#5767: Isteri Diberikan Upah Atas Semua Urusan Rumah Tangga?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan yang menggusarkan saya, segelintir asatizah mengatakan isteri  perlu diberi gaji atau bayaran di dalam setiap lakuan harian isteri ketika menguruskan rumah tangga. Saya tidak mampu untuk memberi gaji yang sepatutnya kepada isteri, dan hasil pendapatan saya habis dibelanjakan untuk kelengkapan rumah dan keluarga. Persoalannya, adakah benar isteri perlu dibayar upah? Dan jika suami tidak mampu bayar, adakah ia dikira hutang? Adakah tiada hak suami untuk menggunakan untuk dirinya sendiri selain dari membayar gaji kepada isteri? Bagaimana saya perlu melihat keindahan perkahwinan Islam di dalam hal ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan membawa sebuah hadith daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ عَلَيْهِمْ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالمرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَالعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلاَ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya, pemerintah yang memegang urusan manusia adalah pemimpin ke atas mereka dan bertanggungjawab keatas mereka, seorang lelaki adalah pemimpin ke atas keluarganya dan dia bertanggungjawab keatas mereka, seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya serta anaknya dan dia bertanggungjawab ke atas mereka, seorang hamba adalah pemimpin ke atas harta majikannya dan dia bertanggungjawab ke atas harta itu. Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya.”

Riwayat al-Bukhari (2554) dan Muslim (1829)

Abu al-‘Abbas al-Qastalani berkata ketika mensyarahkan hadith di atas: “(Seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya), iaitu menguruskan perihal rumah dengan baik serta memberikan komitmen untuk membuat kerja rumah serta melayan tetamu. (Pemimpin ke atas anaknya) pula bermaksud komitmen untuk mendidik anak tersebut dengan baik. Mereka bertanggungjawab perihal urusan rumah suami serta anaknya.” (Lihat Irsyad al-Sari, 10/216)

Melihat kepada persoalan yang saudara ajukan, kami katakan bahawa setiap daripada suami dan isteri mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam perkahwinan mereka. Rasulullah SAW menyebutkan dalam khutbah haji wada‘, seperti yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin al-Ahwas R.A:

أَلَا إِنَّ لَكُمْ عَلَى نِسَائِكُمْ حَقًّا وَلِنِسَائِكُمْ عَلَيْكُمْ حَقًّا

Maksudnya: “Ketahuilah, kamu memiliki hak terhadap isteri-isteri kamu. Dan mereka juga memiliki hak terhadap kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (1163)

Syeikh Muhammad bin ‘Ali bin Adam al-Ityubi menukilkan kalam Abu Marwan Ibn Habib al-Sulami di dalam kitabnya al-Wadhihah: “Nabi SAW menjadi hakim di antara ‘Ali bin Abi Talib R.A dan isterinya Fatimah R.Anha ketika mereka mengadu kepada Baginda tentang khidmat rumah tangga. Baginda memutuskan agar Fatimah melakukan khidmat batin iaitu khidmat di rumah, dan Baginda memutuskan agar ‘Ali melakukan khidmat zahir.” Kemudian Ibn Habib menerangkan, khidmat batin itu bermaksud menguli tepung, memasak, menyiapkan tempat tidur, membersihkan rumah, menuangkan air, dan semua kerja rumah yang lain. (Lihat Zakhirah al-‘Uqba fi Syarh al-Mujtaba, 27/54)

Perkahwinan tidak hanya datang dengan segala bentuk yang indah sahaja, sebaliknya ia disertakan dengan amanah serta tanggungjawab yang harus diketahui oleh pasangan suami isteri. Sebagaimana isteri pada hakikatnya dituntut untuk melakukan kerja rumah, suami pula bertanggungjawab untuk menyediakan segala kelengkapan asasi yang diperlukan oleh seisi rumah itu. Disebutkan dalam hadith Mu‘awiyah al-Qusyairi R.A, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمْتَ، وتَكْسُوهَا إِذَا اكْتَسَيْتَ، أَوِ اكْتَسَبْتَ، وَلَا تَضْرِبِ الْوَجْهَ، وَلَا تُقَبِّحْ، وَلَا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.”

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, makanan, barang-barang dapur, pakaian, tempat tinggal, alat-alat untuk membersihkan diri, barangan rumah, pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Di dalam perbahasan nafkah suami terhadap isteri, para fuqaha’ membahagikan kepada tiga golongan suami; yang senang, sederhana dan susah. Sekiranya suami merupakan orang susah, maka cukup sekadar mengeluarkan nafkah yang asas. Seperti mengeluarkan secupak beras berserta dengan lauk asas yang mengikut tradisi setempat. Kemudian, menyediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai masyarakat setempat sama ada ketika di rumah dan ketika keluar dari rumah, cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat. Kemudian, menyediakan rumah mengikut kemampuan, tanpa disyaratkan untuk memiliki rumah tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa. Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/283)

Islam tidak pernah meletakkan upah menguruskan rumah sebagai hak yang wajib ditunaikan kepada isteri. Ini pada hakikatnya adalah satu stigma negatif yang diwujudkan oleh pendokong ideologi menyeleweng sehingga datangnya generasi baharu yang tidak memahami kewajipan seorang isteri selain dari melahirkan anak dan mentaati suami. Walhal di sebalik ketaatan terhadap suami itu, termasuklah melakukan semua kerja-kerja di rumah apabila diminta oleh suami. Nafkah wajib yang diberikan kepada isteri itu juga sebagai imbal balas kepada isteri yang taat kepada suaminya. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَلَهُنَّ مِثْلُ ٱلَّذِى عَلَيْهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌۭ ۗ

Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syara‘), dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).”

(Surah al-Baqarah: 228)

Disebutkan dalam Tafsir al-Jalalain (hlm. 49): “Isteri-isteri itu mempunyai hak yang wajib ke atas suami di sisi syara‘ dari pergaulan yang baik, tidak memudharatkan dan seumpamanya. Dan lelaki pula dilebihkan darjat atas kewajiban para isteri untuk mentaati mereka sebagai balasan terhadap usaha suami memberi mahar dan nafkah.”

Dalam pada itu, Islam juga tidaklah mewajibkan urusan rumah tangga itu ditanggunggung oleh isteri. Disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (44/19): “Jumhur fuqaha’ dari kalangan al-Syafi‘iyyah, al-Hanabilah dan sebahagian al-Malikiyyah berpendapat bahawa khidmat kepada suami ini tidaklah diwajibkan buat isteri, tetapi sebaik-baiknya si isteri melakukan khidmat tersebut sesuai dengan adat setempat.”

Syeikh Ibn Jibrin pernah ditanya tentang kewajipan wanita memasak untuk suaminya, dan adakah dia berdosa jika tidak melakukannya. Lalu beliau menjawab: “Uruf umat Islam, isteri masih memberikan khidmat sepertimana adat setempat kepada suaminya seperti menyediakan makanan, membasuh baju dan bekas, membersihkan bilik-bilik dan selainnya. Semuanya mengikut kesesuaian si suami, dan inilah adat yang masih diamalkan sejak zaman Nabi sehingga kini tanpa ada yang mengingkarinya. Akan tetapi, tidak boleh mewajibkan isteri dengan kerja-kerja yang membebankan serta menyusahkan mereka, sebaliknya kerja itu bergantung kepada kemampuan dan adat setempat.” (Lihat Fatawa al-Ulama’ fi ‘Isyrah al-Nisa’, hlm. 20)

suami juga perlu cakna akan keadaan isteri, terutamanya jika isteri tersebut turut bekerja, mereka juga penat mencari rezeki atas dasar ehsan untuk sama-sama membantu suami dalam menguruskan rumah tangga. Maka suami sebaiknya turut menunjukkan belas ehsan kepada mereka dengan turut bersama melakukan kerja-kerja di rumah bagi memudahkan lagi urusan isteri.

Beginilah hakikat sebenar keindahan alam perkahwinan yang disebutkan oleh Islam. Allah SWT berfirman:

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan antara bukti kekuasaan-Nya juga ialah, Dia menciptakan isteri-isteri untuk kamu, daripada golongan kamu sendiri agar kamu merasai ketenangan bersamanya. Dia juga menjadikan antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sungguh, pada penciptaan ini ada bukti-bukti kebesaran Allah bagi orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Ibn Kathir menyebutkan, antara kesempurnaan rahmat Allah SWT buat anak keturunan Adam A.S dengan menciptakan buat mereka pasangan dari spesies yang sama, dan mewujudkan di antara mereka mawaddah yakni kecintaan, dan juga rahmat yakni belas kasihan. Maka seseorang lelaki itu akan kekal bersama seorang wanita, sama ada kerana kecintaan kepadanya, atau perasaan belas kasihan terhadapnya yang telah melahirkan anak, atau dia memerlukan nafkah, atau keintiman yang terjalin di antara mereka, atau selainnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/278)

Allah SWT juga memerintahkan para suami untuk melayan isteri dengan cara yang baik, sebagaimana dalam firman-Nya:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang ma‘ruf.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut. Kalimah mu‘asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, urusan kerja-kerja rumah telah sekian lama menjadi adat sejak zaman awal Islam sehingga ke datuk nenek kita, dan dengan itu juga wujud istilah ‘suri rumah’ atau rabbah al-bait (رَبَّةُ البَيْتِ). Sebahagian ulama’ berpandangan bahawa urusan kerja rumah dituntut kepada isteri, sebagaimana yang dipegang oleh fuqaha’ al-Syafi‘iyyah, tanpa pernah menjadikannya asbab diwajibkan ke atas suami untuk membayar upah atas setiap kerja tersebut.

Kami mengambil kesempatan ini untuk memberikan nasihat buat para asatizah agar berusaha mengharmonikan masyarakat dalam isu asas ini. Jadikanlah Rasulullah SAW dan para sahabatnya sebagai tauladan terbaik dalam isu keharmonian rumah tangga. Rumah tangga ibarat sebuah bahtera, ia tidak mampu bergerak dengan hanya bergantung harap pada seorang pengemudi sahaja, bahkan ia perlu kepada mereka yang turut sama menaikkan layar dan melihat arah perjalanan. Renunglah hadith daripada ‘Ali R.A, beliau menceritakan tentang isterinya Fatimah R.Anha yang mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai kelelahannya melakukan urusan rumah tangga dalam menyediakan makanan. ‘Ali R.A dan Fatimah R.Anha ingin meminta seorang hamba dari kalangan tawanan perang, lalu Baginda SAW bersabda:

أَلَا أَدُلُّكُمَا عَلَى خَيْرٍ مِمَّا سَأَلْتُمَا؟ إِذَا أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا – أَوْ أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا – فَسَبِّحَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَاحْمَدَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَكَبِّرَا أَرْبَعًا وَثَلاَثِينَ، فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ

Maksudnya: “Mahukah kamu berdua aku tunjukkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu berdua minta? Apabila kamu berdua sudah siap berbaring di tempat tidur – atau kamu berdua hendak mendatangi tilam (tempat tidur) kamu berdua – maka  bertasbihlah (iaitu bacaan “سبحان الله”) sebanyak 33 kali, bertahmidlah (iaitu bacaan “الحمد لله”) sebanyak 33 kali, dan bertakbirlah (iaitu bacaan “الله أكبر”) sebanyak 34 kali. Sesungguhnya itu adalah lebih baik bagi kamu berdua daripada seorang pembantu.”

Perkahwinan ini merupakan satu ikatan yang disertai dengan hak dan tanggungjawab, maka berusahalah untuk mempermudahkan pasangan kita agar rumah tangga yang dibina menjadi lebih harmoni.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam.