Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Semasa sa’ie, seorang Wanita telah datang haid. Adakah dia wajib potong rambut walaupun belum mandi wajib?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Bagi wanita yang sedang haid, tidaklah menjadi satu kewajipan untuk bertahallul terlebih dahulu sebelum mandi wajib. Keputusan ini bergantung kepada situasi dan keadaan individu tersebut. Jika dia dapat mandi wajib tanpa kesukaran, dia boleh memilih untuk mandi terlebih dahulu sebelum bertahallul. Namun, jika dia bimbang tentang pantang larang ihram, adalah lebih disyorkan baginya untuk bertahallul terlebih dahulu.
Adapun pandangan yang mewajibkan untuk memotong rambut sebelum mandi wajib adalah merupakan pandangan yang terdapat kritikan padanya.
Allah SWT berfirman:
مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan).”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Oleh yang demikian tidak menjadi kesalahan bagi yang menanggung hadas untuk bertahallul sebelum mandi atau mandi sebelum bertahallul.
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”