#5687: Ragu dan Waswas Pada Bilangan Tawaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum jika berlaku keraguan atau was-was pada bilangan tawaf ketika bertawaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sekiranya berlaku was-was pada bilangan tawaf  hendaklah dia mengambil bilangan yang paling sedikit. Hal ini sebagaimana hadith Abu Said al-Khudri RA bahawa Nabi SAW telah bersabda :

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلَاتِهِ، فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى ثَلَاثًا أَمْ أَرْبَعًا، فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ

Maksudnya : “Sekiranya salah seorang di antara kalian yang ragu-ragu di dalam solatnya, dia tidak tahu bilangan rakaatnya, apakah sudah tiga atau empat. Maka buanglah keraguan itu, dan binalah (ambilah) apa yang pasti (iaitu yang sedikit)”

Riwayat Muslim (571)

Imam al-Nawawi berkata :“Sesiapa yang telah syak pada bilangan tawaf atau sa’ienya, wajib ke atas dia mengambil bilangan yang paling sedikit sekalipun dia cenderung pada bilangan yang banyak (dalam sangkaannya), tetap wajib ke atasnya mengambil bilangan yang sedikit yang diyakini sebagaimana di dalam bab solat yang lepas (iaitu syak pada bilangan rakaat)” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/21)

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaff juga menyebutkan perkara yang sama bahawa, “Tawaf adalah sebanyak tujuh kali (pusingan) secara yakin. Dan sekiranya datang syak pada bilangannya, ambilah yang paling sedikit seperti solat (syak pada bilangan rakaat)” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 481)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya:Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”