Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum kita makan makanan yang telah dijilat oleh kucing peliharaan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu secara ringkas definisi kucing. Kucing ialah sejenis binatang yang kecil, berbulu lembut dan tebal, dipelihara sebagai binatang kesayangan, biasanya untuk menangkap tikus.[1] Di dalam Ensiklopedia Dunia dinyatakan bahawa kucing ialah haiwan kesayangan kegemaran manusia di seluruh dunia. Kucing adalah pintar dan mempunyai sifat berdikari. Haiwan kecil ini juga suka bermain-main dan menghiburkan. Banyak kucing dijadikan haiwan kesayangan yang penyayang, setia, dan menjadi teman bagi manusia semua peringkat umur. Perkataan kucing juga merujuk kepada famili haiwan pemakan daging yang termasuk harimau, singa, harimau bintang dan harimau kumbang. Famili ini juga termasuk kucing bela jinak — iaitu kucing yang dibela sebagai haiwan kesayangan.
Kucing berbeza-beza wataknya dan ciri fizikal tertentu, seperti panjang dan warna bulunya. Terdapat banyak baka kucing. Ciri khas membezakan setiap baka daripada baka yang lain. Antara baka kegemaran ialah kucing Siam, kucing Burma dan kucing Parsi. Tiada siapa yang tahu dengan tepat bila kucing mula dijinakkan. Tetapi sesetengah autoriti percaya bahawa kucing dijinakkan lebih kurang 5000 tahun dahulu. Sepanjang sejarah, manusia menghargai kucing kerana kemahirannya memburu dan membunuh mencit, tikus dan ular. Kucing membantu menjadikan ladang, rumah, dan tempat perniagaan bebas daripada haiwan perosak ini. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 11/520-521)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa mazhab kami (mazhab Syafi‘i) berpendapat, lebihan minuman atau makanan kucing adalah suci dan tidak makruh. Demikianlah juga lebihan makanan dan minuman seluruh haiwan seperti kuda, baghal, keldai, haiwan buas, tikus, ular dan cicak. Begitu juga seluruh haiwan yang halal dimakan dagingnya mahupun yang tidak halal dimakan dagingnya, lebihan makanannya dan juga minumannya serta peluhnya adalah suci dan tidak makruh, kecuali anjing dan babi serta haiwan yang lahir daripada kedua-duanya. Pengarang al-Hawi menukilkan seperti mana pendapat mazhab kami daripada Umar bin al-Khattab, Ali, Abu Hurairah, al-Hasan al-Basri, ‘Ata’ dan al-Qasim bin Muhammad.
Manakala Imam Abu Hanifah dan Ibn Abi Laila berpendapat, makruh lebihan makanan dan minuman kucing. Demikian juga Ibn Umar berpendapat ia adalah makruh. Ibn al-Musayyib dan Ibn Sirin berpendapat, dibasuh bekas yang terdapat padanya air liur kucing sebanyak sekali, manakala Tawus pula berpendapat dibasuh sebanyak tujuh kali. Sedangkan jumhur ulama berpendapat, ia tidak makruh sebagaimana pendapat mazhab kami.
Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa haiwan itu terbahagi kepada empat jenis, iaitu:
Jenis pertama, haiwan yang dimakan dagingnya seperti lembu dan kambing, maka lebihan makanan dan minumannya adalah suci.
Jenis kedua, binatang buas seperti singa dan serigala, maka lebihan makanan dan minumannya adalah najis.
Jenis ketiga, burung pemburu seperti helang dan falkon, maka lebihan makanan dan minumannya adalah suci melainkan dihukumkan sebagai makruh untuk menggunakannya, begitu juga dengan kucing (makruh hukumnya).
Jenis keempat, baghal dan keldai yang diragukan pada lebihan makanan dan minumannya. Maka tidak boleh dihukumkan secara pasti akan kesuciannya mahupun kenajisannya, serta tidak boleh berwuduk dengan lebihan air minumannya. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/172-173).
Begitu juga dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (24/104-105), setelah dibawakan pendapat ulama mazhab Syafi‘i, dinyatakan pula bahawa sekiranya salah satu daripada haiwan-haiwan ini (selain babi dan anjing serta haiwan yang lahir daripada kedua-duanya) menjilat suatu makanan, maka harus untuk kita memakan makanan itu tanpa makruh, begitu juga jika ia meminum air, maka harus digunakan air itu untuk berwuduk tanpa dihukumkan sebagai makruh. Di antara hujah ulama yang mengharuskannya adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
(Surah al-Hajj: 78)
Hal ini kerana menghukumkan sebagai najis lebihan makanan dan minuman haiwan-haiwan itu terdapat suatu keberatan dan kepayahan, serta sukar untuk menjaga atau mengawasi daripada sebahagiannya seperti kucing dan haiwan seumpamanya yang berada di sekitar rumah-rumah.
Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada meriwayatkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.” Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”
Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68) dan Ibn Majah (367)
Kemudian Imam al-Tirmizi menyatakan selepas menyebutkan hadith di atas bahawa hadith ini adalah hasan sahih. Ini adalah pendapat kebanyakan ulama daripada kalangan sahabat Nabi, tabi‘in dan ulama selepas mereka seperti Imam al-Syafi‘i, Ahmad dan Ishaq yang berpendapat sisa minuman kucing tidak mengapa.
Al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa Allah SWT telah memberi keringanan kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum). (Lihat Subul al-Salam, 1/33).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seseorang itu memakan makanan yang telah dijilat oleh kucing kerana air liur kucing dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Tambahan lagi, menghukumkan sebagai najis lebihan makanan dan minuman haiwan-haiwan peliharaan yang berada di sekitar rumah, bahkan di dalam rumah seperti kucing terdapat suatu keberatan dan kepayahan, serta sukar untuk menjaga atau mengawasi daripada sebahagiannya.
Selain itu, bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat dan penjelasan tambahan, bolehlah membaca artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #2684: Sisa Minuman Kucing Selepas Ia Makan Bangkai.[2]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota kaki:
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kucing. Diakses pada 30 Disember 2021.
[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/2684-sisa-minuman-kucing-selepas-ia-makan-bangkai/. Diakses pada 23 April 2024.