#5842: Bernazar Untuk Umrah Jika Berkahwin dengan Seseorang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ke saya hendak bernazar untuk menunaikan umrah kalau saya kahwin dengan seseorang ni? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami mulakan dengan mendefinisikan nazar terlebih dahulu secara ringkas. Nazar dari sudut istilah ialah apa yang  telah ditakrifkan oleh para ulama iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara‘, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat  al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/501).

Firman Allah SWT:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.

(Surah al-Hajj: 29)

Begitu juga, jika sekiranya seorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ketaatan kepada Allah SWT, maka hendaklah dia menunaikannya. Namun, jika dia bernazar perkara kemaksiatan, maka tidak boleh dia menunaikannya. Rasulullah SAW bersabda dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan sesiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.

Riwayat al-Bukhari (6696)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa nazar hanya dibolehkan kepada perkara kebajikan dan sekiranya bernazar perkara haram dan makruh maka tidak sah nazarnya seperti bernazar untuk merogol dan selainnya (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/26).

Seterusnya, para ulama menyatakan bahawa nazar mempunyai tiga rukun iaitu:

  • Sighah (bentuk ucapan).
  • Orang yang melakukan nazar (الناذر)
  • Perkara yang dinazarkan (المنذور)

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili ketika menghuraikan rukun yang pertama iaitu sighah, beliau menyatakan: Ia (sighah) adalah ucapan yang terbit dari pelaku nazar dan tidak sah nazar melainkan dengan perkataan. Iaitu seseorang itu mengucapkan: “Untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian-sekian.” Sekiranya seseorang itu menyebut: “Ke atas diriku perbuatan sekian-sekian,” maka nazarnya dianggap sah. Ini kerana, perbuatan ibadah itu tidak berlaku melainkan hanya untuk Allah semata-mata. Yang paling lengkap dalam sighah nazar ini sebagai contoh adalah: “Sekiranya Allah SWT menyembuhkan sakitku ini, maka untuk Allah ke atas diriku perbuatan sekian sekian.” Disyaratkan juga pada sighah supaya dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan kepada iltizam (kesungguhan). (Lihat ql-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/505).

Kemudian, bagi menjawab persoalan di atas kami katakan bahawa nazar yang diwajibkan adalah nazar yang melibatkan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, seperti berpuasa, bersedekah, dan seumpamanya. Justeru, bernazar untuk menunaikan umrah sekiranya berkahwin dengan seseorang itu dikira sah, kerana umrah itu sendiri termasuk dalam perkara ketaatan dan bukannya maksiat. Jadi,  jika dia benar-benar berkahwin dengan orang tersebut, maka dia hendaklah memenuhi nazarnya itu.

Pada kesempatan ini juga, kami menasihatkan kepada semua supaya tidak bernazar melainkan mengharapkan keredhaan Allah. Ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا نَذرَ إلّا فيما ابتُغِيَ به وجهُ الله

Maksudnya: “Tidak boleh bernazar kecuali dengan mengharapkan keredhaan Allah.

Riwayat Abu Daud (2192)

Selain itu, janganlah bernazar pada perkara yang tidak mampu kita lakukan, yang akhirnya ia hanya akan membebani kita di kemudian hari. Kami ingatkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A di mana Baginda bersabda:

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: “Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.

Riwayat Muslim (1640)

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالسَّدَادَ

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu petunjuk dan taufik agar tetap istiqamah.”