#5804: Makan Ketam Nipah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah ketam nipah halal dimakan dan bagaimana pula telurnya? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu definisi ketam nipah secara ringkas. Scylla serrata (sering dipanggil ketam lumpur atau ketam nipah, walaupun kedua-dua istilah sangat samar-samar, dan ketam hitam) ialah spesies ketam yang penting dari segi ekologi yang ditemui di muara dan hutan bakau di Afrika, Australia, dan Asia. Dalam bentuk yang paling biasa, warna cangkerangnya berbeza-beza daripada hijau dalam, berbintik-bintik kepada coklat sangat gelap.

granchio Scylla serrata
Gambar: https://www.seaworld-distribution.com/en/shellfish/crabs/crab-scylla-serrata-madagascar/

Julat semula jadi S. serrata adalah di Indo-Pasifik. Ia ditemui dari Afrika Selatan, di sekitar pantai Lautan Hindi, di mana ia banyak terdapat di Sri Lanka, ke Kepulauan Asia Tenggara, serta dari selatan Jepun ke tenggara Australia, utara New Zealand, dan sejauh timur seperti Fiji dan Samoa. Spesies ini juga telah diperkenalkan ke Hawaii dan Florida. Di Hawaii, ketam lumpur dikenali sebagai ketam Samoa, kerana ia asalnya diimport dari Samoa Amerika. Memandangkan ketam ini terkenal dengan saiznya yang tegap dan kandungan daging yang padat, ia sangat dicari.

Satu kajian ke atas dataran pasang surut di Deception Bay di Queensland mendapati anak-anak ketam (20–99 mm atau 0.8–3.9 dalam lebar karapas) tinggal di zon bakau, kekal di sana semasa air surut, manakala sub-dewasa (100–149 mm atau 3.9–5.9). dalam) berhijrah ke zon intertidal untuk diberi makan pada air pasang dan berundur ke perairan surut semasa air surut. Ketam dewasa (150 mm atau 5.9 inci dan lebih besar) ditangkap terutamanya di bawah tanda air surut, dengan jumlah tangkapan yang kecil  di zon intertidal ketika air pasang.

Ketam ini bersifat sangat kanibal; apabila ketam ini sedang mengalami proses penyalinan kulit (molting), ketam lain yang bercangkerang keras kadang-kadang menyerang ketam yang sedang mengalami proses penyalinan kulit dan memakannya. Ketam nipah betina boleh melahirkan sejuta anak, yang boleh membesar sehingga 3.5 kg (7.7 lb) dalam saiz dan mempunyai lebar cangkerang sehingga 24 cm (9.4 in) lebar.[1]

Pertamanya, kami katakan bahawa ia tidak jauh bezanya dengan jawapan kami sebelum ini berkenaan hukum makan ketam-ketam yang lain. Lebih-lebih lagi, ketam nipah termasuk dalam kategori haiwan atau hidupan air iaitu haiwan yang tidak dapat hidup melainkan berada di dalamnya. Apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama — untuk berada di atas darat. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150). Haiwan air kesemuanya adalah halal untuk dimakan tanpa perlu kepada sembelihan melainkan terdapat nas yang menyatakan sebaliknya atau memudaratkan. Firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69); al-Nasa’i (59)

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566).

Tambahan pula Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan bahawa untuk menentukan haiwan tersebut dalam kategori haiwan buruan yang mana, maka lihatlah haiwan itu hidupnya lebih banyak di darat atau di laut. Termasuk juga dalam kategori haiwan yang mengambil hukum haiwan laut ialah haiwan yang tinggal di dalam air perigi, paya, air tawar, air masin, air sedikit, air banyak dan lain-lain. (Lihat al-Umm, 2/130; 2/199).

Hukum Memakan Ketam Nipah (Giant mud crab)

Sekalipun ketam termasuk dalam kategori haiwan air, namun berkenaan keharusan untuk memakannya, para ulama berselisih pendapat. Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa sebahagian ulama berpendapat ketam halal dimakan kerana ia tidak dapat hidup lama di atas darat, akan tetapi yang sahihnya — menurut mazhab Syafi‘i — ia adalah haram untuk dimakan. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/378). Di antara sebab ia diharamkan untuk dimakan kerana ia dianggap kotor dan jijik serta padanya ada mudarat (racun). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/146; Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 4/326; Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/28).

Selain itu, Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa terdapat satu pendapat yang lemah yang menghalalkan katak dan ketam. Begitu juga, al-Baghawi telah menukilkan daripada al-Halimi mengenai kehalalan ketam. Kemudian, Imam al-Nawawi telah menyimpulkan dengan menyatakan bahawa pendapat yang sahih lagi muktamad ialah semua haiwan di laut, bangkainya adalah halal — yakni untuk dimakan — kecuali katak. Lalu dapat difahami apa yang disebutkan oleh ulama-ulama mazhab Syafi‘i atau sebahagian daripada mereka mengenai keharaman penyu, ular dan nasnas adalah yang berada di dalam air selain air laut. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33). Dalam erti kata lain, adanya kebarangkalian bahawa terdapat faktor lain yang mendorong kepada pengharaman tersebut seperti nas yang melarang, memberi mudarat kepada pemakannya atau lain-lain.

Hal ini dapat difahami dengan lebih jelas melalui kenyataan daripada Dr. Muhammad al-Zuhaili yang menyebutkan bahawa katak haram dimakan kerana ada nas yang melarang untuk membunuhnya. Manakala ular dan ketam kerana racunnya serta kedua-duanya dianggap haiwan yang jijik. Selain itu juga diharamkan untuk memakan buaya kerana ia memburu dengan taringnya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548-549).

Dinyatakan di dalam Hayah al-Hayawan al-Kubra (2/28), sebahagian ulama yang menghalalkan ketam seperti mazhab Maliki menyebutkan bahawa diharuskan untuk memakan katak, serangga, ketam dan penyu kerana tidak ada nas yang mengharamkannya daripada dimakan. Adapun mengharamkannya kerana ia dianggap haiwan yang jijik dan kotor mestilah dengan apa yang telah dinaskan oleh syarak. Oleh itu, tidak boleh mengharamkan haiwan itu semata-mata ia dianggap jijik dan kotor oleh jiwa, yang mana tidak ada nas mengenai hal tersebut. Mazhab Hanbali pula berpendapat setiap haiwan yang hidup di darat yang mana berasal daripada hidupan laut, tidak halal dimakan melainkan setelah disembelih seperti burung air, penyu, anjing laut, melainkan hidupan yang tidak mempunyai darah merah seperti ketam sebagaimana pendapat Imam Ahmad. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2799-2800).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa ketam nipah (giant mud crab) halal dimakan sebagaimana ketam-ketam yang lain berdasarkan kepada keumuman nas yang menghalalkan semua hidupan laut selagi mana tiada dalil lain yang menunjukkan kepada pengharamannya dan tidak memudaratkan. Selain itu ‘uruf dan adat setempat di negara kita menunjukkan bahawa ketam ini dimakan dan ia tidak dianggap sebagai haiwan jijik.

Tambahan lagi, apabila kita meneliti pendapat sebahagian ulama yang mengharamkannya, ia diharamkan kerana dua sebab, iaitu kerana memudaratkan (beracun) dan dianggap jijik. Justeru, jika dua sebab ini tiada, maka hukumnya kembali kepada hukum asal iaitu harus. Hal ini adalah sebagaimana kaedah menyebutkan:

إِذَا زَالَتِ العِلَّة زَالَ الحُكُم

Maksudnya: “Apabila hilang ‘illahnya (sebabnya), maka tiadalah hukum tersebut”

Lebih-lebih lagi, perkara ini dikuatkan lagi dengan satu pendapat Ibn Qasim yang menyatakan telah berlaku Umum al-Balwa[2] bahawa danilas (sejenis siput) dimakan di Mesir dan ketam dimakan di Syam. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/147). Begitulah juga keadaannya di Malaysia, negara kita di mana ketam merupakan haiwan yang dimakan oleh masyarakat tempatan dan tidak dianggap sebagai jijik.

Alhamdulillah, mutakhir ini, isu makan ketam bukanlah menjadi pelik, ganjil atau asing, tetapi ia sudah menjadi perkara yang umum oleh kebanyakan manusia. Menariknya, walaupun kita berada di bumi Malaysia tetapi zaman kini, kita juga dapat merasa ketam yang berhampiran dengan lautan Artik dan Antartika. Sebagai contoh, ketam Alaska. Justeru, isu seperti ini sudah diterima pakai oleh kebanyakan masyarakat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Scylla_serrata. Diakses pada 23 April 2024.

[2] Sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku.