#5849 Isteri Berhenti Kerja dan Tidak Membantu Suami Dalam Perbelanjaan Rumahtangga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berdosakah jika isteri berhenti kerja dan tidak dapat membantu suami dalam perbelanjaan harian? ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkahwinan bertujuan untuk membangunkan institusi kekeluargaan dan ia sangatlah digalakkan di dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, mengembangkan masyarakat Islam serta mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Galakan Islam terhadap perkahwinan agar mendapat banyak kebaikan dan faedah daripadanya.

Begitu juga, suami isteri merupakan pasangan yang saling melindungi di antara satu sama lain dan saling perlu memerlukan. Ini diperumpamakan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

( Surah al-Baqarah: 187)

Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas R.Anhuma, Mujahid, Sa’id bin Jubair, al-Hasan, Qatadah, al-Suddi dan Muqatil bin Hayyan bahawa maksud  yang dikehendaki dari ayat di atas “Mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/510)

Syeikh Dr. Mustafa al-Khin di dalam kitab beliau telah menyatakan beberapa hikmah perkahwinan, antaranya:

  • Memenuhi keperluan fitrah manusia
  • Mengembangkan masyarakat islam dengan keturunan
  • Mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani
  • Memelihara akhlak daripada kerosakan dan keruntuhannya.
  • Memelihara generasi manusia yang sejahtera
  • Mengembangkan kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/13-16)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan isteri yang bekerja dengan niat untuk meringankan beban suami dalam menanggung nafkah atau keperluan keluarga adalah merupakan tindakan yang harus diberikan pujian. Ini kerana pada asalnya tanggungjawab  mencari nafkah adalah tanggungjawab yang harus dipikul oleh kaum suami bukanlah kewajipan isteri. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi R.A, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.”

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Nabi SAW turut bersabda :

إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِأهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rabbmu mempunyai hak atasmu, dan jiwamu mempunyai hak atasmu, dan isterimu mempunyai hak atasmu, maka berilah setiap hak kepada orang yang berhak”

Riwayat al-Bukhari (2139)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, makanan, barang-barang dapur, pakaian, tempat tinggal, alat-alat untuk membersihkan diri, barangan rumah, pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Namun begitu, tidaklah menjadi kesalahan atau dosa sekiranya seorang isteri memilih untuk berhenti bekerja, yang menjadikan dia tidak lagi mampu memberi bantuan kepada suaminya. Ini kerana tugas asal seorang isteri adalah di rumah, iaitu untuk mendidik anak-anak, menguruskan urusan rumahtangga, dan melaksanakan tanggungjawab keluarga yang lain.

Syeikh Ibn Jibrin pernah ditanya tentang kewajipan wanita memasak untuk suaminya, dan adakah dia berdosa jika tidak melakukannya. Lalu beliau menjawab: “Uruf umat Islam, isteri masih memberikan khidmat sepertimana adat setempat kepada suaminya seperti menyediakan makanan, membasuh baju dan bekas, membersihkan bilik-bilik dan selainnya. Semuanya mengikut kesesuaian si suami, dan inilah adat yang masih diamalkan sejak zaman Nabi sehingga kini tanpa ada yang mengingkarinya. Akan tetapi, tidak boleh mewajibkan isteri dengan kerja-kerja yang membebankan serta menyusahkan mereka, sebaliknya kerja itu bergantung kepada kemampuan dan adat setempat.” (Lihat Fatawa al-Ulama’ fi ‘Isyrah al-Nisa’, hlm. 20)

Dinyatakan dalam al-Majmu’ bahawa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah menyatakan bahawa seorang wanita wajib melakukan apa yang kebiasaannya dilakukan oleh wanita sepertinya menurut uruf masyarakat setempat. Abu Thaur pula berpendapat bahawa isteri wajib berkhidmat kepada suami dalam setiap perkara. Ibn Habib berkata berdasarkan kisah Fatimah di atas nabi SAW menyuruh beliau melakukan kerja rumah keseluruhannya. (Lihat al-Majmu’, 18/78-79)

Justeru, kami nyatakan bahawa tugas dan tanggungjawab menyara keluarga merupakan kewajipan suami. Isteri tidaklah diwajibkan oleh syarak untuk menanggung keluarga sebagaimana yang ditetapkan ke atas suami. Oleh itu, tidaklah salah jika saudari memilih untuk berhenti kerja dan tidak menyumbang kepada nafkah keluarga bersama suami. Walaubagaimanapun, kami menasihati bahawa jika isteri tersebut mempunyai kesenangan harta dan rezeki yang mencukupi, adalah lebih baik untuk sama-sama membantu suami dalam meringankan beban dan menguruskan rumahtangga.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.