#5671: Maksud Fatrah al-Naqa’ Bagi Wanita

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan maksud Fatrah al-Naqa untuk wanita.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kalimah fatrah (فَتْرَةٌ) bermaksud tempoh, manakala kalimah al-naqa’ (النَّقَاءُ) bermaksud suci. Maka secara umumnya, fatrah al-naqa’ ini merujuk kepada tempoh darah terputus atau berhenti mengalir keluar.

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, perbezaan antara al-fatrah dan al-naqa’ adalah:

  • Al-fatrah adalah suatu tempoh berhentinya darah, tetapi apabila dimasukkan kapas ke dalam faraj, masih terdapat kesan darah padanya.
  • Al-naqa’ adalah suatu tempoh berhentinya haid, tetapi apabila dimasukkan kapas ke dalam faraj, tidak ada sebarang kesan darah padanya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/293)

Terdapat dua pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Pertamanya, pendapat al-Sahb — dan ini merupakan pendapat yang muktamad — iaitu fatrah al-naqa’ yang berada pada waktu selang antara keluarnya darah haid, yang di dalam tempoh 15 hari, juga dianggap sebagai haid kerana kerana adat kebiasaan haid seorang wanita boleh berubah. Manakala darah yang keluar melebihi 15 hari dianggap sebagai darah istihadhah. Manakala pendapat kedua pula, yakni pendapat al-Laqt, iaitu menganggap fatrah al-Naqa’ itu sebagai waktu suci. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 166)

Oleh itu, pendapat kedua ini menatijahkan bahawa amalan puasa, solat dan tawaf yang dilakukan dalam tempoh tersebut adalah sah. Inilah juga pendapat yang banyak difatwakan oleh ramai ulama’ kontemporari, apabila melibatkan pelaksanaan ibadah haji dan umrah yang terikat dengan kemampuan ekonomi dari segi bebanan kewangan kerana tambahan perbelanjaan, peningkatan kos hotel, kos pengangkutan seperti tambang tiket kapal terbang atau bas, visa dan kebersamaan dengan rombongan.

Hal ini juga adalah selari sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Haj: 78)

Begitu juga, terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha, beliau berkata:

مَا خُيِّرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَمْرَيْنِ، أَحَدُهُمَا أَيْسَرُ مِنَ الْآخَرِ، إِلَّا اخْتَارَ أَيْسَرَهُمَا، مَا لَمْ يَكُنْ إِثْمًا، فَإِنْ كَانَ إِثْمًا، كَانَ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْهُ

Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW disuruh memilih di antara dua perkara, yang salah satunya lebih mudah daripada yang satu lagi, nescaya Baginda akan memilih yang lebih mudah di antara keduanya selama mana Baginda tidak berdosa. Sekiranya ia adalah dosa, maka Baginda SAW ialah orang yang paling jauh meninggalkannya.”

Riwayat Muslim (2327)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)