#5733: Adakah Wajib Bagi Wanita Memakai Pakaian Putih Semasa Umrah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah wajib bagi seorang wanita untuk memakai pakaian berwarna putih semasa umrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa kain ihram yang paling afdhal ialah kedua-duanya (iaitu izar dan rida’) berwarna putih, baru dan bersih serta makruh dicelupkannya dengan warna. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, hlm. 87).

Sehubungan dengan itu, tidak wajib bagi jemaah wanita untuk memakai pakaian berwarna putih semasa umrah tetapi ia adalah disunatkan mengikut mazhab al-Syafi‘i. Ini adalah seperti mana yang dinyatakan oleh Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff selepas beliau menyebutkan, di antara perkara yang disunatkan dalam ihram ialah memakai izar dan rida’ (pakaian ihram bagi lelaki) yang baru dan berwarna putih, kemudian sudah dibasuh. Beliau menjelaskan pula bahawa turut disunatkan bagi wanita untuk memakai pakaian berwarna putih (ketika mengerjakan umrah) dan makruh memakai pakaian yang dicelupkan dengan warna. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 477).

Hal ini adalah selari dengan hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ، فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya: “Pakailah kamu pakaian yang berwarna putih kerana ia sebaik-baik pakaian, dan kafankanlah dengan pakaian putih tersebut mayat-mayat kamu.”

Riwayat Abu Dawud (3878); Ibn Majah (3566); Ahmad (2219) dan al-Tirmizi (994); Imam al-Tirmizi menilainya sebagai hasan sahih.

Al-Mulla Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith ini menukilkan daripada Ibn Hajar yang menyatakan bahawa, ini kerana warna putih adalah sebaik-baik warna. Ia juga menunjukkan bahawa putih tidak disebutkan sebagai sesuatu yang berwarna. Ini kerana Rasulullah SAW sering kali memakai pakaian selain warna putih bagi menjelaskan keharusan memakainya atau kerana kesusahan untuk menjaganya. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 3/1187).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”