#5782: Mendahulukan Kewajiban Haji Berbanding Walimah Anak Perempuan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya telah mendapat tawaran untuk menunaikan ibadah haji, tetapi dalam masa yang sama saya perlu melaksanakan urusan pernikahan anak perempuan saya yang memerlukan kos perbelanjaan. Manakah yang perlu saya dahulukan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Melihat kepada persoalan yang diajukan saudara, terdapat dua perkara utama yang perlu diteliti dan difahami dengan baik:

  • Tuntutan menunaikan haji Islam sekali seumur hidup.
  • Tuntutan mengadakan majlis walimah perkahwinan.

Pertamanya, tuntutan menunaikan haji Islam sekali seumur hidup adalah tuntutan yang bersifat fardhu ‘ain, berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Hal ini jelas seperti mana firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali ‘Imran: 97)

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Kewajipan ini juga jelas sebagaimana dalam hadith ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba-Nya dan utusan-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

Muhammad al-Amin al-Harari ketika menjelaskan lafaz “وَحَجِّ الْبَيْتِ” menyatakan, tujuannya adalah untuk mengerjakan ibadah khusus, bagi mereka yang mampu untuk menunaikannya. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, 2/132)

Apabila menyebutkan tentang ‘mampu,’ realiti semasa di Malaysia tidak hanya menumpukan ‘kemampuan’ pada sudut kewangan semata-mata, bahkan kemampuan itu juga terkait rapat dengan kuota khusus jemaah haji yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi memastikan kelancaran ibadah haji pada tahun tersebut. Sekiranya seseorang itu berkemampuan dari segi kewangan dan kekosongan kuota jemaah haji ini, serta tidak mempunyai sebarang halangan untuk melaksanakan ibadah haji tersebut, maka dia telah dianggap berkemampuan dan wajib baginya mengerjakan haji pada tahun tersebut.

Manakala, tuntutan mengadakan majlis walimah perkahwinan pula adalah tuntutan yang bersifat sunat muakkad menurut jumhur fuqaha’ empat mazhab. (Lihat Rad al-Muhtar, 6/347; al-Syarh al-Kabir, 2/337; Raudhah al-Talibin, 7/333; Matalib Uli al-Nuha, 5/232)

Mereka berhujjah dengan hadith Anas bin Malik R.A, ketika ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin, lalu Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

‏ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ

Maksudnya: “Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing.”

Riwayat Muslim (1427)

Imam al-Nawawi berkata, ini merupakan dalil bahawa disunatkan bagi mereka yang berkemampuan untuk mengadakan walimah tidak kurang dari nilai seekor kambing. Dan dinukilkan dari al-Qadhi ‘Iyadh persepakatan ulama’ bahawa tidak ditetapkan kadar had yang khusus untuk walimah, bahkan dengan apa jua makanan juga boleh dijadikan untuk walimah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/218)

Ibn Hajar al-‘Asqalani pula menyebutkan di dalam Fath al-Bari (9/235): “Walimah tersebut disunatkan berdasarkan kepada kemampuan suami.” Perintah Rasulullah SAW untuk mengadakan walimah perkahwinan ini ditujukan kepada si suami, iaitu ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A. Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin mengatakan, antara sebab ia dituntut ke atas pihak lelaki kerana nikmat perkahwinan itu lebih besar dikecapi oleh lelaki berbanding perempuan, bahkan lelaki lebih cenderung untuk mula meminang perempuan untuk dijadikan pasangan hidupnya, dan sangat jarang untuk perempuan meminang lelaki terlebih dahulu. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 12/321)

Adapun adat di Malaysia, masyarakat kita telah terbiasa dengan budaya mengadakan walimah perkahwinan dari kedua-dua belah pihak lelaki serta perempuan. Sekiranya berkemampuan, maka perkara ini tidak menjadi masalah, bahkan digalakkan kerana dapat menggalakkan budaya bersedekah di samping mengeratkan hubungan silaturrahim serta saling mengenali sesama sanak saudara.

Mengerjakan Haji atau Mengadakan Walimah?

Selepas melihat dan menilai kedua-dua tuntutan yang kami bincangkan di atas, perintah wajib hendaklah didahulukan berbanding perintah sunat; kerana ‘wajib’ merupakan suatu tuntutan yang jazim atau mesti dilakukan, berbeza dengan sunat yang merupakan suatu tuntutan tidak jazim. Ulama’ Usul al-Fiqh mendefinisikan ‘wajib’ sebagai suatu perkara yang diganjarkan pahala kepada pelakunya dan dituliskan dosa bagi orang yang meninggalkannya, manakala ‘sunat’ sebagai suatu perkara diganjarkan pahala kepada pelakunya tetapi tidak dituliskan dosa bagi orang yang meninggalkannya. (Lihat Syarh al-Waraqat oleh Ibn Firkah, hlm. 15-18)

Kesimpulan

Kami katakan, haji perlu didahulukan berbanding walimah perkahwinan tersebut, atas sebab-sebab yang berikut:

  • Peluang mengerjakan haji semakin terhad dari semasa ke semasa, dan dikhuatiri peluang yang dilepaskan ini tidak dapat diperoleh lagi pada tahun akan datang.
  • Hukum mengerjakan haji adalah wajib, manakala walimah pula adalah sunat.
  • Tuntutan mengadakan walimah perkahwinan ini ke atas si suami, sepertimana yang jelas dalam nas syara‘.

Sekiranya saudara tetap hendak melaksanakan walimah perkahwinan tersebut, belanjakanlah sesederhana yang mungkin agar ia tidak menjadi bebanan serta penghalang untuk saudara menyahut seruan haji tersebut. Semoga Allah SWT meredhai usaha saudara untuk membantu anak perempuan saudara, dan menganjarkan kepada saudara haji yang mabrur, dengan izin-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Wallahu a‘lam.