Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah kesan buruk hutang kepada seseorang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Tidak syak lagi bahawa hutang membawa sengsara kepada kehidupan kita. Maka diantara bahana hutang adalah seperti berikut:
- Tidak diampunkan dosa sekalipun mati syahid.
Daripada Abdullah Bin Amru bahawa Nabi SAW bersabda:
الْقَتْلُ فِي سَبِيلِ اللهِ يُكَفِّرُ كُلَّ شَيْءٍ إِلَّا الدَّيْنَ
Maksudnya: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).”
Riwayat Muslim (1882)
Imam al-Nawawi berkata: Sabda Nabi SAW ‘إِلَّا الدَّيْنَ’ (kecuali hutang), di dalamnya terdapat peringatan terhadap semua hak Bani Adam. Bahawa jihad dan mati syahid dan selain dari dua amalan kebaikan tidak dapat menghapus hak Bani Adam. Akan tetapi dapat menghapuskan hak Allah SWT.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 13/209)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Adapun hadith yang lain yang sahih, bahawa orang mati syahid itu diampunkan seluruh dosanya kecuali hutang. Dapat diambil pelajaran bahawa mati syahid itu tidak dapat menghapuskan hak orang. Sedangkan adanya hak orang pada dirinya, tidak menghalangnya memperoleh darjat syahid. Tidak ada makna syahadah melainkan bahawa Allah memberikan kepada orang yang mendapat syahadah dengan pahala khusus. Dimuliakan dengan kemuliaan yang lebih.
Sesungguhnya di dalam hadith telah dijelaskan bahawa Allah mengampunkan (semua dosa) kecuali yang ada bersangkut (dengan hak manusia). Jika orang yang mati syahid itu mempunyai amalan-amalan soleh, dan syahadah dapat menghapuskan keburukan selain daripada yang bersangkut dengan hak, maka amalan-amalan soleh akan bermanfaat dalam timbangan (untuk menghapuskan) yang bersangkut dengan hak itu. Sehingga akhirnya darjat syahadah akan tetap (diperoleh) dengan sempurna. Jika tidak mempunyai amalan soleh, maka hal itu tergantung (pada keputusan Allah). Wallahu a’lam. (Lihat Fath al-Bari, 10/193)
- Hutang akan menjadikan seseorang itu penipu dan ingkar pada janji.
Daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَ سَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَلَاةِ : اللهمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَاْثَمِ وَ المَغْرَمِ. فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ: مَا أَكْثَرَ تَسْتَعِيذُ مِنَ المَغْرَمِ. فَقَالَ: إِنَّ الرَجُلُ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ.
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW berdoa selepas daripada menunaikan solat, “Ya Allah SWT, aku berlindung kepada-Mu dari berbuat dosa dan banyak hutang. Lalu ada yang bertanya kepada Rasulullah SAW, “Kenapakah engkau selalu meminta perlindungan dalam masalah hutang?” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Jika orang yang berhutang berkata-kata, dia akan selalu berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari.”
Riwayat al-Bukhari (2397)
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Muhallab berkata: Daripada hadith ini dapat disimpulkan tentang sadd al-zara’i’ (menutup pintu menuju kerosakan), kerana Baginda berlindung daripada hutang, di mana pada umumnya hutang dapat menjurus kepada sikap dusta dan tidak menepati janji, sedangkan pemilik hutang memiliki hak untuk menagihnya.
Ada juga kemungkinan maksud berlindung dari hutang adalah berlindung dari faktor-faktor yang menyebabkan seseorang perlu berhutang sehingga tidak terjerumus dalam perbuatan buruk tersebut, atau tidak mampu membayarnya sehingga memberi kesan buruk baginya.
Ibn al-Manayyar berkata: Tidak ada pertentangan antara memohon perlindungan daripada hutang dengan bolehnya berhutang, kerana yang dimohon perlindungan adalah akibat buruk daripada hutang itu. Sesiapa yang berhutang dan selamat daripada akibat buruk yang ditimbulkannya, maka Allah telah menyelamatkannya daripada keburukan itu, dan dia dapat melakukan perbuatan yang dibolehkan.” (Lihat Fath al-Bari, 13/375)
- Roh akan tergantung.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
نَفْسُ الْمُؤمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya: “Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).”
Riwayat Ibn Majah (2413), al-Tirmizi (1079), Ahmad (9677) dan al-Baihaqi (6891). Hadith ini dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah (1079)
Imam al-Suyuti berkata: “Maksud hadis ini bahawa jiwa atau roh orang yang beriman akan terhalang dari kedudukannya yang mulia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/193)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.”