut untuknya, atau umrah, atau sedekah, atau doa, atau jihad, atau perkara seumpamanya, maka itu akan memberi manfaat kepadanya. (Lihat Syarh Akhsar al-Mukhtasarat li Ibn Jibrin, 12/8)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)