#5721: Hukum Tawaf Qudum Selepas Pulang Dari Taif

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Perlukah melakukan tawaf qudum selepas balik dari Taif?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tawaf qudum merupakan tawaf yang dilakukan oleh mereka yang baru sampai ke Makkah. Ia disunatkan bagi mereka yang mengerjakan haji. Adapun mereka yang  mengerjakan umrah tawaf qudum baginya adalah tawaf umrah.

Dairah al-Ifta’ al-Urduniyyah menyatakan bahawa: Jika seseorang Muslim dalam keadaan ihram untuk umrah dan tiba di Masjid al-Haram, dia memulakan dengan melakukan tawaf. Tawaf ini merupakan salah satu rukun umrah, dan waktunya bermula apabila tiba di Masjidil Haram. Selepas itu, dia melakukan sa’ie, mencukur atau memendekkan rambut, dan dengan itu umrahnya diselesaikan. Tawaf kedatangan termasuk dalam tawaf yang menjadi rukun, seperti seseorang yang masuk ke masjid dan mendapati solat sedang berjalan, maka dia bersolat bersama jemaah dan tidak diwajibkan untuk melakukan dua rakaat sunat tahiyah al- masjid.

Tidak ada perbezaan dalam hal ini antara seseorang yang mengerjakan umrah sambil bersedia untuk haji, dan seseorang yang hanya melakukan umrah sahaja.[1]

Oleh yang demikian, dalam hal ini tidak diwajibkan bagi mereka yang keluar berziarah ke Taif melakukan tawaf qudum setelah kembali ke Makkah, hal ini kerana mereka telah melaksanakan umrah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2361 Diakses pada 25 Mac 2024