#5771: Nama-Nama Bagi Surah al-Kafirun

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat nama-nama lain bagi Surah al-Kafirun?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah R.A berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ فِي رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ: ﴿قُلْ يا أَيُّها الْكافِرُونَ﴾، وَ﴿قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca dalam dua rakaat solat Subuh: (قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ) dan (قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ).”

Riwayat Muslim (726)

Secara ijtihadi pula, surah ini turut dinamakan dengan beberapa nama seperti berikut:

  • Surah al-Muqasyqisyah (المُقَشْقِشَةُ)

Maksud asal al-Muqashqishah ialah bebas daripada penyakit. Dalam konteks surah ini, ia bermaksud bebas daripada penyakit nifaq dan syirik.

  • Surah al-Ikhlas (الإِخْلَاصُ)

Dinamakan dengan Surah al-Ikhlas kerana terhasil daripada penghayatan terhadap surah ini keikhlasan dalam ibadat dan agama. Mustahil akan berlaku nifaq kepada sesiapa yang beriktikad dan beramal seikhlas hati dengannya.

  • Surah al-‘Ibadah (العِبَادَةُ)

Surah ini dinamakan dengan Surah al-Ibadah kerana terdapat dalamnya perintah daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW supaya mengisytiharkan kepada para musyrikin bahawa Baginda sekali-kali tidak menyembah apa yang mereka sembah, iaitu patung dan berhala.

  • Surah al-Munabazah (المُنَابَذَةُ)

Asal makna al-Munabazah ialah membuang sesuatu. Walau bagaimanapun ahli tafsir tidak menyebut sebab ianya dinamakan dengan nama ini.  Dalam konteks ini, kemungkinan ianya  merujuk kepada perintah supaya menolak atau membuang kekufuran seperti yang terkandung di dalamnya.

  • Surah al-Din (الدِّينُ)

Dinamakan dengan Surah al-Din kerana terdapat di dalamnya firman Allah SWT:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”