#5805: Bersalaman dengan Isteri Kedua Bapa Mentua

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah seorang menantu lelaki boleh bersalaman dengan isteri kedua kepada bapa mentua?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT telah menjelaskan wanita-wanita yang dikategorikan sebagai mahram, sama ada mahram selama-lamanya atau mahram secara sementara. Ini sebagaimana yang jelas disebutkan dalam firman-Nya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا ‎﴿٢٣﴾‏ ۞ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۖ كِتَابَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ ۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ ۚ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, emak-emak saudara kamu di sebelah bapa, emak-emak saudara kamu di sebelah ibu, anak-anak perempuan daripada adik-beradik lelaki dan anak-anak perempuan daripada adik-beradik perempuan dan ibu-ibu kamu yang telah menyusui kamu dan adik-beradik susuan kamu dan ibu kepada isteri kamu dan anak-anak tiri di bawah pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu telah bersetubuh dengan mereka, tetapi jika kamu belum lagi bersetubuh dengan mereka dan kamu telah menceraikan mereka maka tiada sebarang kesalahan kepada kamu untuk menikahi anak-anak tiri tersebut. Diharamkan juga kamu berkahwin dengan bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu dan diharamkan juga untuk kamu menghimpunkan dua beradik sebagai isteri kamu secara serentak kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. (23) Dan diharamkan juga kamu berkahwin dengan perempuan yang bersuami, kecuali hamba perempuan yang kamu miliki melalui tawanan perang. Inilah ketetapan Allah ke atas kamu. Dan dihalalkan kepada kamu perempuan-perempuan selain daripada mereka yang tersebut untuk kamu jadikan isteri dengan menggunakan harta kamu sebagai mas kahwin. Kamu jadikan mereka pasangan kamu dengan bernikah, bukan dengan berzina.”

(Surah al-Nisa’: 23-24)

Ayat di atas menyebutkan beberapa jenis mahram; sama ada mahram disebabkan nasab keturunan, atau disebabkan penyusuan, dan ada yang menjadi mahram disebabkan perkahwinan. Al-Qurtubi menyebut bahawa ayat ini adalah ayat yang muhkam dan ini adalah persepakatan yang tidak boleh disanggahi. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/98)

Bagi lelaki mahramnya yang bersifat al-ta’bid (التَّأْبِيدُ) boleh jadi disebabkan keturunan, perkahwinan,  dan susuan. Antaranya:

  • Ibu dan ke atas, termasuk nenek sama ada sebelah ayah atau ibu.
  • Anak perempuan dan ke bawah, termasuk cucu perempuan.
  • Saudara perempuan iaitu kakak atau adik perempuan.
  • Ibu saudara sebelah ayah dan ibu.
  • Anak perempuan kepada saudara lelaki dan perempuan.
  • Ibu tiri.
  • Menantu perempuan.
  • Bapa mentua.
  • Anak tiri perempuan.
  • Ibu susuan dan ke atas.
  • Adik beradik perempuan susuan.

Dan perempuan yang haram untuk dikahwini secara sementara adalah:

  • Adik beradik ipar, selagi mana masih dalam perkahwinan yang sah dengan kakaknya.
  • Wanita yang masih bersuami.
  • Ibu saudara isteri dari sebelah ayah, selagi mana masih dalam perkahwinan yang sah dengan si isteri.
  • Ibu saudara isteri dari sebelah ibu, selagi mana masih dalam perkahwinan yang sah dengan si isteri.

Ini berdasarkan firman Allah SWT di atas, dan juga hadith Abu Hurairah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يُجْمَعُ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَعَمَّتِهَا وَلاَ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَخَالَتِهَا

Maksudnya: “Tidak boleh untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama) antara seorang perempuan dengan ibu saudaranya (dari sebelah ayah) dan begitu juga dengan ibu saudaranya (dari sebelah ibu).”

Riwayat al-Nasa’ie (3288)

Status Isteri Kedua Bapa Mentua

Berdasarkan kepada dalil-dalil di atas, jelas bahawa isteri kedua kepada bapa mentua tidak termasuk dalam mereka yang haram untuk dikahwini secara al-ta’bid (التَّأْبِيدُ) atau selama-lamanya, sebaliknya dia termasuk dalam kategori perempuan yang haram untuk dikahwini secara sementara sahaja kerana dia masih isteri kepada bapa mentua. Mereka inilah yang disebutkan dalam firman Allah SWT: (وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ النِّسَاءِ) yakni “perempuan yang bersuami.” Sekiranya mereka telah bercerai, maka bekas isteri kedua kepada bapa mentua itu akan termasuk dalam firman-Nya:

وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ

Maksudnya: “Dan dihalalkan kepada kamu perempuan-perempuan selain daripada mereka yang tersebut untuk kamu jadikan isteri dengan menggunakan harta kamu sebagai mas kahwin. Kamu jadikan mereka pasangan kamu dengan bernikah, bukan dengan berzina.”

(Surah al-Nisa’: 24)

Mereka ini halal dikahwini dan tidak boleh bersalaman dengan mereka, kerana kemahraman secara sementara sebelum ini telah hilang, bahkan harus untuk menghimpunkannya (poligami) bersama isteri kita. Imam al-Syafi‘i berkata, sekiranya seorang lelaki berkahwin dengan isterinya dan bekas isteri kepada bapa isterinya, maka Abu Hanifah mengatakan bahawa perbuatan itu dibenarkan, dan diriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin Ja‘far juga melakukan hal tersebut. Kemudian al-Syafi‘i berkata lagi: “Tidak mengapa jika dihimpunkan bekas isteri seorang lelaki dengan anak perempuan lelaki tersebut dari selain bekas isterinya.” Begini juga yang disebutkan oleh fuqaha’ mazhab lain, kerana tidak ada nas yang mengharamkan poligami tersebut. (Lihat al-Umm, 7/155)

Ibn Rejab al-Hanbali juga menyebutkan, menghimpunkan antara bekas isteri seorang lelaki dengan anak perempuan lelaki tersebut dari selain bekas isterinya adalah harus menurut kebanyakan ulama’, dan sebahagian salaf menghukumkannya makruh. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, hlm. 411)

Begitu juga yang disebutkan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi, bahawa kebanyakan ahli ilmu berpendapat harus dan tidak mengapa untuk dihimpunkan antara seorang perempuan dan anak kepada bekas suaminya. Ia dilakukan oleh ‘Abdullah bin Ja‘far dan Safwan bin Umayyah, beginilah yang disebutkan oleh majoriti fuqaha’, kecuali al-Hasan, ‘Ikrimah serta Ibn Abi Laila, dan diriwayatkan dari mereka bahawa hukumnya makruh. Hal ini kerana tidak ada pertalian darah antara kedua perempuan tersebut sehingga boleh memutuskan silaturrahim, maka diibaratkan seperti dua wanita ajnabi. (Lihat al-Mughni, 7/98)

Apakah relevan perbincangan berkenaan status isteri kedua bapa mentua ini? Disebabkan implikasi dari status ini, menantu lelaki tidak boleh bersalaman dengan isteri kedua bapa mentua, kerana dia termasuk dalam kategori mahram secara sementara yang perlu menjaga batas pergaulan sepertimana wanita ajnabi. Firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ‎﴿٣٠﴾‏ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka.”

(Surah al-Nur: 30-31)

Beginilah serba ringkas penerangan tentang isteri kedua bapa mentua atau ibu tiri kepada isteri kita. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman yang baik dalam beragama, di samping memelihara hubungan silaturrahim sesama kaum keluarga serta sahabat handai kita. Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)