#5781: Membundarkan Harga Jualan Asal Kepada Nilai Yang Terdekat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum membundarkan harga jualan ke nilai perpuluhan terdekat? Sebagai contoh jika saya menjual buah buahan dengan harga timbangan RM1.97 boleh kah saya mengambil bayaran sebanyak RM2 ?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah : 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya).(Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Hadith ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli.(Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Justeru, secara asasnya, setiap individu Muslim diharamkan daripada mengambil dan menggunakan harta orang lain tanpa kebenaran pemiliknya.

Dalam menjawab persoalan di atas kami katakan penjual hendaklah jujur dalam melakukan akad jual beli kerana ia melibatkan hak-hak sesama manusia. Ini kerana Allah SWT dengan tegas melarang  dari memakan harta orang lain secara batil. Dalam situasi ini kami katakan penjual tidak boleh membundarkan angka  tersebut kepada angka harga jualan yang lebih tinggi walaupun ianya sedikit  kerana harga asal adalah mengikut timbangan yang telah ditetapkan dan dipersetujui antara penjual dan pembeli.

Yang demikian sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin Yathribi al-Dhamri, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَلَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ مِنْ مَالِ أَخِيهِ إِلَّا مَا طَابَتْ بِهِ نَفْسُهُ

Maksudnya: “Tidak halal harta seseorang saudaranya melainkan dengan keizinan daripada pemiliknya sendiri.”

Riwayat Ahmad (15488). Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan isnadnya jayyid dalam al-Dirayah (2/201)

Selain itu, terdapat satu kaedah sepertimana disebut oleh Syeikh Mustafa al-Zarqa’:

 لَا يَجُوزُ لِأَحَدٍ أَنْ يَتَصَرَّفَ فِي مِلْكِ الْغَيْرِ بِلَا إذْنِهِ

Maksudnya: “Tidak boleh bagi seseorang itu menggunakan harta orang lain dengan tanpa izin.” (Lihat Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 461; Lihat juga al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh Muhammad Mustafa al-Zuhaili, 1/551)

Namun keharusan dalam perkara ini adalah bergantung kepada uruf setempat iaitu jika keadaan harga-harga tersebut ditetapkan dan nilai yang kecil ini dibiarkan kepada penjual atau pembeli seperti yang telah menjadi adat kebiasaan dan ia disepakati oleh orang ramai, maka tidak ada masalah dalam hal ini. Hal ini berdasarkan kaedah dan hadith seperti riwayat Abu Sa‘id all-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ

Maksudnya: “Hanyasanya jual beli itu apa yang diredhai oleh pembeli dan penjual.”

Riwayat Ibn Hibban (4967); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai kuat.

Jual beli yang harus dan menepati syarak akan memberi kesan dan implikasi iaitu bertukarnya pemilikan dengan syarat berlakunya keredaan antara penjual dan pembeli. Ianya akan dikira sebagai muktabar. (Lihat Masabih al-Tanwir ‘ala Sahih al-Jami’ al-Saghir, 1/425)

Oleh yang demikian, sekiranya pembeli tidak mengizinkan , maka adalah menjadi suatu kewajipan untuk tidak mengambil sebarang lebihan cas, walaupun ia hanya sedikit. Harta dan hak-hak manusia tidak boleh dipandang enteng, melainkan jika mereka merelakannya dengan ikhlas.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam.