#5725: Hukum Wanita Haid Tidak Melakukan Tawaf Wada’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah status wanita yang haid tidak melakukan tawaf wada’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tawaf wada’ merupakan pekerjaan terakhir yang wajib dilakukan sebelum meninggalkan Makkah setelah selesai segala urusan-urusan haji dan umrah bagi pendapat muktamad mazhab Syafi’i. Ia merupakan amalan terakhir bagi jemaah yang telah melaksanakan ibadah haji sebelum meninggalkan Makkah. Namun,  wanita yang sedang haid dikecualikan daripada melakukan tawaf wada’. Hal ini sebagaimana yang telah disebutkan dalam sebuah hadith yang  diriwayatkan daripada  Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya: “Orang ramai diperintahkan menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid.”

Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata, hadith ini mengandungi dalil tentang kewajipan Tawaf Wada’ kerana ada perintah yang dikuatkan dan kerana ungkapan adanya keringanan bagi wanita haid. (Lihat Fath al-Bari, 3/747).

Hadith di atas menunjukkan Tawaf Wada‘ hukumnya wajib dan ia dikecualikan bagi wanita yang sedang mengalami haid. Perintah wajib ini disebabkan ‘arahan perintah’ (فعل الأمر) dalam hadith ini bersifat ‘mutlak’, tiada qarinah menunjukkan ia hanya menunjukkan sunat atau harus. Kaedah menjelaskan (الأمر المطلق) menunjukkan wajib (الأَمْرُ المُطلق يُفِيد الوُجُوب). (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 3/3 dan Syarh Zad al-Mustaqni‘, 13/127).

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa tidak wajib tawaf wada’ bagi wanita yang sedang haid. Hal yang sama juga berlaku terhadap wanita yang mengalami nifas. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/199)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”