#5696: Pujian Ulama kepada Imam Ahmad

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Ahmad mempunyai banyak kelebihan sehingga dipuji oleh ramai ulama’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Surah al-Baqarah: 269)

Imam Ahmad menerima pelbagai pujian dan pengiktirafan daripada ulama’ yang lain terhadap keilmuan dan kelebihan beliau. Antara pujian ulama yang diberikan kepada Imam Ahmad ialah:

  • Imam al-Syafi‘i berkata:

أَحْمَدُ إمَامٌ فِي ثَمَانِ خِصَالٍ: إِمَامٌ فِي الْحَدِيثِ، إِمَامٌ فِي الْفِقْهِ، إِمَامٌ فِي الْقُرْآنِ، إِمَامٌ فِي اللُّغَةِ، إِمَامٌ فِي السُّنَّةِ، إِمَامٌ فِي الزُّهْدِ، إِمَامٌ فِي الْوَرَعِ، إِمَامٌ فِي الْفَقْرِ

Maksudnya: “Ahmad adalah Imam dalam lapan perkara: Beliau imam dalam hadith, fiqh, al-Quran, lughah (bahasa arab), al-Sunnah, al-Zuhd, al-Warak, serta kefakiran.” (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/10)

Kata beliau lagi:

خَرَجْتُ مِنْ بَغْدَادَ، وَمَا خَلَّفْتُ بِهَا أَوْرَعَ، وَلَا أَتْقَى، وَلَا أَفْقَهَ، وَلَا أَعْلَمَ مِنْ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ

Maksudnya: “Aku keluar dari Baghdad, dan tidak aku tinggalkan padanya seorang pun yang lebih warak, paling bertakwa, paling faqih, dan paling berilmu daripada  Ahmad bin Hanbal.” (Lihat Tarikh Dimasyq oleh Ibn Asakir, 5/272; Tabaqat al-Hanabilah, 1/40; Tarikh Baghdad, 6/99)

Beliau berkata kepada Ahmad:

أَنْتُمْ أَعْلَمُ مِنَّا بِالْحَدِيثِ، فَإِذَا كَانَ الْحَدِيثُ كُوفِيًّا أَوْ شَامِيًّا، فَأَعْلِمُونِي [بِهِ] حَتَّى أَذْهَبَ إلَيْهِ

Maksudnya: “Kamu lebih ‘alim tentang hadith berbanding kami. Sekiranya hadith itu berada di Kufah atau Syam maka beritahulah kepada aku sehingga aku pergi menuju kepadanya.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 99/170; Siyar A’lam al-Nubala’, 11/213)

Kata beliau lagi:

كُلُّ مَا فِي كُتُبِي “حَدَّثَنِي الثِّقَةُ” فَهُوَ أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ، وَكُلُّ مَا فِي كُتُبِي “وَهَذَا مِمَّا يُثْبِتُهُ”، أَوْ “لَا يُثْبِتُهُ أَهْلُ الْعِلْمِ” فَهُوَ أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ

Maksudnya: “Kesemua yang terdapat di dalam kitab-kitabku: ‘Telah menceritakan kepadaku seorang yang tsiqah (dipercayai)’ maka dia adalah Ahmad bin Hanbal.”

Dan kesemua yang terdapat di dalam kitabku:  ‘Dan ini adalah apa yang dithabitkannya’ atau ‘ia tidak dithabitkan oleh ahli ilmu’ maka maksudnya adalah Ahmad ibn Hanbal.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 4/125; Tarikh Dimasyq oleh Ibn ‘Asakir, 5/297)

  • Yahya Bin Ma‘in berkata:

وَاللهِ مَا تَحْتَ أَدِيمِ السَّمَاءِ أَفْقَهُ مِنْ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ، لَيْسَ فِي شَرْقٍ وَلَا غَرْبٍ مِثْلُهُ

Maksudnya: “Demi Allah, tidak ada di bawah lapisan langit ini seorang pun yang lebih faqih berbanding Ahmad bin Hanbal. Tidak ada seorang pun di timur dan barat yang sama sepertinya.”

  • Ibrahim al-Harbi berkata:

رَأَيْتُ أَحْمَدَ كَأَنَّ اللهَ قَدْ جَمَعَ لَهُ عِلْمَ الأْوَّلِينَ وَالْآخِرِينَ مِنْ كُلِّ صِنْفٍ، يَقُولُ مَا يَشَاءُ، وَيَدَعُ مَا يَشَاءُ. وَعَدَّ الأئِمَّةَ

Maksudnya: “Aku telah melihat Ahmad dan seakan-akan Allah telah menghimpunkan pada dirinya ilmu-ilmu golongan terdahulu dan terkemudian dalam setiap bidang. Beliau katakan apa yang dikehendaki dan beliau tinggalkan apa yang dia mahu, dan beliau tergolong dalam kalangan para imam.” (Lihat Tarikh Baghdad, 12/412; Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/188)

Ibrahim apabila menceritakan tentang para imam, beliau berkata:

كَانَ أَحْمَدُ أَفْقَهَ الْقَوْمِ

Maksudnya: “Ahmad adalah sefaqih-faqih kaum.”

  • Abu ‘Ubaid berkata:

انْتَهَى الْعِلْمُ إِلَى أَرْبَعَةٍ: عَلَيِّ بْنِ الْمَدِينِيِّ، وَيَحْيَى بْنِ مَعِيْنٍ، وَأَبِي بَكْرِ بْنِ أَبِي شَيْبَةَ، وَأَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ، وَكَانَ أَحْمَدُ أَفْقَهَهُمْ فِيهِ.

Maksudnya: “Ilmu itu terhenti kepada empat orang: Ali bin al-Madini, Yahya bin Ma’in, Abu Bakr Ibn Abi Syaibah, dan Ahmad bin Hanbal. Manakala Ahmad merupakan yang paling faqih dari kalangan mereka.”

  • Abu al-Qasim al-Khuttali berkata:

كَانَ أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ إِذَا سُئِلَ عَنِ الْمَسْأَلةِ كَأَنَّ عِلْمَ الدُّنْيَا بَيْنَ عَيْنيهِ

Maksudnya: “Imam Ahmad apabila ditanyakan tentang sesuatu permasalahan seakan-akan ilmu dunia berada di antara dua matanya.”

  • Al-Khallal berkata:

كَانَ أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ إِذَا تَكَلَّمَ فِي الْفِقْهِ تَكَلَّمَ بِكَلَامِ رَجُلٍ قَدِ انْتَقَدَ الْعِلْمَ، فتكَلَّمَ عَلَى مَعْرِفَةٍ

Maksudnya:Adalah Ahmad apabila berbicara tentang fiqh, beliau berbicara dengan ucapan seorang tokoh yang telah mengkritik ilmu, lalu beliau berkata-kata di atas ilmu pengetahuan.”

  • Ahmad bin Sa‘id berkata:

مَا رَأَيْتُ أَسْوَدَ الرَّأْسِ أَحْفَظَ لِحَدِيثِ رَسُولِ اللهِ – صلى الله عليه وسلم – وَلَا أَعْلَمَ بِفِقْهِهِ وَمَعَانِيهِ مِنْ أَحْمَدَ

Maksudnya:Aku tidak pernah melihat seorang yang berkepala hitam  yang lebih menghafal hadith-hadith Rasulullah SAW dan lebih mengetahui tentang fiqh hadith serta makna-maknanya berbanding Ahmad.”

  • ‘Abd al-Razzaq berkata:

مَا رَأَيْتُ أَفْقَهَ مِنْ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَل، وَلَا أَوْرَعَ، وَمَا رَأَيْتُ مِثْلَهُ، وَمَا قَدِمَ عَلَيْنَا مِثْلُهُ

Maksudnya: “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih faqih dan warak berbanding Ahmad bin Hanbal. Tidak pernah aku melihat seorang sepertinya. Dan tiada yang datang mengunjungi kami sepertinya.”

  • Abu Ya‘qub berkata:

وَمَا رُحِلَ إِلَى أَحَدٍ بَعْدَ رَسُولِ اللهِ – صلى الله عليه وسلم – مَا رُحِلَ إِلَى عَبْدِ الرَّزَّاقِ

Maksudnya: “Dan tidaklah dilakukan pengembaraan kepada seseorang selepas Rasulullah SAW sebagaimana yang berlaku kepada ‘Abd al-Razzaq.”

  • Qutaibah bin Sa‘id berkata:

لَوْ أَدْرَكَ أَحْمَدُ عَصْرَ الثَّوْرِيِّ وَمَالِكٍ وَالأْوْزَاعِيِّ وَاللَّيْثِ وَنُظَرَائِهِمْ؛ لَكَانَ هُوَ الْمُقَدَّمُ

Maksudnya: “Sekiranya Ahmad berada pada zaman al-Thauri, Malik, al-Auza‘ie, al-Laith, dan ulama’ yang setara dengan mereka nescaya beliau (Imam Ahmad) lebih didahulukan.”

Dikatakan: “Kamu bandingkan Ahmad dengan Tabi‘in?” Kemudian beliau menjawab:

إِلَى كِبَارِ التَّابِعِينَ، كَسَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ وَسَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ

Maksudnya: “Kepada pembesar para Tabi‘in seperti Sa‘id Ibn al-Musayyib, Sa‘id bin Jubair.”

Kata beliau lagi:

أَحْمَدُ وَإِسْحَاقُ إِمَامَا الدُّنْيَا

Maksudnya: “Ahmad dan Ishak merupakan dua imam bagi dunia.”

  • Abu Bakr bin Daud berkata:

لَمْ يَكُنْ فِي زَمَنِ أَحْمَدَ مِثْلُهُ

Maksudnya: “Tidak ada pada zaman Ahmad orang yang seumpamanya.”

  • ‘Abd al-Wahhab al-Warraq berkata:

كَانَ أَحْمَدُ أَعْلَمَ أَهْلِ زَمَانِهِ، وَهُوَ مِنَ الرَّاسِخِينَ فِي الْعِلْمِ، وَمَا رَأَيْتُ مِثْلَهُ

Maksudnya: “Ahmad adalah manusia paling ‘alim di zamannya. Bahkan beliau merupakan dari kalangan al-Rasikhin (orang yang kukuh lagi mantap) dalam penguasaan ilmu dan aku tidak pernah melihat orang sepertinya.”

Kata beliau lagi:

وَقَدْ أَجَابَ عَنْ سِتِّينَ أَلْفَ مَسْأَلةٍ بِـ (أَخْبَرَنَا وَحَدَّثَنَا)

Maksudnya: “Ahmad telah menjawab 60,000 permasalahan dengan ucapannya: Akhbarana (telah mengkhabarkan kepada kami) dan Haddathana (telah menceritakan kepada kami).”

  • Abu Daud al-Sijistani berkata: “Aku pernah menemui 200 syeikh atau guru bagi ilmu-ilmu, tetapi aku tidak pernah melihat orang yang seumpama (Ibn Hanbal), beliau tidak membicarakan sesuatu tentang hal ehwal dunia seumpama orang lain. Apabila disebut tentang ilmu, beliau ikut berbicara.

  • Abu Masyar pernah berkata: “Aku tidak pernah dapati seorang yang benar-benar menjaga agama selain daripada seorang pemuda yang tinggal di Timur (Ibn Hanbal).

  • Seorang Syeikh Islam bernama ‘Abdullah al-Ansari al-Harwi memuji Ibn Hanbal dalam satu qasidah yang panjang, yang bermaksud:

Di hadapanku kebenaran dan keadilan bagi Allah,

Dikebumikan yang dipuji di Baghdad,

Dia menyatukan antara takwa dan zuhud dalam hidupnya,

Dan juga ilmu setelah selesai dari tenunan,

Pembantu Nabi dan penerang kepada hadithnya,

Penutup kenalannya dengan maksud dan tujuan,

Didakwah dari negeri, juga tempat orang tidak baik,

Ketahui kemarahannya oleh pendengki-pendengki,

Ditawarkan dunia (kekayaan), dengan senang dia menolak,

Dirinya umpama perbuatan peribadah yang lapar,

Jiwanya menjadi rendah hina di kala bertentang agama,

Beliau menebus agamanya dengan jiwa raganya,

Allah sahaja mengetahui apa yang dihadapi penuh kesabaran,

Dan keazaman beliau mengatasinya,

Aku pengikut Hanbali selama hidupku dan jika ku mati,

Maka wasiatku, itulah juga seluruh sahabatku,

Kerana agamanya agamaku dan agamaku agamanya,

Bukan yang mengikut seseorang tanpa pendirian.

Abu Thaur berkata:

أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ وَقَال: كُنْتَ إِذَا رَأَيْتَهُ خُيِّلَ إِلَيْكَ أَنَّ الشَّرِيعَةَ لَوْحٌ بَيْنَ عَيْنيهِ

Maksudnya: “Umat Islam telah bersepakat ke atas Ahmad bin Hanbal. Sekiranya kamu melihatnya nescaya kamu akan membayangkan bahawa syariah itu terhampar di antara kedua matanya.”  (Lihat Manaqib Imam Ahmad, 1/166)

Kata beliau lagi: “Sekiranya ada orang mengatakan bahawa Imam Ahmad bin Hanbal salah seorang dari ahli syurga, ia tidak melampaui dalam hal itu.”

  • Ishaq berkata:

أَنَا أَقِيسُ أَحْمَدَ بْنَ حَنْبَلٍ إِلَى كِبَارِ التَّابِعِينَ؛ كَسَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ وَسَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، وَهُوَ حُجَّة بَيْنَ اللِه وَبَيْنَ عَبِيدِهِ فِي أَرْضِهِ، وَلَا يُدْرَكُ فَضْلُهُ

Maksudnya: “Aku membandingkan Ahmad dengan pembesar tabi‘in seperti Sa‘id Ibn al-Musayyib dan Sa‘id bin Jubair. Beliau merupakan hujjah di antara Allah dengan hamba-hamba-Nya di bumi, dan tidak dapat untuk kita mencapai kelebihannya.”

  • Ibn Mahdi berkata:

لَقَدْ كَادَ هَذَا الْغُلَامُ أَنْ يَكُونَ إِمَامًا فِي بَطْنِ أُمِّهِ

Maksudnya: “Hampir-hampir anak muda ini menjadi imam sejak dari dalam perut ibunya.” (Lihat Manaqib Imam Ahmad, 1/93; Sifat al-Safwah, 1/479)

  • Abu Zur‘ah berkata:

كَانَ أَحْمَدُ يَحْفَظُ أَلْفَ أَلْفِ حَدِيثٍ

Maksudnya: “Ahmad menghafaz satu juta hadith.”

Ditanyakan kepada beliau: “Bagaimana kamu dapat mencapai hafalan seperti ini”?

Jawab beliau:

ذَاكَرْتُهُ، فَأَخَذْتُ عَلَيْهِ الْأَبْوَابَ

Maksudnya: “Aku saling bermuzakarah akannya dan aku menjadikannya kepada banyak bab.”

Kata Abu Zur‘ah lagi:

حَزَرْنَا اسْتِشْهَادَاتِ أَحْمَدَ فِي الْعُلُومِ فَوَجَدْنَاهُ يَحْفَظُ سَبْعَمِائَةِ أَلْفِ حَدِيثٍ فِيمَا يَتَعَلَّقُ بِالأحْكَامِ

Maksudnya: “Kami telah menghitung persaksian-persaksian Ahmad di dalam ilmu-ilmu, maka kami mendapati beliau menghafal 700,000 hadith yang berkaitan hukum-hakam.” (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/14)

Kata beliau lagi:

مَا أَعْلَمُ فِي أَصْحَابِنَا أَسْوَدَ الرَّأْسِ أَفْقَهَ مِنْهُ، وَمَا رَأَيْتُ أَكْمَلَ مِنْهُ، اجْتَمَعَ فِيهِ فِقْهٌ وَزُهْدٌ وَأَشْيَاءُ كَثِيرَةٌ، وَمَا رَأَيْتُ مِثْلَهُ فِي فُنُونِ الْعِلْمِ وَالْفِقْهِ وَالزُّهْدِ وَالْمَعْرِفَةِ وَكُلِّ خَيْرٍ، وَهُوَ أَحْفَظُ مِنِّي، وَمَا رَأَيْتُ مِنَ الْمَشَايخِ الْمُحَدِّثِينَ أَحْفَظَ مِنْهُ

Maksudnya: “Aku tidak tahu dari kalangan sahabat kami yang berkepala hitam (yang masih muda) yang lebih faqih darinya dan tidak pernah aku melihat seorang yang lebih sempurna darinya. Terhimpun padanya fiqh dan zuhud serta banyak lagi perkara lain. Tidak pernah aku melihat orang sepertinya di dalam ilmu-ilmu, fiqh, zuhd, makrifah dan semua perkara yang baik. Beliau lebih hafiz daripadaku dan aku tidak pernah melihat dari kalangan masyaikh ahli hadith yang lebih kuat hafalan berbanding beliau.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 9/164; Manaqib Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi , 1/162; Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/205)

Kata ‘Abdullah bin Ahmad: “Ayahku mengulang-ulang dengan dua juta hadith.”

  • Muhanna berkata:

مَا رَأَيْتُ أَجْمَعَ لِكُلِّ خَيْرٍ مِنْ أَحْمَدَ، وَمَا رَأَيْتُ مِثْلَهُ فِي عِلْمِهِ وَفِقْهِهِ وَزُهْدِهِ ووَرَعِهِ

Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat seorang pun yang terhimpun padanya segala kebaikan berbanding Imam Ahmad. Dan aku tidak pernah melihat seseorang yang sama sepertinya dalam ilmunya, fiqhnya, kezuhudannya, serta kewarakannya.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 19/165; Tarikh Dimasyq, 5/283)

  • Al-Haitham bin Jamil berkata:

إِنْ عَاشَ هَذَا الْفَتَى سَيَكُونُ حُجَّةً عَلَى أَهْلِ زَمَانِهِ

Maksudnya: “Sekiranya anak muda ini hidup dia akan menjadi hujjah ke atas penduduk zamannya.”  (Lihat Hilyah al-Auliya’, 19/167; Tarikh Dimasyq, 5/283)

  • Imam al-Nawawi berkata: “Beliau adalah seorang imam yang bijaksana, di samping kebesaran, ketuaan, kewarakan, kezuhudan, kuat ingatan, banyak ilmu dan kekuasaan.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)