#5723: Wanita Sihat Melakukan Umrah Menggunakan Kenderaan Disediakan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum wanita yang sihat melakukan umrah menggunakan kenderaan yang disediakan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Para ulama bersepakat bahawa melakukan tawaf dan saie dalam keadaan berjalan kaki adalah lebih baik berbanding berkenderaan. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Qudamah bahawa tidak ada perselisihan dalam kalangan ulama bahawa tawaf dalam keadaan berjalan kaki adalah lebih baik kerana para sahabat Nabi SAW melakukan tawaf dalam keadaan berjalan, dan begitu juga Nabi SAW melakukan tawaf pada selain Haji Wada‘ dalam keadaan berjalan kaki. (Lihat al-Mughni, 5/250).

Selain itu, para ulama juga bersepakat bahawa mereka yang ada keuzuran dibolehkan untuk melakukan tawaf dan saie dalam keadaan berkenderaan, tidak kira keuzurannya itu disebabkan sakit, ketidakmampuan, kesusahan, usia tua atau seumpamanya. Ini berdasarkan hadith Ummu Salamah R.Anha, katanya:

شَكَوْتُ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنِّي أَشْتَكِي قَالَ: طُوفِي مِنْ وَرَاءِ النَّاسِ وَأَنْتِ رَاكِبَةٌ

Maksudnya: “Aku mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa aku sakit. Lalu Baginda SAW bersabda: ‘Tawaflah di belakang orang ramai, dalam keadaan engkau menunggang haiwan (yakni berkenderaan).’

Riwayat al-Bukhari (464) dan Muslim (1276)

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan, hadith ini menunjukkan kepada keharusan tawaf dengan cara berkenderaan apabila dia ada keuzuran. Adapun beliau diperintahkan untuk melakukan tawaf di belakang orang ramai adalah supaya auratnya lebih terjaga. Begitu juga supaya beliau tidak memutuskan saf-saf mereka dan orang ramai tidak disakiti atau terganggu dengan haiwan tunggangannya. (Lihat Fath al-Bari, 3/481).

Sehubungan dengan itu, wanita yang sihat melakukan tawaf atau saie dengan menggunakan kenderaan atau skuter yang disediakan kerana adanya keperluan seperti mengelakkan kesesakan dan seumpamanya, bahkan tanpa sebarang alasan sekalipun adalah dikira sah dan tidak perlu mengulanginya semula mengikut mazhab al-Syafi‘i. Ini kerana apa yang dikehendaki dan dituntut adalah melakukan tawaf di sekitar Kaabah dan saie antara Safa dan Marwah. Justeru, bagaimanapun cara dia melakukannya, sama ada berjalan kaki atau berkenderaan, maka sesungguhnya dia telah memenuhi kewajipannya.

Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa jika dia tawaf dalam keadaan menunggang haiwan tunggangan disebabkan oleh keuzuran yang menyukarkannya untuk melakukan tawaf secara berjalan, atau dia melakukan tawaf dalam keadaan menunggang haiwan tunggangan supaya zahir kepada khalayak ramai, lalu diminta fatwa dan diikuti perbuatannya, maka hukumnya adalah diharuskan dan tidak makruh. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah tawaf dalam keadaan menunggang pada sebahagian tawafnya iaitu tawaf ziarah. Begitu juga jika dia melakukan tawaf dalam keadaan menunggang tanpa sebarang keuzuran, hukumnya juga adalah diharuskan. Namun, di tempat yang lain, beliau menyatakan bahawa sebaiknya, seseorang itu tidak menunggang kenderaan dalam saienya melainkan kerana keuzuran. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, hlm. 173 dan 203).

Tambahan lagi, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

طَافَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ عَلَى بَعِيرٍ

Maksudnya: “Ketika haji Wada’, Nabi SAW mengerjakan tawaf dengan menunggang unta.

 Riwayat al-Bukhari (1607) dan Muslim (1272)

Al-Mulla Ali al-Qari menukilkan daripada al-Tibi yang menyatakan, Baginda SAW melakukan tawaf dalam keadaan berkenderaan meskipun melakukannya dengan berjalan kaki adalah lebih baik (afdhal), adalah supaya semua orang dapat melihatnya. Hal tersebut adalah disebabkan oleh kesesakan dan ramainya jumlah mereka. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 5/1785).

Imam al-Syafi‘i menyebutkan, Jabir mengkhabarkan daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda melakukan tawaf dalam keadaan berkenderaan, dan beliau juga mengkhabarkan bahawa Baginda melakukan demikian supaya semua orang dapat melihat Baginda. Ini menunjukkan bahawa Baginda tidak melakukan tawaf kerana sakit atau tidak mampu, dan saya tidak mengetahui bahawa Baginda mengadu sakit semasa melakukan ibadah haji itu. (Lihat al-Umm, 3/443).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”