#5780: Ciri-Ciri Wanita yang Terbaik

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan ciri-ciri wanita terbaik, yang selayaknya menjadi pilihan lelaki?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wanita adalah sebahagian keindahan dunia yang diciptakan Allah SWT. Namun, wanita jualah yang boleh menjadi penyebab kepada kerosakan dan kemusnahan di dunia ini. Allah SWT menjadikan wanita sebagai perhiasan dunia dan untuk dijadikan pasangan buat kaum Adam. Tatkala Nabi Adam A.S memohon kepada Allah SWT agar menciptakan seorang teman untuknya berbicara, bergurau senda dan membina sahsiah dirinya, maka terciptalah Hawa A.S daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam A.S. Apa yang diidamkan oleh kaum lelaki dalam membina keluarga bahagia ialah wanita solehah yang berperanan sebagai penyejuk mata, penenang hati dan penajam fikiran untuk para suami berbakti di jalan Allah SWT.

Wanita solehah ialah isteri yang taat kepada Allah SWT dan rasul-Nya, sekaligus membawa rumah tangga menuju ketenteraman dan syurga. Rumah tangga yang tenteram, nyaman dan bahagia adalah kurniaan yang paling berharga dalam kehidupan dunia. Rumah tangga yang dipimpin oleh suami yang soleh didampingi pula isteri yang solehah akan menjadikan rumah tangga itu dipenuhi keberkatan, melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, serta mendapat keredhaan dan rahmat Allah SWT. Ia adalah sebaik-baik perhiasan dunia sebagaimana hadis daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Imam al-Qurthubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Abi Uzainah al-Sadafi, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ نِسَائِكُمُ الْوَدُودُ الْوَلُودُ الْمُوَاتِيَةُ الْمُوَاسِيَةُ، إِذَا اتَّقَيْنَ اللهَ

Maksudnya: “Sebaik-baik wanita di antara kamu adalah yang sangat kasih (cinta) kepada suami, yang memiliki banyak anak, tidak kasar, membantu suami dalam kebaikan, sekiranya mereka bertakwa kepada Allah.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (13478). Dinyatakan sebagai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (1849) dan Sahih al-Jami’ (3330)

Dalam hadith di atas, Nabi SAW menerangkan beberapa ciri-ciri terbaik bagi seorang wanita, iaitu:

Pertama: Sangat Mencintai Suami

Suami sudah tentu yang paling berhak mendapat kasih sayang dari seorang wanita (isterinya). Seorang wanita solehah pasti akan berusaha sebaik mungkin untuk menunjukkan cinta dan kasih sayangnya, sama ada dalam bentuk kata-kata yang lembut, sikap yang baik, ketika berinteraksi dengan suaminya. Oleh itu, cinta dan kasih sayang ini akan terpancar dalam ucapan (kata-kata), penampilan, sikap dan perbuatan, dan juga akhlak ketika berinteraksi dengan suaminya.

Kedua: Subur dan Memiliki Ramai Anak

Ini juga termasuk dalam ciri-ciri wanita yang terbaik. Walaupun begitu, jika seorang wanita mengalami penyakit yang menyebabkan dia sukar (atau bahkan tidak boleh) memiliki anak, hal itu bukanlah kekurangan atau celaan (aib) baginya. Kerana hal itu bukanlah perkara yang dia inginkan atau dia usahakan. Allah SWT tentu tidak akan menghukumnya, dan tidaklah mengurangkan kesolehannya.

Namun, jika pada asalnya dia adalah seorang wanita yang subur (tidak memiliki penyakit tertentu yang memberi kesan sehingga tidak dapat memiliki anak), tetapi dia tidak mahu memiliki anak dan tidak mahu berusaha memiliki anak, atau bahkan dia menempuh jalan agar tidak memiliki anak sama sekali, inilah sifat (ciri-ciri) yang tercela.

Hal ini kerana hadith Nabi SAW: daripada Ma’qil bin Yasar R.A, katanya: Seseorang telah mendatangi Rasulullah SAW dan berkata:

تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ

Maksudnya: “Kahwinilah kamu akan perempuan yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.”

Riwayat Abu Dawud (2050) dan al-Nasa’i (3227). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan sanad hadith ini qawiy dan dinilai sahih berdasarkan kitab Adab al-Zifaf (hlm. 132)

Syeikh Zakariyya al-Ansari berkata: “Penyayang serta kesuburan seorang perempuan dapat diketahui dengan melihat saudara dan kerabatnya yang senasab. (Lihat Asna al-Matalib, 3/197)

Oleh itu, seorang wanita perlu berusaha untuk memiliki keturunan, mencurahkan segala usaha untuk merealisasikan hal tersebut. Semoga hal itu menjadi sebab terwujudnya generasi keturunan yang soleh dan terwujudnya para da’i yang mendakwahkan kebaikan. Semoga Allah SWT memuliakan para wanita kerana mereka adalah sebab terwujudnya generasi yang soleh dan solehah.

Ketiga: Tidak Kasar

Dia memiliki ciri-ciri yang tidak kasar dan keras. Sebaliknya, dia bersikap patuh, mendengar, dan sentiasa memberi respon kepada suaminya dengan respon yang baik. Juga tidak bersikap sombong dan tinggi diri di hadapan suami sehingga tidak mahu menunaikan hak suami.

Dalam sebuah hadith, yang menceritakan dahsyatnya dosa tidak mentaati suami sehingga menyebabkan sembahyangnya tidak diterima oleh Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اثْنَانِ لَا تُجَاوِزُ صَلَاتُهُمَا رُؤُوسَهُمَا؛ عَبْدٌ أَبَقَ مِنْ مَوَالِيهِ حَتَّى يَرْجِعَ، وَامْرَأَةٌ عَصَتْ زَوْجَهَا حَتَّى تَرْجِعَ

Maksudnya: “Ada 2 orang yang sembahyangnya itu tidak diangkat melebihi kepalanya walaupun hanya sejengkal (tidak diterima); seorang hamba yang melarikan diri sehingga dia kembali (kepada tuannya), seorang perempuan yang mengingkari suaminya sehinggalah dia kembali (taat kepada suaminya).”

Riwayat al-Tabarani (3628) dan al-Hakim (7330)

Al-Munawi mengatakan, mengingkari yang dimaksudkan adalah berbuat nusyuz atau selainnya, pada perkara yang asalnya wajib ditaati, nescaya solatnya tidak akan diangkat sepertimana yang disebutkan di dalam hadith. (Lihat Faidh al-Qadir, 1/150)

Sekiranya si isteri menyakiti suaminya, sama ada dengan kata-kata atau secara fizikal, maka ia pastinya jauh lebih teruk berbanding tidak mentaati suami. Mereka yang melakukan hal yang demikian akan menerima sumpahan daripada bidadari-bidadari Syurga sebagai isyarat bahawa perbuatan tersebut merupakan perbuatan yang tercela. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Mu‘az bin Jabal R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُؤْذِي امْرَأَةٌ زَوْجَهَا فِي الدُّنْيَا إِلَّا قَالَتْ زَوْجَتُهُ مِنَ الْحُورِ الْعِينِ: لَا تُؤْذِيهِ قَاتَلَكِ اللهُ؛ فَإِنَّمَا هُوَ عِنْدَكِ دَخِيلٌ يُوشِكُ أَنْ يُفَارِقَكِ إِلَيْنَا

Maksudnya: “Tidaklah seorang isteri itu menyakiti suaminya di dunia, melainkan isterinya dari kalangan bidadari Syurga berkata: ‘Janganlah kamu sakitinya, Allah akan melaknat kamu. Suamimu hanya tetamu kamu, tidak lama lagi dia akan meninggalkan kamu dan datang kepada kami’.”

Riwayat Ahmad (22101), al-Tirmizi (1174), Ibn Majah (2014) dan al-Tabarani (224)

Al-Mubarakfuri menyebutkan, yang dimaksudkan dengan (قَاتَلَكِ اللهُ) adalah semoga Allah mematikanmu, atau melaknatmu, atau memusuhimu. Bidadari Syurga mengatakan kepada perempuan yang menyakiti suaminya itu: “Engkau bukanlah isterinya secara hakikat pun, bahkan dia akan berpisah denganmu dan bersama dengan kami (bidadari).” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/284)

Akan tetapi, tidaklah yang dimaksudkan dengan hadith ini bahawa si isteri itu perlu sentiasa tunduk walaupun hak-hak ke atasnya diabaikan dan dia dizalimi. Ibn ‘Allan berkata, syaratnya adalah tidak terdapat sebarang keharusan syara‘ ketika perempuan itu menyakiti suaminya. Sekiranya dia meminta hak-haknya seperti nafkah sehingga mungkin membuatkan suaminya tersakiti dengan perkataannya, maka si isteri itu tidaklah termasuk dalam mereka yang dimaksudkan dalam hadith ini. (Lihat Dalil al-Falihin, 3/114)

Keempat: Membantu Suami dalam Kebaikan

Dia berusaha membantu dan menyokong suami dalam kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Itulah sumber kebahagiaan seorang wanita.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيْلَ لَهَا أُدْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya: “Jika wanita mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, mentaati suaminya, maka dikatakan kepadanya (pada hari Kiamat): ‘Masuklah ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang kamu mahu.”

Riwayat Ahmad (1664), Ibn Hibban (1296) dan al-Bazzar (7480). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan hadis ini sahih dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (4163)

Kelima: Bertakwa kepada Allah

Sifat-sifat mulia tersebut hanya akan bermanfaat untuk seorang wanita jika mereka bertakwa kepada Allah SWT, mengharapkan redha dan pahala dari Allah SWT, bukan kerana motivasi-motivasi yang lainnya. Jika motivasinya bukan kerana takwa kepada Allah SWT, semuanya itu tentu tidak akan bermanfaat baginya.

Cukuplah sebuah hadith Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”

Riwayat al-Bukhari (5090) dan Muslim (1466)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadith di atas menerangkan kepada kita bahawa kebiasaan adat seseorang apabila ingin menikahi wanita, terdapat empat perkara yang menjadi kayu pengukur. Rasulullah SAW menyuruh agar dilihat pada agamanya kerana ianya menguntungkan seseorang di dunia dan akhirat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/51-52)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”