#5670: Guru-Guru Imam Abu Hanifah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami, siapakah guru-guru Imam Abu Hanifah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abi al-Darda’ RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.”

Riwayat Abu Daud (3641). Syeikh al-Arna’out menghukum hadith ini sebagai hasan dengan syawahidnya.

Mengikut kitab Abu Hanifah al-Nu’man oleh Wahbi Sulaiman Ghawaji menyebut bahawa guru-guru Abu Hanifah melebihi empat ribu orang. Tujuh daripada mereka adalah para sahabat, seperti Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Mas’ud dan Abdullah bin Abbas.

Sembilan puluh tiga orang gurunya di kalangan tabi’in dan yang baki di kalangan pengikut mereka atau tabi’ tabi’in. Antara gurunya yang lain pula ialah:

  • Hammad bin Abi Sulaiman al-Asy‘ari, yang banyak sekali memberikan ilmu kepadanya. Abu Hanifah telah mendapat kepujian dalam ilmu fiqh dan juga tauhid daripada gurunya ini. Setelah Hammad meninggal dunia, beliau mengambil alih tempat gurunya untuk mengajar ilmu fiqh dan nama beliau begitu masyhur di seluruh negeri pada waktu itu. Oleh kerana mengenang jasa gurunya, beliau berkata: “Aku tidak pernah meninggalkan doa restuku kepada guruku yang dikasihi.

Beliau mula belajar dengan Hammad bin Abu Sulaiman al-Asy‘ari ketika beliau berusia 22 tahun dan terus belajar dengannya selama 18 tahun sehingga gurunya itu meninggal dunia pada tahun 120 H.

Abu Hanifah berkata: “Ketika aku tiba di Basrah, aku menyangka bahawa tidak ada satu pun soalan yang ditanya kepadaku melainkan aku pasti dapat menjawabnya. Kemudian, aku ditanya satu soalan yang mana aku tidak mengetahui jawapannya. Setelah itu, aku menetapkan ke atas diriku sendiri agar tidak meninggalkan majlis Hammad sehinggalah beliau meninggal dunia. Aku telah bersamanya selama 18 tahun.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 6/398)

  • Ilmu tajwid pula, beliau pelajarinya daripada Idris bin Asir, seorang yang alim dalam ilmu tajwid, dan mengikut jejak gurunya, Ibrahim al-Nakhaie.
  • Ibrahim bin Muhammad al-Muntasyir. Seorang yang thiqah. Antara yang meriwayatkan daripadanya ialah Abu Awanah, al-Thauri, Mis’ar, Ibn Uyainah dan lain-lain.
  • Ibrahim bin Yazid al-Nakhaie al-Kufi. Beliau seorang yang thiqah kecuali banyak meriwayatkan secara mursal. Terkenal dengan sifat kewarakan dan baik, di samping menjaga syahwatnya. Ibn Hibban menyebutnya dalam Thiqat al-Tabiin.
  • Ismail bin Hammad bin Abi Sulaiman al-Kufi. Seorang yang benar. Al-Nawawi berkata dalam mukadimah Syarh Muslimnya: “Beliau seorang tabiin yang masyhur. Pernah melihat Anas bin Malik, Salamah bin al-Aqwa’ dan mendengar daripada ‘Abdullah bin Abi Aufa, ‘Amru bin Huraith, Qis bin ‘Abid dan Abu Juhaifah.
  • Ayyub al-Sakhtiyani al-Basri. Seorang yang thiqah. Menjadi hujah di kalangan ulama fiqh yang besar dan ahli ibadat yang terkenal. Syu’bah pernah berkata: “Aku tidak lihat orang seumpamanya.” Dikatakan beliau seorang penghulu fuqaha pada zamannya. Semua imam hadith yang enam meriwayatkannya di dalam kitab masing-masing.
  • Al-Harith bin ‘Abd al-Rahman al-Hamazani al-Kufi Abu Hind. Maqbul al-Bukhari mentakhrijkan daripadanya dalam kitab al-Adab al-Mufrad. Begitu juga al-Nasaie dalam Musnad Ali.
  • Rabi’ah bin ‘Abd al-Rahman al-Madani yang terkenal dengan Rabi’ah al-Ra’yi. Seorang yang thiqah, faqih, lagi masyhur. Imam Ahmad berkata: “Beliau seorang yang thiqah.
  • Salim bin ‘Abdullah bin Umar bin al-Khattab R.A. Salah seorang ahli fuqaha yang tujuh di Madinah al-Munawwarah. Seorang yang thabit, ahli ibadat dan mempunyai banyak kelebihan. Beliau menyerupai bapanya yang berpegang kepada hadith dan akhlak. Termasuk dari kalangan tabaqat yang ketiga. Periwayatannya terdapat dalam Sunan Sittah.
  • Sa‘id bin Masruq, bapa kepada Sufyan al-Thauri. Seorang yang thiqah di kalangan golongan tabaqat yang keenam. Ibn Hibban menyebutnya dalam Thiqat Atba’ al-Tabiin.
  • Sulaiman bin Yasar al-Hilali al-Madani. Thiqah dan banyak kelebihan, termasuk salah seorang ahli fuqaha yang tujuh di Madinah al-Munawwarah.
  • Asim bin Kulaib bin Syihab al-Kufi. Imam Muslim memasukkannya dalam riwayatnya. Begitu juga imam hadith yang empat dalam sunan masing-masing.
  • Abdul Rahman bin Hurmuz al-A’raj al-Madani. Thiqah, thabit, lagi alim. Semua sunan sittah meriwayatkannya dalam sunan masing-masing.
  • Ata’ bin Yasar al-Hilali al-Madani. Beliau merupakan maula kepada Maimunah. Beliau dikatakan seorang yang thiqah dan banyak meriwayatkan hadith.
  • Amru bin Dinar al-Makki. Thiqah lagi thabit. Ashab sunan meriwayatkannya dalam kitab masing-masing. Ibn Hibban menyebutnya dalam al-Thiqat.
  • Al-Qasim bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A. Seorang yang thiqah, lagi kuat beribadat. Imam al-Bukhari dan ramai ahli hadith meriwayatkannya dalam kitab masing-masing.
  • Abdul Karim bin Abi al-Makhariq al-Basri menetap di Mekah. Imam al-Bukhari meriwayatkannya secara ta’liq. Ibn Majah meriwayatkannya di dalam kitab tafsir.

Syeikh Muhammad Abu Zuhrah dalam bukunya Tarikh al-Mazahib al-Islamiyah berkata: “Abu Hanifah melazimi ramai ulama dalam pelbagai suasana, dan dapat mengambil faedah dari keadaan gelombang ilmu ketika itu. Antara yang beliau sentiasa mulazamah ialah gurunya, Hammad bin Sulaiman, di mana beliau telah sampai kepada nasabnya dari kalangan Asy’ariyyin. Gurunya sempat bertalaqi dengan Ibrahim al-Nakhai’i dan al-Sya’bi. Begitu juga dengan Syuraih al-Qadi, Alqamah bin Qais dan Masruq bin al-Ajda’. Mereka semua mengambil fiqh dari dua sahabat yang terkemuka, iaitu Abdullah bin Mas’ud dan Ali Karamallahu Wajhah. Dikatakan Imam Abu Hanifah melazimi gurunya Hammad selama 18 tahun sehingga gurunya itu meninggal dunia pada tahun 120 Hijrah dan beliau mengambil tempat gurunya untuk meneruskan pengajaran.

Abu Hanifah terlibat dalam bidang pendidikan dan mula mengajar hanya setelah kewafatan gurunya Hammad, iaitu pada tahun 120H dan ketika berumur 40 tahun. Sebelum itu, beliau secara konsisten belajar dan melazimi halaqah gurunya Hammad  selama 18 tahun. (Lihat Tarikh Baghdad, 13/333; Tahzib al-Kamal, 29/427 dan Siyar A’lam al-Nubala’, 6/398)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)