#5685: Bercakap atau Membuat Isyarat Ketika Tawaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum jika seseorang itu bercakap-cakap atau membuat isyarat ketika tawaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bercakap-cakap atau membuat isyarat ketika tawaf adalah diharuskan dan tidak membatalkan tawaf seseorang. Dalam hal ini, terdapat sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ

Maksudnya: “Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya sahaja kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.

Riwayat al-Tirmizi (960)

Al-San‘ani menyatakan bahawa penyerupaan tawaf dengan solat adalah pada pahala dan syarat suci baginya. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa diharuskan bagi seseorang itu untuk berbicara dengan orang lain ketika menunaikan ibadah tawaf. Adapun perkataan berupa zikir-zikir ketika tawaf, maka hukumnya adalah sunat. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 7/183).

Selain itu, Imam al-Syafi‘i dan para ashab berpendapat bahawa bercakap-cakap di dalam tawaf hukumnya adalah diharuskan. Perbuatan bercakap-cakap tersebut tidak membatalkan tawafnya dan tidak juga dihukumkan sebagai makruh.

Akan tetapi meninggalkan perbuatan bercakap-cakap itu adalah lebih utama melainkan pada percakapan yang baik seperti amar makruf nahi mungkar, mengajar orang yang jahil, memberi fatwa (menjawab pertanyaan) atau seumpamanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/46).

Bukan itu sahaja, Badruddin al-‘Aini menukilkan daripada Imam al-Syafi‘i daripada riwayat Ibn Umar bahawasanya beliau berkata:

أقلوا الْكَلَام فِي الطّواف، فَإِنَّمَا أَنْتُم فِي صَلَاة

Maksudnya: “Kurangkanlah percakapan di dalam tawaf kerana sesungguhnya kamu berada di dalam solat.” (Lihat ‘Umdah al-Qari, 9/263).

Imam al-Tirmizi menambah lagi dengan menyatakan bahawa yang menjadi amalan di sisi kebanyakan ulama ialah mereka lebih menyukai sekiranya seseorang itu tidak bercakap-cakap ketika melakukan tawaf melainkan kerana adanya keperluan atau berzikir kepada Allah atau ilmu. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 2/285).

Tambahan pula, dinukilkan daripada Abu Umar daripada ‘Ata’ bahawa beliau tidak suka untuk bercakap-cakap ketika tawaf melainkan ada keperluan. Begitu juga Mujahid akan membaca al-Quran di dalam tawafnya. Imam al-Syafi‘i berkata: “Aku lebih suka untuk membaca al-Quran di dalam tawaf kerana ia merupakan sebaik-baik perkara yang diucapkan oleh manusia.” (Lihat ‘Umdah al-Qari, 9/263).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”